There will be a scheduled maintenance from 21 December 2024, 10pm to 22 December 2024, 6am. During this period, access to the Muis website may be temporarily unavailable. We apologise for any inconvenience caused.
AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM
(BAB 3, BAHAGIAN 32)
FATWA YANG DIKELUARKAN
OLEH
JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan mesyuarat fatwa khas pada 18 Februari 2020 bagi membincangkan soalan yang diterima daripada Unit Pembangunan Masjid dan Masyarakat (MCM) Muis mengenai langkah-langkah di peringkat masjid di dalam menangani penularan Covid-19
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.
1. Jawatankuasa Fatwa menerima dua soalan berikut daripada Unit Pembangunan Masjid dan Masyarakat (MCM) Muis, berkaitan penularan virus Covid-19:
a) Adakah pihak masjid boleh menghalang seseorang yang kurang sihat daripada memasuki kawasan masjid?
b) Adakah solat berjemaah dan solat Jumaat boleh dihentikan dan bolehkah masjid ditutup sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakan sedemikian?
2. Virus korona (Covid-19) mula menjejas dunia sejak akhir tahun 2019.1 Menurut laporan terkini, ramai yang telah dijangkiti di banyak negara, dan ribuan nyawa telah terkorban. Singapura telah melaporkan kes pertamanya pada 23 Januari 2020,2 dan virus ini telah menular kepada beberapa warga tempatan. Berdasarkan perkembangan tersebut, pihak berkuasa Singapura telah meningkatkan Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) kepada tahap jingga pada tarikh 7 Februari 2020.3 Beberapa langkah telah diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mengawal penularan virus. Pengumuman ini disusuli dengan beberapa panduan umum, seperti pembatalan ataupun penundaan sebarang acara yang berskala besar.4
3. Beberapa rumah ibadat juga telah terjejas. Hal ini terjadi kerana terdapat penganut yang telah dijangkiti virus menghadiri upacara keagamaan di tempat-tempat peribadatan tersebut. Terdapat pula sebahagian individu tidak mengamalkan langkah berjaga-jaga walaupun ketika sakit. Sikap tidak ambil peduli seperti ini akhirnya telah memburukkan keadaan, menjejas kesihatan orang ramai dan sekaligus menjejas rumah ibadat itu sendiri.5 Dengan penularan virus ini, beberapa rumah ibadat di Singapura telah mengambil langkah berjaga-jaga serta telah menangguhkan kesemua upacara berskala besar mereka dan menawarkan khidmat keagamaan alternatif, sama ada di atas talian (online) dan sebagainya.6 Sebagai persiapan bagi masjid-masjid di Singapura dalam menghadapi sebarang kemungkinan, Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan beberapa pendekatan yang boleh diambil oleh pihak pengurusan masjid jika situasi ini bertambah buruk.
4. Dalam mempertimbangkan persoalan ini, Jawatankuasa Fatwa telah meneliti perkara-perkara berikut
I. Dalil-dalil syarak berkaitan pencegahan penularan wabak;
II. Keringanan untuk meninggalkan solat Jemaah dan solat Jumaat bagi yang berkeuzuran;
III. Peranan maqāṣid di dalam membentuk panduan keagamaan bagi suasana darurat seperti penularan wabak.
5. Di antara ajaran Nabi s.a.w. apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit adalah pencegahan. Adalah menjadi tanggungjawab agama setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat-tempat awam, termasuk masjid, agar orang yang sihat tidak dijangkiti. Sabda Rasulullah s.a.w.:
لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ
Yang bermaksud: “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).7
6. Nabi s.a.w. juga telah memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya. Mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Yang bermaksud: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).8
7. Nabi s.a.w. juga pernah didatangi oleh sekumpulan orang dari Bani Thaqif untuk berbai’ah, dan salah seorang daripada mereka menghidapi sejenis penyakit yang berjangkit. Nabi s.a.w. mengutus kepadanya dan tidak bersentuhan dengan dia, seraya berkata: “Sesungguhnya kami telah menerima ba’iah kamu, maka pulanglah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).9
8. Rukhsah merupakan suatu bentuk keringanan syarak yang diberikan kepada orang-orang yang berhadapan dengan situasi atau keadaan yang sukar dalam melaksanakan kewajipan keagamaan. Ia bertujuan untuk menghilangkan kesukaran yang dihadapi individu ataupun masyarakat dengan diberinya kemudahan sehingga mampu melaksanakan kewajipannya.10
9. Berdasarkan naṣ agama, para ulama’ telah membahaskan beberapa keadaan yang membolehkan seseorang itu dikecualikan daripada melaksanakan solat berjemaah serta solat Jumaat. Di antaranya, keuzuran yang diberikan untuk meninggalkan solat Jumaat kerana hujan, seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim bahawa Abdullah bin Abbas r.a. telah mengarahkan muazzin semasa hujan lebat untuk menambah pada lafaz azan laungan “صلوا في بيوتكم” (Sembahyanglah kalian di rumah-rumah kamu). Ibn Abbas r.a. lalu berkata:11
فقال ابن عباس : أَتَعْجَبُونَ مِن ذَلِك! لَقَدْ فَعَلَ ذَلِكَ مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي، إِنَّ الجُمْعَةَ عَزْمَةً، وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أُخْرِجَكُم فَتَمْشُوا فِي الطَّينَ وَالدَّحَضِ.
