Malay Fatwa Batasan Aurat Keluarga Angkat

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM (BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN

Oleh

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa 2013-2016 telah membincangkan soalan berkenaan batasan aurat antara anak angkat dengan keluarga angkat pada mesyuarat yang ke 2 bertarikh 12 Disember 2013 dan mesyuarat ke-3 bertarikh 13 Mac 2014.

 

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.

Latarbelakang

Jawatankuasa Fatwa Muis menerima pertanyaan daripada Akademi Peningkatan Keluarga Islam (APKIM) melalui suratnya yang bertarikh 14 Januari 2011, melaporkan kesulitan yang dihadapinya berkaitan pengambilan anak angkat oleh keluarga Islam. Kesulitan ini disebabkan oleh kekhuatiran keluarga-keluarga tersebut berkenaan batasan aurat antara anak angkat dan keluarga angkatnya.

 

 

  1. Oleh kerana itu, pihak APKIM telah mengajukan soalan berikut kepada Jawatankuasa Fatwa Muis: Apakah hukum berkaitan batasan aurat antara anak angkat dengan keluarga angkatnya?


    Penjagaan Anak di dalam Islam

  2. Anak ialah amanah daripada Allah s.w.t. oleh itu setiap bayi yang lahir wajib dilindungi dan diberikan hak-haknya. Islam menganggap setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan bersih fitrahnya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

    كل مولود يولد علىالفطرة

    Yang bermaksud: “Semua anak yang dilahirkan berada dalam keadaan suci dan bersih”. (Hadith riwayat Imam Muslim, no. 4803).

     

  3. Selain daripada penjagaan anak kandung oleh keluarganya sendiri, Islam juga menitikberatkan penjagaan anak yatim dan anak yang terbiar/terbuang (Manbuz/Laqith)1. Terdapat beberapa ayat suci Al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. yang menegaskan kepentingan dan kemuliaan menjaga anak yatim. Antaranya firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 220:

    Yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu berkaitan anak yatim. Katakanlah: Berbuat baik kepada mereka adalah lebih baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka itu adalah saudara-saudaramu”

     

  4. Berdasarkan kajian sains sosial/sains kemanusiaan, anak angkat yang dijaga dalam sekitaran keluarga angkat, akan membesar dengan lebih sempurna berbanding anak angkat yang membesar di rumah kebajikan dan tumpangan.2

     

  5. Di dalam pengambilan anak angkat ini terdapat beberapa garispandu yang perlu diberi perhatian. Di antaranya, Islam melarang segala jenis perselindungan dalam proses pengambilan anak angkat3. Islam juga menitikberatkan keadilan dan rahmah dalam penjagaan anak angkat4. Selain daripada itu, perlu diusahakan agar anak angkat Muslim dijaga dan dipelihara oleh keluarga Muslim. Garispandu ini selari dengan Maqasid Syariah (objektif Syarak)5 yang merangkumi pemeliharaan keimanan dan agamanya.

     

    Aurat Keluarga dengan Anak Angkat.

  6. Bagi memenuhi tuntutan agama agar kebajikan dan akidah anak-anak tersebut terpelihara, segala kesulitan yang boleh menjadi hambatan perlu diatasi. Ini termasuk kesulitan dari segi hukum sekiranya ada.

     

  7. Jawatankuasa Fatwa akur bahawa Islam menetapkan peraturan tertentu berkaitan kewajipan memelihara aurat. Namun dalam isu yang ditimbulkan oleh APKIM sebagai pihak yang bertanya, kekhuatiran tentang hukum aurat ini ternyata menjadi faktor yang menghambat ramai keluarga Muslim daripada mengambil anak angkat Muslim. Ini menimbulkan keburukan agama yang serius, di mana akidah anak-anak tersebut tidak dapat dipelihara.

     

  8. Syarak menetapkan bahawa perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan bencana perlu dihilangkan. Dinyatakan dalam kaedah Fiqhiyah:

    الضَّرَرُ يُزَال.

