Pertemuan MABIMS Berhasil Melancarkan E-Book Tafsir 'Ilmi (Ayat-Ayat Kauniyyat) dan Memorandum Persefahaman (MOU) Halal MABIMS

16 November 2023

1. Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) ke-20 berlangsung pada 16 November 2023 di Singapura. Pertemuan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura. Mesyuarat dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Yang Terhormat Bapak Haji Syaiful Rachmat Dasuki, Wakil Menteri Agama Republik Indonesia dan Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia selaku ahli-ahli Pertemuan MABIMS, serta Yang Berhormat Neak Okhna Datuk Dr. Othsman Hassan, Menteri Kanan, Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kerajaan Kemboja selaku negara pemerhati.

2. Para menteri membincangkan perkembangan terkini masyarakat Islam di rantau ini khususnya kemajuan program kerjasama berbentuk Fokus Strategik yang dijalankan setiap negara di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025. Mesyuarat juga memperbaharui komitmen untuk mengukuhkan lagi kerjasama bagi merealisasikan lebih banyak kerjasama antara anggota-anggota MABIMS termasuk perkembangan platform digital.

3. Para menteri juga melancarkan satu produk hasil bersama setiap negara anggota MABIMS buku terbitan bersama Tafsir Ilmi (Ayat-Ayat Kauniyyat). Terbitan ini bertemakan penciptaan alam yang menggambarkan kekuasaan, keindahan dan keagungan Allah Subhanahu Wata’ala dari perspektif Al-Quran melalui pendekatan Tafsir Ilmi. Buku ini bertujuan untuk bacaan umum, sambil mengajak masyarakat untuk mengagungkan Al-Quran sebagai sumber petunjuk dan inspirasi kemajuan umat dan peradaban manusia.

4. Satu Memorandum Persefahaman Halal MABIMS juga ditandatangani di mesyuarat kali ini. Memorandum antara Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Kementerian Agama Republik Indonesia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Ugama Islam Singapura mencerminkan adanya persefahaman dan ikatan yang erat di dalam pembangunan bidang Halal di antara negara-negara anggota MABIMS. Ini termasuk pertukaran maklumat dan kepakaran dalam bidang pensijilan Halal, serta pertukaran hasil penyelidikan dan kajian aspek Syariah, Sains & Teknikal.

5. Para menteri bersepakat mengajak seluruh umat Islam di rantau ini untuk terus konsisten dalam berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. agar mengembalikan keamanan dan melenyapkan segala kezaliman lantas meringankan penderitaan mereka yang terjejas.

6. Seterusnya, Pertemuan MABIMS kali ke-21 akan diadakan di Malaysia pada tahun 2025.

 

Kenyataan media bersama antara:

Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam

Kementerian Agama, Republik Indonesia

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia

Majlis Ugama Islam Singapura