Yang bermaksud: “Ibn Abbas berkata: Adakah kamu merasa hairan tentang hal ini? Sesungguhnya ia telah dilakukan oleh yang lebih mulia daripadaku (iaitu Rasulullah s.a.w.). Sesungguhnya solat Jumaat merupakan satu kewajipan, dan saya tidak suka untuk menyuruh kamu keluar (mengerjakan solat Jumaat) dalam keadaan kamu berjalan di atas tanah dan lumpur.”
10. Imam Al-Nawawī menjelaskan dalam kitab al-Majmū’ bahawa terdapat beberapa keuzuran yang menjadi sebab gugurnya solat berjemaah, sama ada solat tersebut solat sunnat atau solat yang wajib:
(أما حكم المسألة) فقال أصحابنا : تسقط الجماعة بالأعذار سواء قلنا إنها سنة أم فرض كفاية أم فرض عين
Yang bermaksud: “(Ada pun mengenai hukum masalah ini) Maka sahabat-sahabat kami (iaitu ulama al-Shafi’iyah) berkata: Solat berjemaah dikira gugur dengan keuzuran, tidak kira sama ada kita mengatakan itu solat sunat atau pun fardu kifayah atau pun fardu ain…”12
11. Beliau turut menegaskan bahawa faktor-faktor yang diterima sebagai keuzuran yang membolehkan solat berjemaah ditinggalkan juga diterima sebagai keuzuran yang membolehkan Solat Jumaat tidak dilaksanakan:
من الأعذار المرخصة في ترك الجماعة، يرخص في ترك الجمعة
Yang bermaksud: “Di antara keuzuran yang menjadi penyebab solat berjemaah itu boleh ditinggalkan, ia diterima sebagai satu keringanan untuk ditinggalkan solat Jumaat.”13
12. Maka sekiranya terdapat keuzuran yang muktabar, seperti seorang Muslim yang sedang sakit dengan penyakit yang berjangkit, maka beliau dibenarkan untuk meninggalkan solat Jumaat. Akan tetapi, beliau perlu menggantikan solat Jumaatnya itu dengan solat Zohor.
13. Islam sangat menitikberatkan keselamatan manusia berhadapan dengan situasi yang menjejas kehidupan serta mengancam nyawanya. Agama telah menetapkan beberapa panduan khusus dalam menghadapi keadaan darurat seperti situasi penularan wabak. Situasi darurat ini membenarkan individu, mahupun masyarakat, untuk mengambil langkah-langkah yang tertentu sepertimana yang dijelaskan dalam kaedah fiqh yang berbunyi:
الضرورة تبيح المحظورات
Yang bermaksud: “[Pada] keadaan darurat, dibenarkan untuk melaksanakan perbuatan yang dilarang.”