    Yang bermaksud: Segala kemudaratan perlu dihilangkan. 6

     

  9. Juga berdasarkan kaedah Fiqhiyah yang menetapkan bahawa apabila terdapat kesukaran, maka Syarak berusaha untuk mendatangkan dengan jalan keluar yang membawa kepada kesenangan. Seperti berikut:

    المشقة تجلب التيسير

    Yang bermaksud: Kesusahan itu membuka jalan kepada kemudahan.7

     

  10. Atas dasar ini, juga bersandarkan kaedah Sadd al-Zara’i’8 Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa salah satu di antara dua pendekatan berikut boleh dipertimbangkan sebagai jalan keluar bagi isu penjagaan aurat antara anak angkat dengan keluarga angkatnya.

     

    Pendekatan Pertama: Penyusuan Anak Angkat oleh Ibu Angkat

  11. Seorang wanita yang ingin mengambil anak angkat boleh berusaha untuk menjadikan anak tersebut sebagai anak susuan. Penyusuan tadi menyebabkan hubungan mahram itu terhasil antara ibu susuan dengan anaknya, dan suami wanita itu juga menjadi mahram anak tersebut. Sama ada penyusuan itu dilakukan secara langsung dari payudara, ataupun secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya.

     

  12. Jawatankuasa Fatwa juga tiada halangan jika wanita tersebut ingin mengambil perubatan tertentu seperti pil hormon untuk menghasilkan susu (Induced Lactation).

     

  13. Jawatankuasa Fatwa juga bersetuju dengan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa seorang wanita dibenarkan untuk menyusukan anak, sama ada dia sudah berumahtangga ataupun belum. Pandangan Mazhab Maliki, Al-Syafie dan Hanafi9 menyatakan bahawa seorang wanita yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami.

     

  14. Sekiranya anak tersebut berjaya dijadikan anak susuan, maka menurut penetapan fuqaha’ anak susuan itu menjadi mahram kepada individu yang berikut:
    1. Ibu susuannya;
    2. anak-anak kepada ibu susuannya, samada anak kandung atau anak susuan yang lain;
    3. suami kepada ibu susuan;
    4. dan anggota-anggota keluarga yang lain seperti yang telah dijelaskan oleh para fuqaha’.

       

  15. Saiduna Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

    يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ.

    Yang bermaksud: Menjadi mahram melalui penyusuan, apa yang menjadi mahram melalui nasab. (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

     

  16. Berdasarkan beberapa ayat suci Al-Quran serta penjelasan hadith Nabi s.a.w. para ulama telah menetapkan beberapa syarat agar penyusuan itu dianggap sebagai penyusuan yang sah di sisi syarak serta boleh menyebabkan mahramiyah, seperti berikut:
    1. Bilangan susuan hendaklah mencapai sekurang-kurangnya lima kali penyusuan yang mengenyangkan10;
    2. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi11; dan
    3. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah12.

    Pendekatan Kedua: Mengambil Kira Beberapa Pengecualian Berkaitan Aurat Antara Bukan Mahram

  17. Selain daripada pendekatan penyusuan anak angkat, ibu bapa angkat juga boleh mempertimbangkan pilihan kedua ini bagi isu batasan aurat antara keluarga angkat dan anak angkat.

     

  18. Pendekatan ini mengambil kira hukum-hakam syarak yang memberi beberapa pengecualian berkaitan aurat seorang wanita dengan yang bukan mahramnya. Jawatankuasa Fatwa juga telah meneliti punca dan motif disebalik setiap hukum (illah hukum13) dan mengaplikasikan motif hukum tersebut pada konteks aurat anak angkat dengan keluarga angkatnya.
  19. Syariah menetapkan bahawa tidak semua yang bukan mahram itu memiliki hukum yang sama. Ada keringanan (rukhsah) yang diberi bagi sebahagian situasi untuk menjaga kemaslahatan dan keperluan. Antara permasalahan yang telah dikenalpasti di mana pengecualian hukum diberi bagi seorang wanita untuk tidak berhijab adalah seperti berikut:
    1. Aurat seorang wanita dengan hamba lelakinya.
    2. Hamba wanita dengan tuan lelaki.
    3. Lelaki yang tiada syahwat serta keinginan terhadap wanita.
    4. Anak lelaki kecil yang belum ada keinginan terhadap wanita.
    5. Wanita yang telah putus haid.

