Fatwa on Exhumation 2001 - Malay

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Sistem baru dalam pengkebumian iaitu pengkebumian secara modul.

Sistem ini menggunakan batu-batu konkrit berbentuk segi empat “rectangle”. Setelah tanah digali batu-batu konkrit yang berbentuk segi empat disusun rapat sehingga memenuhi seluruh kawasan yang disediakan bagi perkuburan. Kemudian batu-batu konkrit yang berbentuk segi empat itu ditutup dengan batu konkrit lain yang diselaputi dengan tanah dan rumput. Saiz setiap petak kubur adalah sama. 

Jika setiap jenazah hendak dikebumikan, sebuah alat yang dinamakan sebagai “hydraulic tractor” digunakan untuk mengangkat penutup konkrit yang diselaputi tanah dan rumput. Setelah itu, keranda jenazah dimasukkan dan ditimbus dengan campuran tanah dan bahan-bahan lain yang membantu dalam proses pereputan. Kemudian penutup konkrit diletakkan semula ditempatnya yang asal sebagai menutup petak kubur tersebut.

Jabatan Pentadbiran MUIS menjelaskan bahawa Kementerian Sekitaran ENV akan mengadakan lawatan ke Rockhampton pada bulan Mac 2001 untuk mengkaji sejauh mana keberkesanan sistem ini untuk dilaksanakan ke atas perkuburan orang-orang Islam.

Jawapan:

1.       Setelah melihat tayangan video mengenai sistem pengebumian ini, Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan beberapa perkara yang berhubungkait dengannya di antaranya ialah :

  1. Kedalaman (depth) kubur mesti yang digali.
  2. Tentang batu nisan sebagai tanda kubur. 
  3. Saranan kubur-kubur dibuat bersebelahan antara satu sama lain. 
  4. Liang lahad. 
  5. Pemindahan semula kubur.  

2.       Mengenai kedalaman (depth) kubur yang mesti digali, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa dari segi Syara’ sesebuah kubur itu dapat melindungi jenazah yang tertanam seperti digali binatang-binatang liar dan supaya menutup daripada keluar bau.  Jadi tidak ada kemestian dalam kubur itu 6 kaki dalam erti kata lain dalam kubur itu boleh kurang daripada 6 kaki yang biasa dibuat mithalnya sedalam 2 ½ kaki.  Jika ciri-ciri di atas dapat dicapai seperti mana dalam sistem pengebumian baru ini di mana kubur itu akan ditutup dengan batu konkrit dan jenazah itu sebelumnya akan ditimbus dengan campuran tanah dan bahan-bahan lain untuk membantu dalam proses pereputan, maka ia dibolehkan walaupun lubang kubur itu tidak ditimbus sepenuhnya dengan tanah.

3.       Manakala tentang batu nisan sebagai tanda kubur, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa batu nisan itu bukanlah sesuatu yang diwajibkan, memadai diletakkan satu plaque tanda nama di kubur tersebut bagi memudahkan para waris mengenal pasti kubur berkenaan.

4.       Manakala saranan kubur-kubur itu dibuat bersebelahan antara satu sama lain adalah tidak bersesuaian. Oleh kerana, ini akan menyebabkan kubur-kubur itu dilangkahi. Satu cara hendaklah difikirkan bagi mengelakkan perkara ini seperti diadakan jalanan (foot path) di antara kubur-kubur tersebut yang ditinggikan dalam kadar sejengkal bagi membezakan jalanan dan kuburan.

5.       Manakala saranan mengadakan lahad, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa jenazah yang dikebumi dalam kubur menurut sistem baru ini hendaklah dibuatkan lahad di dalamnya agar dapat dikebumi seperti mana biasa dikebumikan jenazah-jenazah Islam. 

6.       Berhubung dengan pemindahan semula saki-baki tulang-tulang yang ada, menurut hukum, tulang-tulang tersebut bolehlah dikebumi semula sama ada secara melintang atau menegak.

Keputusan Fatwa 20 Mac 2001

SYED ISA BIN MOHAMED BIN SEMAIT
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA