Wakaf Properties (Malay)

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan mesyuarat fatwa pada 28 Oktober 1985 bagi membincangkan soalan berkaitan harta wakaf yang tidak lagi menghasilkan pendapatan.

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.

 

LATARBELAKANG

1. Setelah beberapa lama, sebuah wakaf itu tidak lagi berfaedah atau praktik diselenggarakan kerana pendapatan yang diperolehi daripadanya tidak memadai untuk memenuhi kehendak pewakifnya. Jawatankuasa Fatwa menerima pertanyaan adakah harta-harta wakaf itu boleh dijual dan hasil jualan itu dilaburkan di bawah Akta Pemegang Amanah supaya wakaf itu berterusan? Jika boleh, bagaimana pula jika pelaburan itu gagal? Bolehkah wakaf itu dibubarkan dan pentadbirnya dibebaskan daripada dipertanggungjawabkan dari segi agama?

KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA

2. Pada dasarnya maksud sesuatu wakaf itu ialah pengekalan dan berterusannya pahala bagi orang yang mewakafkan.

3. Selagi harta wakaf itu wujud, bolehlah dijual harta yang menjadi sumber/hasil perjalanan harta wakaf itu untuk membeli harta yang lain dengan tujuan mendapatkan hasil yang lebih dengan syarat kekalnya amal jariah tersebut. Pihak pentadbir wakaf itu adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas segala langkah-langkah yang diambilnya mengenai wakaf yang berkenaan. Jika pelaburan tersebut gagal tanpa sebarang kecuaian dari pihak pentadbir, maka mereka dibebaskan daripada dipertanggungjawabkan dari segi agama.

 

والله أعلم، وبالله التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

  

SYED ISA BIN MOHD BIN SEMAIT

PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA

MUFI NEGARA SINGAPURA