     

    Pertama: Keringanan disebabkan urusan seharian

  20. Di dalam perundangan Islam seorang wanita dibenarkan untuk tidak berhijab disebabkan beberapa urusan seharian yang perlu dikendalikannya, seperti berikut: Dalam situasi keperluannya (hajat) untuk menjalankan urusan seharian samada bersama hamba lelaki yang dimilkinya, ataupun bersama anak kecil yang belum baligh. Begitu juga keadaannya bagi seorang lelaki dengan hamba wanitanya.14

     

  21. Motif hukum (illah) disebalik keringanan yang diberi ini adalah di atas dasar kesukaran yang dihadapi oleh seorang hamba yang sering berurusan di dalam rumah tuannya.

     

  22. Allah s.w.t. menjelaskan melalui firmanNya dalam Surah An-Nur ayat 58, berkaitan motif hukum (illah) disebalik keringanan hukum yang diberi bagi isu aurat antara hamba sahaya dengan tuannya. FirmanNya yang berbunyi:

     

     

    Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepadamu (sebelum masuk ke tempatmu), pada tiga masa; (iaitu) sebelum solat subuh, dan ketika kamu membuka pakaian di tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat). Kamu dan mereka tidaklah dipersalahkan setelah tiga masa tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hakamNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

     

  23. Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa antara sebab utama mengapa keringanan hukum itu diberi bagi isu aurat antara hamba dengan tuannya, juga bagi kanak-kanak yang belum baligh, adalah kerana hamba dan anak kecil tersebut sering berurusan di dalam rumah tuannya. Ia dibenarkan walaupun tiada hubungan mahram antara mereka. Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya:

    ولأنهم { طَوَّافُونَ } عليكم، أي: في الخدمة وغير ذلك، ويُغْتفر في الطوافين ما لا يُغْتفر في غيرهم.

    Yang bermaksud: Kerana mereka sering berlegar (tawwaf) antara mu, yakni tatkala melaksanakan khidmat untuk mu dan sebagainya. Dan diberi kemaafan (kelonggaran) bagi mereka yang sering berlegar (taawafin) di mana kemaafan tersebut tidak diberikan kepada yang selain dari mereka.15

     

  24. Nabi s.a.w. pernah menziarahi anaknya Fatimah r.a. di rumahnya. Dan Fatimah r.a. pada waktu tersebut didapati tidak menutupi aurat secara sempurna, Nabi bersabda:

    إنه ليس عليك بأس إنما هو أبوك وغلامك.

    Yang bermaksud: Tiada apa-apa, ini hanyalah bapa kamu dan hamba lelaki kamu sahaja. (Hadith riwayat Abu Dawud, Ahmad dan Al-Baihaqi).

     

  25. Pada konteks zaman dahulu, hukum yang sama juga diamati berkaitan aurat seorang hamba wanita dengan tuannya. Walaupun tuan tersebut bukanlah mahramnya ataupun suaminya, tetap diizinkan bagi seorang hamba wanita untuk tidak menggunakan hijab dalam mengendalikan urusan seharian bersama tuannya.

     

  26. Berdasarkan motif hukum (illah hukum) yang telah dikenal pasti, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa motif yang sama juga boleh diaplikasikan dalam isu anak angkat dengan keluarga angkatnya. Ini adalah kerana mereka terdiri dari golongan yang sering berurusan dan berhubungan dengan ahli keluarga angkat, dan terdapat kesukaran bagi ahli keluarga untuk menjaga aurat rumah bersama anak angkat tersebut, lebih-lebih lagi ia telah dipelihara sejak kecil lagi.

     

    Kedua: Keringanan diberi disebabkan tiada nafsu syahwat

  27. Jawatankuasa Fatwa juga mendapati bahawa syarak telah menetapkan dalam isu yang lain, illah (motif) di sebalik keringanan berhijab disebabkan ketiadaan syahwat. Sama ada wanita itu berurusan dengan golongan yang tiada syahwat, seperti anak kecil yang belum baligh dan lelaki yang tiada syahwat terhadap wanita; ataupun wanita itu sendiri tiada lagi keinginan untuk bernikah disebabkan beliau telah mencapai umur lanjut. Ini jelas melalui firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nur ayat 31:

    Yang bermaksud:dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali apa yang terzahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada wanita, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat wanita.”

