Pengisytiharan Awal Zulhijjah 1444H/2023M bagi Singapura

KENYATAAN MEDIA

18 Jun 2023

Mengikut kiraan hisab, berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara anggota MABIMS, anak bulan mungkin tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura setelah matahari terbenam petang tadi. Ini bererti esok adalah hari pencukup bulan Zulkaedah 30 hari dan awal bulan Zulhijjah tahun 1444H jatuh pada lusa, Selasa bersamaan 20 Jun 2023.

Oleh yang demikian, sukacita saya mengisytiharkan bahawa Hari Raya Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Khamis bersamaan 29 Jun 2023.

Marilah kita menyambut bulan Zulhijjah dengan memperbanyakkan amal solih, serta mendoakan agar para jemaah Haji dikurniakan keselamatan serta ibadat yang mabrur. Semoga Allah menerima amal bakti kita dan memelihara masyarakat dengan rahmah dan kasih sayangNya.


DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
MUFTI