Fatwa on Exhumation 1970 - Malay
AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM
(BAB 3, BAHAGIAN 32)
FATWA YANG DIKELUARKAN
OLEH
JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
Soalan:
Bolehkah kubur-kubur Islam yang dikebumi di tanah kerajaan atau di tanah wakaf atau di tanah-tanah lain yang digali dan mayat-mayatnya (tulangnya) dipindahkan?
Jawapan:
1. Untuk keterangan yang lebih lanjut dari jawapan di atas adalah seperti berikut:
- Kubur-kubur orang Islam yang dikebumi di tanah kerajaan boleh digali dan dipindahkan tulang-tulangnya jika tanah itu mempunyai lesen sementara (T.O.L.) atau lesen pendek. Itu pun jika diminta oleh pemerintah. Jika tanah kerajaan itu tidak berlesen seperti yang tersebut, tetapi ianya telah digunakan untuk menanam jenazah dalam suatu jangka masa yang panjang dan lama, maka kubur itu tidak boleh digali dan tulang-tulangnya tidak boleh dipindahkan.
- Kubur-kubur orang Islam yang dikebumi di tanah wakaf tidak boleh sekali-kali digali dan mayat-mayatnya dipindahkan kecuali jasad-jasadnya telah hancur menjadi tanah. Ia boleh dilakukan jika ada faedah dan maslahat umum orang-orang Islam sendiri dan kecuali kubur itu berada dalam sebuah negara Islam. Maka dengan tiga pengecualian ini, barulah kubur itu boleh digali dan tulang-tulang mayat boleh dipindahkan, itu pun dengan syarat kehormatan mayat-mayat itu tidak dinodai dan hendaklah tulang-tulang bagi tiap-tiap mayat itu dibungkus dengan kain yang bersih dan dikebumi semula dalam satu tanah perkuburan yang dihormati.
- Adapun kubur-kubur orang Islam yang dikebumi di tanah-tanah selain daripada tanah-tanah yang tersebut, jika tanah itu milik bagi seorang yang tidak rela (reda) atau tidak mengizinkan mayat orang Islam dikebumi di tanah miliknya itu, maka kubur tersebut bolehlah digali dan mayatnya boleh dipindahkan walaupun mayat itu belum hancur lagi. Tetapi jika yang punya tanah itu reda supaya mayat orang Islam dikebumi di tanah miliknya itu dengan menjadi tanah itu tanah wakaf untuk sementara seperti ia berkata: “Aku wakafkan tanahku ini sebagai kubur orang-orang Islam selama setahun”, maka ia tidak boleh menggali kubur itu dan tidak boleh memindahkan mayat-mayatnya kerana tanahnya itu telah dianggap sebagai tanah wakaf untuk selama-selamanya dan tempoh setahun yang dinyatakannya itu adalah sia-sia dan tidak memberi kesan.
Keputusan Fatwa 5 March 1970
HJ MOHAMED SANUSI BIN MAHMOOD
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA