Fatwa on the Characteristics of Deviant Teachings (Malay)

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

 

 

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan ciri-ciri ajaran sesat pada 9 Februari 2021, 28 April 2021, 3 Jun 2021 dan 5 Julai 2021.

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه  وبعد.

LATAR BELAKANG

1. Jawatankuasa Fatwa menerima soalan dari Unit Pengiktirafan Asatizah (ARS) berkaitan laporan media yang dikeluarkan mengenai ajaran yang disyaki sebagai sesat.[1] Susulan dari laporan media tersebut, pejabat ARS telah menerima soalan dari masyarakat awam berkaitan ciri-ciri ajaran sesat, khususnya jika ajaran tersebut mengandungi unsur-unsur berikut:

a.      Penerimaan wahyu atau ilham melalui proses “menurun” yang didakwa seseorang yang menjadi guru atau pembimbing,

b.      Mengubah hukum agama seperti amalan nikah batin,

c.      Kepercayaan terhadap pengertian hakikat huruf, iaitu terdapat penyelewengan pengertian maksud-maksud di sebalik ayat-ayat ataupun huruf-huruf di dalam al-Quran; dan

d.      Kaedah ruqyah yang bercanggah dengan dasar-dasar syariat.

PENERANGAN

2. Pihak penguasa dan pentadbir agama bertanggungjawab untuk memastikan segala ajaran agama di Singapura merupakan ajaran yang sahih serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang murni. Di Singapura, Sistem Pengiktirafan Asatizah (ARS) telah diasaskan untuk memastikan agar ajaran dan bimbingan agama hanya disampaikan oleh individu yang berkelayakan dan berwibawa. Skim tersebut bertujuan untuk melindungi anggota masyarakat daripada anasir-anasir yang menyeleweng, bermasalah dan budi pekerti yang tercela.

3. Walaupun demikian, dari masa ke semasa, Jawatankuasa Fatwa menerima aduan berkaitan ajaran sesat ataupun yang mengelirukan, seperti yang diajukan di dalam persoalan di atas. Bagi setiap aduan, Jawatankuasa Fatwa akan membuat penyiasatan dan penilaian yang sewajarnya.

PROSES PENETAPAN KEDUDUKAN SESUATU AJARAN

4.             Dalam setiap kes, Jawatankuasa Fatwa menuruti proses yang rapi bagi menilai sesuatu ajaran berdasarkan kuasa yang ada padanya seperti yang tertakluk di dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA).[2] Proses ini melibatkan langkah-langkah berikut:

(i)            Mengenalpasti ajaran atau perkumpulan tertentu:

  • Terdapat guru atau pembimbing yang mengajar sekumpulan orang, dinamakan anak murid atau pengikutnya.
  • Ajaran yang berbentuk kumpulan daripada pegangan peribadi yang tidak diajarkan kepada orang lain.

(ii)          Mendapatkan bukti jelas yang tidak diragui:

  • Terdapat bukti yang kukuh yang tiada keraguan berkaitan sumber dan maksudnya. Kerana penuduhan yang tiada bukti kukuh ataupun yang diragui tidak boleh dijadikan sandaran untuk menetapkan kedudukan sesuatu ajaran ataupun kumpulan sebagai sesat atau menyeleweng. Ini yang dimaksudkan dengan “bayyinah” di dalam hadis Rasulullah :
  • البينة على المدعي واليمين على من أنكر
  • Yang bermaksud: “Orang yang mendakwa perlu mendatangkan bukti, adapun yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya perlu bersumpah.[3]
  • Para ulama’ menjelaskan istilah bayyinah (bukti) pada hadis tersebut bermaksud keterangan atau hujjah serta dalil yang dapat membuktikan kebenaran dakwaannya.[4] Jika kesahihan bukti tidak boleh ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa kerana ia berada di luar bidang kuasanya, maka ia tidak boleh memutuskan bahawa ajaran yang diadukan kepadanya adalah sesat atau sebaliknya.
  • Semua keputusan fatwa yang pernah dikeluarkan sebelum ini berkaitan ajaran sesat menuruti proses ini. Dalam kes-kes lalu, bukti yang diperolehi Jawatankuasa Fatwa merangkumi (i) buku dan tulisan yang jelas menghubungkaitkan dengan sesuatu ajaran;[5] (ii) terdapat lelaman internet yang menyebarkan ajaran tersebut; (iii) ketua ajaran dan pengikutnya tidak menafikan bukti-bukti ini dan membuat pengakuan jelas bahawa mereka mengikuti dan menyebarkan ajaran tersebut.

(iii)        Mengenalpasti ciri-ciri kesesatan di dalam ajaran yang diadukan:

  • Terdapat ajaran, fahaman dan penafsiran yang jelas menyalahi Syariat Islam, dalil-dalil agama yang jelas, serta menyalahi metodologi serta kaedah-kaedah yang disepakati ulama’ muktabar.

CIRI-CIRI UTAMA AJARAN SESAT

5.      Sebagai panduan umum bagi masyarakat, terdapat beberapa ciri utama yang ada pada ajaran sesat seperti yang diajukan pada persoalan tersebut. Berikut adalah perinciannya:

Pertama: Penerimaan wahyu/ilham melalui proses “menurun”

6.      Dakwaan bahawa guru, pembimbing atau pengikut boleh menerima wahyu secara langsung dari Allah ataupun dari sesuatu sumber yang ghaib yang tidak diketahui orang lain, merupakan tanda kesesatan.[6] Ini tidak kira sama ada seseorang itu mendakwa mendengar suara ataupun melalui apa yang didakwa sebagai satu proses “menurun” atau kerasukan jin dan sebagainya.[7]

7.      Dakwaan sedemikian sangat bertentangan dengan Syariat Islam. Tiada seorang pun yang boleh menerima wahyu dari Allah melainkan para Nabi dan Rasul. Tiada Nabi dan Rasul selepas Nabi Muhammad . Ini bermakna wahyu terputus selepas Nabi Muhammad dan segala dakwaan berkaitan penerimaan wahyu selepas Nabi Muhammad adalah palsu semata-mata. Adapun ilham, ia merupakan lintasan hati yang dikurniakan Allah kepada seorang hamba yang soleh, bukan melalui sebarang perantara.[8] Namun, sesuatu ilham tidak akan membawa hukum mahupun pensyariatan yang baru, ataupun akan melanggar dan bercanggah dengan hukum yang telah ditetapkan syariat.[9] Sebagaimana firman Allah berkaitan kesempurnaan agama ini dalam surah al-Ma’idah ayat 3:

Yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Kedua: Perubahan pada hukum agama

8.      Terdapat pada ajaran yang sesat, pemahaman atau amalan yang tidak wujud dalam agama. Ini termasuk (a) menokok tambah ibadah yang tidak ada dasarnya, ataupun (b) merubah hukum-hakam syariat, seperti mengamalkan nikah batin  ataupun solat cukup dengan niat sahaja tanpa perbuatan.

a)    Perubahan pada amal ibadah

9.      Menggugurkan kewajipan agama seperti solat, puasa, haji dan sebagainya tanpa sebab yang diterima syariat, seperti rukhṣah tatkala uzur, adalah tanda kesesatan.[10] Walaupun para Nabi dan Rasul sangat mulia kedudukan dan martabat di sisi Allah, mereka tetap menunaikan segala kewajipan agama seperti yang telah disyariatkan. Tatacara beribadat juga perlu menuruti panduan al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad seperti sabda Baginda :

صلوا كما رأيتموني أصلي

Yang bermaksud: Solatlah sebagaimana kamu menyaksikan aku solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

10.     Semakin dekat seseorang itu kepada Allah, semakin taatlah dia kepada perintah Allah dan bukan sebaliknya. Abu Yazid al-Bustami[11] berkata: “Sekiranya kamu menyaksikan seorang lelaki yang dikurniakan karamah sehingga dia mampu untuk terbang ke langit, maka jangan kamu tertipu dengannya, sehinggakan kamu melihat bagaimana beliau menuruti perintah ataupun larangan [agama], dan [bagaimana] beliau menjaga batasan-batasan serta menunaikan syarak.[12] Sheikh Ahmad Zarruq[13] berkata: “Setiap sheikh yang tidak mengamalkan sunnah [Nabi ] maka tidak boleh diikuti, kerana keadaannya tidak dapat dipastikan, walaupun sekiranya terzahir pada dirinya berjuta karamah.[14]

11.     Antara punca berlakunya pemahaman yang membolehkan perubahan pada agama adalah disebabkan kekeliruan sebahagian individu terhadap konsep “hakikat” dalam ilmu tasawwuf, mereka telah menyalah-tafsirkan maksud penulisan ulama’ tasawwuf,[15] lantas membuat perubahan pada ajaran Islam.

12.     Konsep hakikat wujud dalam ilmu tasawwuf. Dalam ilmu tasawwuf, kesempurnaan ibadah itu dicapai melalui penghayatan syariat, iaitu apabila seorang Mukmin mengamalkan tuntutan al-Quran, al-Sunnah dan bimbingan para ulama. Apabila seseorang itu mengamalkan syariat dengan penuh penghayatan hukum, syarat, rukun, kewajipan, sunnah dan menjauhi perkara yang membatalkannya serta mengamalkannya dengan penuh keikhlasan, tanpa riya’ dan takabbur; maka ia akan merasa lebih dekat dengan Allah serta terkawal daripada sifat-sifat madhmūmah (tercela) dan terhias pada dirinya sifat-sifat mahmūdah (terpuji). Ulama’ tasawwuf menamakan proses ini sebagai takhallī, taḥallī dan tajallī. Ia juga dikenali sebagai hakikat, tarikat dan ma’rifat.[16]

13.     Sebagai contoh, ada yang mendakwa bahawa solat berbentuk hakikat tidak sama seperti solat yang diamalkan oleh seluruh umat Islam. Begitu juga takwilan-takwilan yang tersembunyi (batin) terhadap beberapa amal ibadah, serta membenarkan beberapa perkara yang jelas dilarang agama seperti perzinaan, perjudian dan meminum arak. Ia merupakan satu penyelewengan terhadap ilmu tasawwuf yang membawa kepada kesesatan.[17]

b)   Merubah hukum-hakam syariat

14.     Lanjutan dari penjelasan di atas, terdapat contoh-contoh perubahan pada hukum-hakam agama yang diamalkan oleh sebahagian ajaran sesat seperti:

      i.         Nikah Batin

15.     Nikah batin adalah satu dakwaan mengenai ikatan hubungan yang dijalinkan tanpa wali, saksi, akad pernikahan yang rasmi dan mahar; dan biasanya tiada batasan jumlah wanita yang terlibat dengan lelaki yang mendakwa telah menikahi secara batin dengan wanita-wanita tersebut. Perbuatan sedemikian kadangkala berlangsung di antara pengikut sesuatu ajaran, ataupun di antara guru dan anak muridnya. Biasanya pengamalnya  mendakwa mendapat ilham rabbani dari Allah untuk melaksanakan perbuatan tersebut.[18]

16.     Dalam syariat, hukum pernikahan telah ditetapkan perinciannya melalui rukun-rukun dan syarat sah pernikahan. Apabila sesuatu akad nikah telah dilaksanakan dengan menepati rukun-rukun nikah, maka pernikahan tersebut adalah halal dan sempurna. Ini sangat berbeza dengan amalan pernikahan batin, sama ada berbentuk satu ikatan kerohanian antara guru dengan pengikut wanitanya, ataupun fizikal antara pasangan; kerana kedua-duanya jelas menyalahi ajaran agama serta boleh mengakibatkan maksiat yang besar.

    ii.         Ritual-ritual tambahan

17.     Terdapat ajaran sesat yang menjalankan ritual penyucian tambahan yang tidak disyariatkan agama. Dalam ilmu fiqh, penyucian yang dituntut adalah seperti berwudhu’ sebelum menunaikan ibadat solat, mandi wajib apabila berlaku hadath besar, dan mandi sunat pada hari-hari tertentu seperti hari Jumaat dan Hari Raya. Semua amalan ini berdasarkan ajaran Nabi Muhammad . Jika ada penambahan pada ritual penyucian, seperti mandi yang diwajibkan oleh ketua suatu kumpulan sebagai syarat untuk menyertai kumpulan tersebut, maka ini bercanggah dengan ajaran agama dan adalah salah satu tanda kumpulan itu mungkin mengamalkan ajaran yang sesat. Imam al-Ghazali ketika menolak ajaran al-Batiniyah[19] menyatakan bahawa puak tersebut mensyaratkan agar setiap pengikutnya memperbaharui perjanjian taat setia (bai’ah) dengan guru melalui amalan mandi wajib.[20]

Ketiga: Kepercayaan terhadap pengertian hakikat huruf dalam al-Quran

18.     Kepercayaan terhadap makna-makna yang tersembunyi di sebalik ayat-ayat ataupun huruf-huruf al-Quran merupakan antara contoh takwil yang rosak (fāsid) yang tidak diterima Islam.[21] Bahkan ia merupakan antara ciri yang terdapat pada kebanyakan ajaran sesat yang wujud dari zaman dahulu lagi. Sebagai contoh, kumpulan al-Batiniyah beranggapan bahawa pada setiap yang zahir dalam syariat mempunyai pengertian yang batin, dan sesiapa yang hanya mengetahui yang zahir sahaja adalah jahil dan akan selamanya terikat dengan hukum syarak.