14. Apabila terdapat pertembungan antara maṣlaḥah (kemaslahatan) dan mafsadah (kemudaratan), maka menolak sesuatu kemudaratan itu (mafsadah) diutamakan.14Kerana sesuatu kemudaratan sekiranya tidak dibendung, ia akan memberi kesan yang berpanjangan berbandingkan meninggalkan suatu kemaslahatan. Bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w. agar kita menjauhi dari sebarang bentuk kemudaratan atau memudaratkan orang lain dalam sabdanya:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Yang bermaksud: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.” (Hadis riwayat Ibn Majah).15
15. Begitu juga prinsip الضرر يزال (kemudaratan hendaklah dihilangkan) yang disepakati oleh para fuqaha sebagai salah satu daripada lima prinsip utama di dalam penetapan hukum Islam. Prinsip المشقة تجلب التيسير (kesulitan mengakibatkan kemudahan) pula membawa maksud bahawa Islam sebagai agama rahmah bukan sahaja memperuntukkan keringanan apabila terdapat keadaan darurat di mana nyawa manusia terancam, malah jika terdapat kesulitan yang tidak mengancam nyawa juga, keringanan dan kemudahan turut dipertimbangkan. Untuk itu, walaupun tiada kemestian bahawa keseluruhan penduduk akan dijangkiti penyakit Covid-19 ini jika ia melanda sesebuah negeri, dan tiada juga kemestian bahawa semua orang yang dijangkiti pasti akan mati, wabak ini tetap merupakan satu kesulitan besar yang amat mencemaskan, yang dideritai dan ditakuti masyarakat umum.
16. Agama juga memberi ruang kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap urusan masyarakat dan negara untuk mengambil langkah-langkah yang tertentu bagi menjaga kemaslahatan individu ataupun masyarakat awam. Nasihat atau arahan yang dikeluarkan oleh pakar kesihatan hendaklah diikuti dalam usaha memelihara kemasalahatan bersama, sepertimana yang dijelaskan dalam agama:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
Yang bermaksud: “Tindakan seorang ketua ke atas rakyat, berdasarkan kepada kemaslahatan.”16
17. Mengamalkan langkah-langkah pencegahan dari dijangkiti penyakit berjangkit merupakan suatu perkara penting dalam usaha memenuhi tuntutan agama untuk menjaga dan memelihara nyawa. Pemeliharaan nyawa adalah salah satu dasar utama yang menjadi keutamaan syarak. Dari itu, syarak menitikberatkan bahawa setiap individu yang sakit perlu berusaha mencari rawatan, bersandarkan kepada kaedah Sadd al-Zarā’i’.17
18. Nabi s.a.w. turut memerintahkan agar mereka yang sihat pula untuk tidak berhubungan dengan individu yang menghidapi penyakit berjangkit. Ini dijadikan asas oleh para ulama untuk merumuskan bahawa mencegah diri dari dijangkiti sesuatu penyakit adalah lebih diutamakan berbanding merawat diri daripada sesuatu penyakit.
19. Berdasarkan dalil-dalil serta prinsip agama di atas, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa pihak masjid bertanggungjawab untuk meminta serta melarang mana-mana jemaah yang mempunyai tanda-tanda sakit untuk tidak masuk ke kawasan masjid, sama ada untuk menunaikan solat ataupun melaksanakan urusan lain. Ini adalah kerana keberadaan mereka boleh menyebabkan jangkitan virus dan membawa kemudaratan kepada masjid dan masyarakat. Kemaslahatan umum para jemaah masjid perlu dijaga dan dipelihara.
20. Jawatankuasa Fatwa juga berpendapat bahawa sekiranya penularan virus Covid-19 semakin meluas dan kritikal yang memerlukan penutupan tempat-tempat awam, termasuk rumah-rumah ibadat seperti masjid, atau jika perlu dihadkan penyertaan ramai ke tempat-tempat awam seperti masjid, maka itu merupakan suatu situasi darurat. Untuk itu, Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa penutupan masjid di dalam keadaan darurat sedemikian, ataupun penggantungan solat berjemaah serta solat Jumaat sepanjang tempoh penutupan tersebut, adalah diharuskan.18
21. Jawatankuasa Fatwa turut menasihati masyarakat Islam Singapura, di samping kita melaksanakan segala usaha mencegah penularan wabak yang berlaku, supaya menitikberatkan daya tahan kerohanian serta memperkukuhkan keimanan pada saat-saat yang getir ini dan memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah s.w.t. Masyarakat Islam harus terus bersatu padu dan memainkan tanggungjawab bersama dengan seluruh warga Singapura untuk memelihara keselamatan bersama.
والله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
DR MOHAMED FATRIS BIN BAKARAM
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
[1] Chaolin Huang et. al, “Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China” in The Lancet Journal, vol. 395, published 24 Januari 2020, p. 499.