     

  28. Islam amat menitikberatkan penjagaan aurat bagi seorang muslimah. Kerana itu, ayat tersebut menjelaskan bahawa seorang wanita seharusnya sentiasa menjaga auratnya, melainkan ketika berurusan dengan golongan yang mahram dengannya seperti ayahnya, ayah mertua dan sebagainya. Diwaktu yang sama, ayat ini juga menjelaskan bahawa bagi golongan tertentu, yang mana terdapat kemungkinan mereka tidak memiliki nafsu sepertimana hal keadaan yang biasa, maka kelonggaran hukum menjaga aurat diberikan kepada mereka dan bagi orang yang berurusan dengan mereka.

     

  29. Penetapan hukum ini serupa dengan situasi anak angkat dengan keluarga angkatnya. Dimana anak tersebut telah dijaga oleh keluarga angkatnya dari kecil lagi, dan seluruh keluarga telah melayaninya seperti anak kandung mereka sendiri. Maka seorang anak angkat boleh dianggap sebagai golongan yang diberikan syarak kelonggaran hukum menjaga aurat antara ahli keluarga, sepertimana yang nyatakan dalam ayat Al-Quran tersebut.

     

    Keputusan Fatwa

  30. Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa mengambil anak angkat oleh keluarga yang berkemampuan dan bersedia adalah satu keperluan. Ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh masyarakat Islam. Apabila kebajikan anak angkat Muslim dijaga oleh keluarga Muslim, kebajikan dan kemaslahatan agama anak tersebut akan terus terpelihara dan tidak terabai.

     

  31. Oleh yang demikian, isu berkaitan hukum aurat tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat ini. Jika terdapat keterbatasan hukum mengenainya, ada jalan keluar yang perlu diambil kira melalui keringanan hukum (rukhsah) seperti yang dinyatakan di atas, iaitu samada melalui pendekatan penyusuan, atau melalui aplikasi kaedah menghilangkan kesukaran (Raf’ Al-Haraj) berdasarkan keringanan yang diberi syarak bagi golongan yang sering berlegar-legar dan berhubungan dengan ahli keluarga. Juga mengambilkira keringanan yang diberi berkaitan aurat antara hamba dengan tuannya, seorang anak kecil dan bagi golongan yang tiada syahwat.

 

الله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

DR MOHAMED FATRIS BAKARAM
MUFTI NEGARA SINGAPURA
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

 



[1] Manbuz bererti terbuang, dan Laqith bererti anak yang dikutip. Antara sebab utama mengapa seorang anak itu diabaikan, mungkin disebabkan anak itu merupakan anak tidak sah taraf, yakni dilahirkan dari hubungan perzinaan. Oleh kerana ingin menutup keaiban dosa yang telah dilakukan, maka zuriat yang dilahirkan dari hubungan yang haram itu telah diabaikannya. Isu ini telah dibahaskan dengan terperinci oleh para fuqaha’. Sila lihat: Bidayah Al-Mujtahid 2/309, Qalyubi Umairah 3/123, AlMughni 6/374, As-Syarah As-Saghir 4/178.

[2] Johnson, Dana E. (2002), Adoption and the Effect on Children’s Development, Early Human Development 38, pp. 39-54; and Marinus H. van IJzendoorn, Femmie Juffer, and Caroline W. Klein Poelhuis (2005), Adoption and Cognitive Development: A Meta-Analytic Comparison of Adopted and Nonadopted Children’s IQ and School Performance, Psychological Bulletin, 131:2, pp. 301-316.

[3] Perkara ini jelas melalui perintah Allah s.w.t. untuk tidak mem”bin”kan anak itu kepada selain ayahnya. Allah berfirman yang bererti: Panggilah mereka (anak-anak angkat) menurut (nama) bapanya, hal itu lebih adil di sisi Allah s.w.t. (Surah Al-Ahzab: 5).

[4] Terdapat pelbagai ayat suci Al-Quran yang menitikberatkan aspek keadilan bagi mereka yang menjaga kebajikan anak yatim, antaranya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan berikan kepada anak yatim itu harta mereka, dan jangan kamu menukar [hartamu] yang buruk dengan [harta mereka] yang baik, dan jangan kamu memakan harta mereka melalui hartamu, sesungguhnya ia merupakan suatu dosa yang besar. (Surah Al-Nisaa’: ayat 2).