19.     Kepercayaan sedemikian adalah satu kebatilan yang mesti ditolak. Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa pemahaman sedemikian seolah-olah menyatakan bahawa Nabi Muhammad sebagai Ṣāhib al-Sharῑah (penggubal syariat) telah menyembunyikan sebahagian agama daripada umatnya. Ia merupakan satu pendustaan terhadap Nabi Muhammad dan dakwaan yang palsu, kerana segalanya telah disampaikan Nabi Muhammad ,[22] menuruti perintah Allah :

Yang bermaksud: “Hendaklah engkau menyampaikan al-Quran kepada manusia, dan jangan engkau menyembunyikan apa-apa.” (Surah Ali Imran, ayat 187).

20.     Penafsiran al-Quran serta memahami segala maksud perkataan-perkataan yang terdapat padanya perlulah berdasarkan kaedah bahasa Arab dan metodologi yang muktabar.[23]

Keempat: Amalan ruqyah yang meragukan

21.     Amalan merawat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang sahih dan mengikut Ṭibb Nabawī (perubatan sunnah) merupakan sesuatu yang diiktiraf agama serta dikenali sebagai rawatan ruqyah shariyyah.[24] Nabi Muhammad pernah bersabda:

لا بأس بالرقى ما لم يكن فيه شرك

Yang bermaksud: “Tidak mengapa dengan [melaksanakan] ruqyah, asalkan tiada [unsur] syirik padanya.[25]

22.     Imam Syafi’i pernah ditanya tentang ruqyah, beliau menjawab: “Tidak mengapa insan diruqyah dengan bacaan kitab Allah (al-Quran) dan zikir kepada Allah yang difahami maksudnya.[26] Amalan-amalan perubatan kerohanian menuruti kaedah Islam ini diketahui para pakar dan ulama’ muktabar.

23.     Ia berbeza dengan rawatan tradisional atau jenis ruqyah yang mungkin mengandungi unsur-unsur yang meragukan. Sebagai panduan kita bersama, kita perlu memastikan perkara-perkara berikut:

a.        Pengamal ruqyah perlu memiliki ilmu agama yang kukuh dan mengamalkannya untuk memastikan bahawa amalan ruqyahnya bertepatan dengan ajaran agama dan terpelihara dari unsur-unsur khurafat dan khayalan yang ditegah agama. Khususnya ilmu akidah, agar dia tidak terpesong dengan unsur-unsur tahayul dan syirik.

b.       Pengamalan ruqyah tidak boleh bercanggah dengan Syariat Islam dan perlu menjauhi segala perkara yang dilarang agama.[27] Ini termasuk perkara-perkara berikut:

  • Perlu menjaga batasan hubungan dengan seseorang yang bukan mahram: Ketika menjalankan rawatannya, dia tidak boleh (i) menyentuh mereka yang bukan mahram tanpa keperluan mendesak yang dibenarkan syarak;[28] dan (ii) tidak boleh bersendirian dengan yang bukan mahram.[29] Perbuatan sedemikian yang jelas bertentangan dengan Syariat Islam, serta tidak boleh dihalalkan atas dasar keperluan kepada rawatan secara ruqyah,
  • Tidak merawat dengan menggunakan bahan-bahan yang haram, najis ataupun kotor, seperti darah; dan
  • Tidak membaca mantera-mantera atau jampi serapah.

c.        Pengamal ruqyah perlu memiliki kemampuan untuk membaca al-Quran dan membaca doa-doa dalam bahasa Arab. Kerana rawatan ruqyah shariyyah menggunakan ayat-ayat suci al-Quran serta zikir-zikir yang terpilih, dia  perlu memastikan bahawa bacaan al-Qurannya adalah betul serta jelas kerana makna al-Quran boleh berubah sekiranya terdapat kesilapan pada bacaan.

24.     Sekiranya anggota masyarakat menyaksikan ada pengamal ruqyah yang tidak menuruti panduan agama di atas, ia merupakan petanda bahawa kaedah rawatan yang dikendalikan tersebut bukannya merupakan ruqyah shar‘iyyah. Pesakit yang sembuh bukan menjadi kayu ukur sama ada kaedah perubatan tersebut bertepatan dengan syariat. Sepertimana yang dinyatakan Ibn Abi al-‘Iz al-Hanafi bahawa walaupun terzahir kemampuan yang luar biasa pada diri seseorang, ia tidak membawa apa-apa makna sekiranya beliau tidak mengamalkan sesuatu yang diperintahkan syarak ataupun melakukan sesuatu yang dilarang syarak.[30]

NASIHAT KEPADA MASYARAKAT

25.     Masyarakat perlu terus berwaspada dengan individu-individu mahupun kumpulan yang menyebarkan ajaran-ajaran sesat. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita sentiasa berusaha (i) meningkatkan ilmu pengetahuan agama melalui guru-guru agama yang bertauliah dan yang pelbagai, (ii) menuntut ilmu dengan pelbagai guru; dan (iii) menjauhi sikap percaya bahawa gurunya seorang sahaja yang berada di atas landasan kebenaran.