[2] Channel News Asia, “Singapore confirms first case of Wuhan virus”, 23 Januari 2020. https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/wuhan-virus-pneumonia-singapore-confirms-first-case-12312860
[3] Channel News Asia, “Coronavirus outbreak: Singapore raises DORSCON level to Orange; schools to suspend inter-school, external activities”, 7 Februari 2020. https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/wuhan-coronavirus-dorscon-orange-singapore-risk-assessment-12405180
[4] Ministry of Health, “Advisory for Large-Scale Events Amidst the Novel Coronavirus Situation”, 8 Februari 2020. https://www.moh.gov.sg/docs/librariesprovider5/default-document-library/advisory-for-large-scale-events-amidst-the-novel-coronavirus-situation-(8-feb-2020).pdf
[5] The Straits times, “'Crazy Auntie' and Secretive Church at Heart of Spike of Coronavirus Cases in South Korea”, 23 Februari 2020. https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/crazy-auntie-and-secretive-church-at-heart-of-spike-in-s-korea
[6] Channel News Asia, “COVID-19: Catholic Church Suspends Mass; Other Religious Groups Turn to Livestreaming, Among Other Measures”, 14 Februari 2020. https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/covid-19-outbreak-coronavirus-catholic-church-religion-singapore-12435882
[7] Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, hadis no. 5771; Lihat juga, Al-Naysabūrī, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 2221.
[8] Al-Naysabūrī, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 2219.
[9] Sungguhpun terdapat hadis lain yang menggambarkan bahawa Nabi s.a.w. pernah duduk dan makan bersama dengan mereka yang menghidapi penyakit kusta, Imam Al-Nawawī menjelaskan bahawa terdapat kepentingan untuk menggabungkan antara keseluruhan hadis-hadis tersebut dan tidak melihatnya pada satu aspek sahaja. Beliau berpandangan sungguhpun kedua-dua hadis ini dilihat bercanggah, pandangan yang lebih sesuai adalah agama menganjurkan umatnya untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan sebagai tanda berhati-hati dalam menghadapi situasi penyakit berjangkit. Sila lihat: Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 2231; Al-Nawawī, Ṣaḥīḥ Muslim bi Syarḥ Muslim, juz 14, hlmn. 327. Kita perlu mampu membezakan di antara situasi berhadapan dengan sesuatu bentuk penyakit yang berjangkit dari individu ke individu, seperti penyakit kusta yang disebut di dalam sebahagian hadis, berbanding penyakit yang menjadi wabak yang menular luas di tengah-tengah masyarakat umum, seperti wabak taun yang disebut di dalam beberapa hadis yang lain.
[10] Al-Shāṭibī, Al-Muwāfaqāt, juz 1, hlmn. 477 – 478.
[11] Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, hadis no. 901; Lihat juga, Al-Naysabūrī, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 699.
[12] Al-Nawawī, Al-Majmū’, juz 4, hlmn. 98.
[13] Al-Nawawī, Rauḍah Al-Ṭālibīn, juz 1, hlmn. 146.
[14] Al-Zarqā, Musṭafā, Sharḥ al-Qawā’id al-Fiqhiyyah, hlmn. 205.
[15] Ibn Mājah, Sunan Ibn Mājah, hadis no. 2341.
[16] Al-Suyūṭī, al-Ashbāh wa al-Naẓā’ir fī Qawā‘id wa Furū’ Fiqh al-Shāfi‘iyyah, hlmn .121.
[17] Konsep Sadd al-Zarā’i’: Bererti menutup ruang. Ianya adalah satu kaedah pencegahan awal dari berlakunya perkara yang diharamkan syarak. Al-Qarāfī, al-Furūq, juz 2, hlmn. 32-33.
[18] Bahkan dengan merujuk kepada sejarah sehinggakan Masjidil Haram pernah ditutup pada tahun 1979, disebabkan tindakan keganasan yang berlaku di masjid tersebut, hasil daripada pencerobohan yang dilakukan Juhaymān al-‘Utaybī dan pengikut-pengikutnya. Ketika itu, keseluruhan ibadah fardhu serta aktiviti lain telah dihentikan disebabkan keadaan darurat. Sila lihat: al-Sharq al-Awsaṭ, “al-Ṣolāt fi al-Masjid al-Harām Ghadan”, 5 Disember 1979.