[5] Segala hukum-hakam Islam bertujuan untuk menjaga kemaslahatan umat manusia. Kemaslahatan tersebut terpelihara melalui penjagaan lima perkara, iaitu melalui penjagaan kesejahteraan agama, akal, nyawa, keturunan dan harta. Pemeliharaan lima perkara ini dikenali sebagai Maqasid Syariah, yang bererti: Objektif yang ingin dicapai Syarak. Menurut Imam al-Syathibi: Tujuan utama Allah menurunkan syari’at (aturan hukum) adalah untuk meraih kemaslahatan dan menghindari kemudaratan. Sila lihat: Al-Syatibi, Al-Muwaafaqaat, Beirut, Dar Al-Kutub Al’Ilmiyah, cetakan pertama, 1425H-2004, hlmn 220.

[6] Al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir, Beirut, Maktabah Al-‘Asriah, 2003/1424H, hlm 114.

[7] Ibid, hlmn 106.

[8] Konsep al-Zara’i’: Bererti menutup ruang. Ianya adalah satu kaedah pencegahan awal dari berlakunya perkara yang diharamkan atau dilarang syarak.

[9] Sila lihat: Al-Khatieb Al-Shirbiiniy, Al-Mughni, Juz 3, hlmn 420. Sila lihat: Ibn Rushd Al-Maaliki, Al-Bayaan wa Al-Tahsil, juz 5, hlmn 153. Sila lihat: Fataawa Al-Hindiyah, Juz 1, hlmn 343.

[10] Dari ‘Aisyah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh isteri Abu Hudzaifah (supaya menyusui Salim) sebanyak lima kali susuan. Dan Salim bebas untuk memasuki rumahnya sebab penyusuan tersebut. [Hadith riwayat Ahmad].

[11] Nabi s.a.w. bersabda: Perhatikanlah saudara lelaki kamu dari penyusuan. Karena penyusuan yang sah adalah ketika susu itu dapat mengenyangkan dari rasa kelaparan. (Hadith riwayat Al-Bukhari no. 5102 dan Muslim no. 1455)

[12] Firman Allah s.w.t.: Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan. (Surah Al-Baqarah: 233).

[13] Illah hukum: Ia bermaksud penyebab ataupun motif disebalik penetapan hukum. Para ulama berusaha untuk mengenalpasti motif/penyebab disebalik sesuatu hukum bagi sesuatu permasaalahan. Tujuannya adalah apabila motif hukum dikenalpasti bagi isu tersebut, maka hukum syariat yang sama dapat diterapkan pada isu-isu terkini dan yang terbaru yang memiliki persamaan dengannya, sedangkan hukumnya tidak dinyatakan dalam Al-Quran mahupun Sunnah. Imam Al-Shatibi antara mereka yang bertanggapan bahawa tiada bezanya antara illah (motif) sesuatu hukum dengan hikmah disebalik hukum. Kedua-duanya dianggap sebagai penyebab sesuatu hukum. Adapun sebahagian ulama Usul Fiqh membezakan antara illah (motif) sesuatu hukum dengan hikmah disebaliknya. Sila lihat: Al-Shatibi, Al-Muwafaqaat, hlmn 160.

[14] Menurut Mazhab As-Syafie diperbolehkan bagi seorang wanita yang memiliki hamba sahaya lelaki untuk melepaskan hijabnya ketika berurusan dengan hamba tersebut, berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nur ayat 31:

﴿...ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن أو آبائهن أو آباء بعولتهن أو أبنائهن أو أبناء بعولتهن أو إخوانهن أو بنى إخوانهن أو بنى أخواتهن أو نسائهن أو ما ملكت أيمانهن﴾

Yang bermaksud:…dan jangan mereka (yakni kaum Muslimah) menzahirkan (tempat) perhiasan mereka melainkan kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau hamba sahaya lelaki yang mereka miliki.

[15] Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Riyadh, Dar Taibah, cetakan kedua, 1999-1420H, juz 6, hlmn 82.