26.     Masyarakat juga perlu berhati-hati dengan apa yang disampaikan individu-individu dan kumpulan yang sesat, agar tidak mudah mempercayai setiap perkara pelik yang disampaikan. Masyarakat seharusnya merujuk kepada guru-guru yang bertauliah untuk dipastikan kesahihan ilmu yang disampaikan.

27.     Masyarakat juga harus berwaspada jika sesuatu aktiviti atau perkumpulan agama dikendalikan secara bersembunyi dan eksklusif. Ilmu agama Islam tidak perlu untuk disampaikan secara tersembunyi, kerana segalanya telah dijelaskan oleh Nabi secara terang-terangan. Sepertimana yang diriwayatkan Imam Ahmad, Umar ibn Abdul Aziz berkata:

إذا رأيت القوم يتناجون في دينهم دون العامة فاعلم أنهم على تأسيس ضلالة

Yang bermaksud: Jika engkau melihat suatu kaum yang berbisik-bisik [berbicara rahsia] tentang agama mereka, tanpa membawa orang ramai [dalam perbincangan], maka ketahuilah bahawa dasar mereka adalah sesat.[31]

28.     Secara amnya, berhati-hatilah jika kelas agama dikendalikan oleh individu-individu atau kumpulan yang tidak diiktiraf. Ajaran tersebut:

(i)       berlangsung sehingga ke lewat malam,

(ii)     tidak terbuka kepada orang ramai untuk menyertai pengajian tersebut,

(iii)   guru atau pembimbing melarang pengikutnya daripada menyebarkan apa yang diajar guru melalui sebarang wadah,

(iv)    guru atau pembimbing tidak menggunakan kitab agama yang muktabar akan tetapi hanya menggunakan nota-nota tulisannya sendiri,[32] ataupun hanya melalui penyampaian secara lisan.

29.     Adalah tanggungjawab setiap individu untuk membuat penilaian akan sumber ilmu yang diperolehi. Kita tidak seharusnya tertipu dengan dakwaan sebahagian individu yang berselindungkan ilmu-ilmu tertentu untuk mencapai tujuan lain, sama ada untuk menipu dan mendapatkan pengikut, memperolehi pengiktirafan sosial, pengaruh dan sebagainya.

30.     Di Singapura, setiap guru agama dan pusat pendidikan Islam perlu mendaftar secara rasmi berdasarkan seksyen 87(9) daripada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA).  Dari itu, sekiranya terdapat pengajian agama Islam tanpa pentauliahan rasmi dijalankan, pengadu perlu ketengahkan bukti-bukti kukuh yang tidak meragukan, bagi membuktikan bahawa individu tersebut mengendalikan kelas agama di lokasi tersebut.

31.     Ciri-ciri yang tersenarai dan yang telah diperincikan di atas bertujuan untuk membimbing masyarakat agar berwaspada dari mengikuti sesuatu ajaran yang boleh membawa kepada kesesatan. Pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati dalam mengemukakan tuduhan dan jangan mudah menghukum sesuatu ajaran itu sebagai sesat. Ini kerana terdapat sebahagian dari guru agama berkemungkinan tersilap dari sudut penafsirannya dan bukan bertujuan untuk menyesatkan orang awam. Dapatkanlah penjelasan dari mereka yang lebih arif dan pakar, seperti yang difirmankan Allah :

Yang bermaksud: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang lebih mengetahui jika kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Nahl, ayat 43).

32.     Jawatankuasa Fatwa berdoa semoga Allah mengurniakan kepada seluruh masyarakat Islam Singapura Taufiq dan Hidayah-Nya, membekalkan kita ilmu yang diberkati, memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kita serta melindungi diri kita dari sebarang anasir keburukan dan kesesatan di dunia dan di akhirat.

