Pengisytiharan Awal Ramadan 1445H/2024M Bagi Singapura

10 Mac 2024

Mengikut kiraan hisab, anak bulan Ramadan tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi kerana ia terlalu kecil dan tidak mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.

Ini bererti esok adalah hari pencukup bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Oleh yang demikian, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun 1445H jatuh pada lusa, Selasa bersamaan 12 Mac 2024.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan kepada sekalian umat Islam Singapura, selamat menyambut ketibaan bulan Ramadan yang mulia. Dan saya mengajak anda sekalian untuk memenuhi kewajipan berpuasa dan beribadat dengan penuh penghayatan dan keihsanan. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kekuatan rohani dan jasmani untuK menghidupkan dan memuliakan bulan ini dengan sebaik-baiknya.

Sekian, Wassalamualaikum Wr Wb.

DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
MUFTI SINGAPURA