PENDIRIAN JAWATANKUASA FATWA BERKENAAN ISU AL-ARQAM

FATWA BERKAITAN ISU AL-ARQAM

Jawatankuasa Fatwa MUIS dalam fatwanya pada 29 November 1991 telah memutuskan terdapat beberapa bahagian dalam ajaran Al-Arqam menerusi Aurad Muhammadiah pegangan Al-Arqam boleh menimbulkan kekeliruan dan menasihatkan supaya ajaran tersebut dibendung dan tidak menggalakkan orang ramai dari membacanya.

Perkembangan terkini daripada ajaran dan pergerakan Al-Arqam pimpinan Hj Ashaari Muhammad telah banyak menimbulkan kegelisahan dan keraguan dari segi kesahihan dakwaan-dakwaan dan amalan-amalannya dikalangan masyarakat Islam di Singapura dan di negara-negara jiran. Dari segi kepercayaan dan akidahnya pula, ia mengancam kesejahteraan umat dari segi syariat dan adat pergaulan.

Keadaan ini jika dibiarkan berkembang boleh membawa kepada perpecahan persatuan dan perpaduan umat Islam. Ini amat merugikan kita kerana tunjang dan kekuatan adalah terletak di atas perpaduan dan persatuan umat itu sendiri.

Berdasarkan bahaya besar yang dapat ditimbulkan daripada ajaran dan pergerakan Al-Arqam yang demikian itu dan demi kemaslahatan masyarakat umumnya, Jawatankuasa Fatwa memutuskan supaya buku Aurad Muhammadiah pegangan Al-Arqam itu dilarang edarannya dan melarang masyarakat Islam daripada menyertai pergerakan atau mengamalkan ajaran Al-Arqam.

Disahkan oleh:
SYED ISA B MOHD B SEMAIT

MUFTI NEGARA SINGAPURA

27 JULAI 1994 bersamaan 18 SAFAR 1415