والله أعلم

والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA

 

 

Lampiran A

 

i.  Ajaran Ahmad Laksamana[33]

Haji Ahmad Laksamana bin Haji Omar mengembangkan ajaran Ilmu Hakikat yang menolak konsep ‘ubūdiyyah atau penyembahan Allah.  Ia merupakan ajaran Al-Batiniyah yang dianggap terkeluar dari Islam. Buku Hakikat Insan yang ditulis oleh Ahmad Laksamana pada tahun 1985 telah difatwakan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura pada tahun 1987. Antara ajaran utama Ahmad Laksamana adalah seperti berikut:

a)             Mengenal diri berasal daripada Allah dengan menggunakan saluran falsafah iminasi atau Martabat Tujuh[34] lalu menolak konsep penyembahan Allah atau ibadah termasuk solat lima waktu.

b)             Terdapat pada buku Hakikat Insan, takwilan serta penafsiran bebas berkaitan maksud tersembunyi bagi huruf-huruf di dalam al-Quran yang hanya diketahui oleh orang-orang tertentu. Sebagai contoh takwilan bebas yang menyeleweng adalah seperti yang tertera pada buku Hakikat Insan, berkaitan maksud kalimat “Alhamd” (الحمد) yang menurutnya meliputi segala rukun agama. Maka “alif” bermaksud syahadat, “lam” bermaksud solat, “ha” bermaksud puasa, “mim” bermaksud zakat dan “dal” bermaksud haji.[35] Juga kalimat (بسم الله) menurutnya melambangkan kemaluan lelaki dan wanita.[36]

c)             Membolehkan nikah batin dengan mengaitkan beberapa ayat/huruf al-Quran dengan anggota seks manusia.

 

 

ii.  Ajaran Taslim[37]

Diasaskan oleh Haji Muhammad Matahari di Pulau Pinang pada 1940-an. Ajaran ini adalah berdasarkan fikiran, fahaman dan tafsiran Haji Muhammad Matahari mengikut apa yang sesuai dengan kehendak dan kemahuannya. Ajaran ini menyalahi akidah dan mengingkari kewajipan agama yang jelas. Antara dakwaan utama ajaran ini adalah seperti berikut:

a)             Pengganti Nabi Muhammad ialah Haji Muhammad Matahari. Beliau mempunyai kuasa yang sama dengan Tuhan dan al-Quran yang sebenar ada dalam dirinya.

b)            Taslim bermaksud penyerahan yang nyata yang menyempurnakan Islam seseorang melalui perbuatan menyerah diri, anak, isteri serta harta kepada Rasulullah atau penggantinya yang ada di Kampung Seronok, Bayan Lepas melalui suatu upacara.

c)             Tiada keperluan untuk menunaikan ibadat solat kerana Tuhan ada di dalam diri setiap insan dan peristiwa Mikraj serta perintah menunaikan ibadah solat adalah bohong dan dusta.

 

iii.  Ajaran Madrasah Faiz al-Baqarah[38]

Ajaran Madrasah Faiz al-Baqarah adalah berdasarkan kepada ajaran “Roh Mutmainnah” yang dipelopori Hassan bin Jonit. Ajaran ini mempunyai unsur pendustaan ke atas Allah dan Rasul-Nya. Ajaran ini tiada asasnya dari segi syariat dan hanya berdasarkan hawa nafsu dan keinginan peribadi. Ajaran ini telah difatwakan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura pada tahun 2011. Antara dakwaan utama ajaran ini adalah seperti berikut:

a)    Kumpulan ini mendakwa mempunyai guru dari alam ghaib yang bernama “Muhammad Noor” yang mempunyai persamaan dengan Allah dan merupakan cahaya dari Nabi Muhammad .

b)   Suara yang didengari oleh guru tersebut adalah “ilham” dari Loh Mahfuz yang harus diikuti walaupun bercanggahan dengan hukum syariat.

c)    Amalan agama termasuk tatacara pelaksanaan solat boleh berubah dan digantikan dengan amalan yang lain berdasarkan “ilham” yang diterima. Sebagai contoh, ibadah solat boleh digantikan dengan berzikir dan sebagainya.

d)   Al-Quran boleh ditafsirkan menggunakan “ilham”, tanpa mengikuti kaedah tafsiran yang disepakati ulama’ dan tanpa memahami bahasa Arab.

 


[1] Zaihan Mohamed Yusof, “Self-styled prophet said to have five spiritual wives,” The Straits Times, diterbitkan pada 9 November 2020, https://www.straitstimes.com/singapore/self-styled-prophet-said-to-have-five-spiritual-wives.

[2] Dalam seksyen 31, Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA), Jawatankuasa Fatwa dirujuk sebagai Legal Committee. Seksyen 31(7): “(7) Subject to the provisions of this Act, the Legal Committee may regulate its own procedure”.

[3] Hadis riwayat al-Tirmidhī, Sunan al-Tirmidhī, hadis no. 1340.

[4] Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Ṭurq al-Ḥukmiyyah. (Beirūt: Maktabah al-Mu’ayd, 1989), 11.

[5] Sebagai contoh: ajaran “Madrasah Faiz al-Baqarah” mempunyai buku tersendiri bertajuk “Kitab: Berita Agama”.

[6] Sila rujuk lampiran A bagi ringkasan beberapa ajaran sesat yang pernah difatwakan sebagai sesat serta contoh-contoh kesesatan.

[7] Amalan-amalan lain yang serupa ‘menurun’ adalah seperti “spiritisme”, “medium”, “channeling”, dan “taḥdīr al-arwāḥ” iaitu kepercayaan menghadirkan roh-roh yang sudah mati. Lihat: Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura. (Singapore: MUIS and Perdaus, 2001), 480.

[8] ‘Abd al-Qādir ‘Isā, Haqā’iq ‘an al-Taṣawwuf. (Aleppo: Dār al-‘Irfān, 2001), 353. Lihat juga: Zakariyyā al-Anṣārī, al-Ḥudūd al-Anīqah wa al-Ta’rīfāt al-Daqīqah. (Beirūt: Dār al-Fikr al-Mu‘āṣir, 1991), 68.

[9] Al-Qurṭubī, Abū al-‘Abbās, al-Mufhim Limā 'Ashkala min Talkhīṣ Kitāb Muslim. (Beirūt: Dār Ibn Kathīr, 1996), 6: 218-219.

[10] Sila rujuk lampiran A bagi ringkasan beberapa ajaran sesat yang pernah difatwakan sebagai sesat serta contoh-contoh kesesatan.

[11] Abū Yazīd al-Busṭāmī lahir pada tahun 188H di daerah Bastam di Iran dan meninggal dunia di Iran pada 261H. Beliau merupakan seorang ahli Sufi yang mana kata-katanya banyak dicatit oleh para ilmuwan seperti Abū Mūsā al-Daybulī, Abū Isḥāq al-Harawī dan lain-lain. Adapun dari sudut penulisannya, tiada catitan dalam sejarah menunjukkan bahawa Abū Yazīd al-Busṭāmī ada meninggalkan sebarang penulisan. Lihat: Abū al-‘Ālāʹ ‘Afīfī, Fī al-Taṣawwuf al-Islāmī wa Tārīkhuh. (Qāhirah: Maṭba‘ah Lajnah al-Taʹlīf wa al-Tarjamah wa al-Nasyr, 1948), 75.

[12] Teks asal dalam bahasa Arab:

"...لو نظرتهم إِلَى رجل أعطي من الكرامات حَتَّى يرتقى فِي الهواء فلا تغتروا بِهِ حتي تنظروا كيف تجدونه عند الأمر والنهى وحفظ الحدود وأداء الشريعة.".

Sila rujuk: Al-Qushayrī, Risālah al-Qushayriyyah. (Qāhirah: Dār al-Maārif, t.t.), 1:58.

[13] Sheikh Amad Zarrūq merupakan seorang ahli Fiqh dan ahli Sufi. Beliau mempunyai banyak karya dalam bidang tasawuf. Lihat: Ibn Maryam, Zikr al-ʹAuliyāʹ wa al-‘Ulamā’ bi Talmasān. (Qāhirah: al-Maṭba‘ah al-Tha‘ālibiyyah, 1908), 45.

[14] Teks asal dalam Bahasa Arab:

"...كل شيخ لم يظهر بالسنة فلا يصح اتباعه لعدم تحقق حاله، وإن صح في نفسه ،وظهر عليه ألف ألف كرامة من أمره...".

Sila rujuk: Aḥmad Zarrūq, Qawā’id al-Taṣawwuf. (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2005), 135.

[15] ‘Abd al-Qādir ‘Isā, Haqā’iq ‘an al-Taawwuf, 392.

[16] Al-Kashānī, Mujam Isilāhāt al-ufiyyah. (Qāhirah: Dār Al-Manār, 1992), 173 & 288.

[17] Sebagai contoh, rujuk kepada perbincangan berkaitan ajaran Taslim. Abdulfattah Haron Ibrahim, Kebatilan Agama Taslim. (Singapura: Majlis Ugama Islam Singapura, 1989), 12.

[18] Amalan nikah batin pernah dikaitkan dengan beberapa kumpulan ajaran sesat di Malaysia, yang berkait dengan ajaran Haji Ahmad Laksamana bin Haji Omar pada bukunya, Hakikat Insan. Buku tersebut telah difatwakan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura pada tahun 1987.

[19] Al-Bāṭiniyah: Ahli sejarah percaya bahawa gerakan ini muncul pada zaman Khalifah al-Ma'mun sekitar tahun 276H. Kumpulan ini diasaskan oleh Aḥmad bin Al-Ḥussayn, ‘Abdullāh bin Maymūn bin Qaddāḥ, Al-Zindānī, dan Ḥamdān bin Qarmaṭ. Kumpulan ini digelar sedemikian kerana mereka mendakwa bahawa mereka memahami maksud Al-Qur'an yang tidak diketahui oleh orang lain selain mereka. Lihat: al-Shahrastānī, al-Milāl wa al-Niḥal. (Beirūt: Dār al-Ma‘rifah, 1993), 228-235.

[20] Al-Ghazālī, Faḍā’iḥ al-Bāṭiniyyah. (Kuwait: Mu’assasah Dār al-Kutub al-Thaqāfiyyah, 1964), 56.

[21] Terdapat beberapa kumpulan di rantau ini yang juga mengajar perkara yang sama.  Sebagai contoh takwilan bebas yang menyeleweng adalah seperti yang tertera pada buku Hakikat Insan, berkaitan maksud kalimat “Alhamd” (الحمد) yang menurut mereka meliputi segala rukun agama. Maka “alif” bermaksud syahadat, “lam” bermaksud solat, “ha” bermaksud puasa, “mim” bermaksud zakat dan “dal” bermaksud haji.  Juga kalimat (بسم الله) yang menurutnya melambangkan kemaluan lelaki dan wanita. Lihat: Abdulfattah Haron Ibrahim, Kebatilan Agama Taslim, 11; Ahmad Laksamana, Hakikat Insan, 227.

[22] Al-Ghazālī, Faḍā’iḥ al-Bāṭiniyyah, 62, 66-67.

[23] Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura, 80; Lihat juga, Quraish Shihab, Kaidah Tafsir. (Tangerang: Lentera Hati, 2013), 226.

[24] Terdapat beberapa ayat di dalam al-Quran yang menyebut tentang penyembuhan penyakit melalui perantara bacaan al-Quran. Antaranya firman Allah ayat 82 Surah Isra' yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan [al-Quran itu] tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian.” Begitu juga melalui sunnah Nabi dengan amalan para sahabat, kita akan mendapati bagaimana mereka sering menjadikan al-Quran dan zikir-zikir tertentu sebagai ikhtiyar dalam merawat.

[25] Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 2200.

[26] Teks asal dalam Bahasa Arab:

"...لا بأس أن يرقي الإنسان بكتاب اللّه عز وجل وما يعرف من ذكر اللّه..."

Sila rujuk: Al-Nawawī, al-Majmū‘. (Jeddah: Maktabah al-Irsyād, t.t.), 9:65.

[27] Wahid Abdussallam Bali, Ruqyah Jin, Shir dan Terapinya. (Jakarta: Ummul Quran, 2017),110.

[28] Sayyidatina A’ishah r.a. pernah berkata yang bermaksud: “Demi Allah, tangan Rasulullah tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekali pun dalam bai’ah (perjanjian), mereka hanya membai’ah dengan ucapan sahaja.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari].

[29] Nabi bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.” [Hadis riwayat Imam Muslim].

[30] Teks asal dalam bahasa Arab:

"...ولو حصل له من الخوارق ماذا عسى أن يحصل. فإنه لا يكون مع تركه الفعل المأمور وعزل المحظور...".

Sila rujuk: Ibn Abī al-‘Izz al-Ḥanafī, Syarḥ al-‘Aqīdah al-Ṭaḥāwiyyah, (Beirūt: Mu’assah al-Risālah, 1990), 768.

[31] Aḥmad Ibn Ḥanbal, al-Zuhd. (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), 235.

[32] Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura, 62 & 67.

[33] Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura, 179-195.

[34] Pemikiran asas dalam Martabat Tujuh ialah kesatuan segala yang ada (wiḥdatul wujūd atau mysticism) yang tiada awal dan akhir. Martabat Tujuh menjelaskan bahawa alam dan manusia berasal daripada Allah dan bukannya dijadikan dari tiada kepada ada. Lihat Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura, 188-190.

[35] Abdulfattah Haron Ibrahim, Kebatilan Agama Taslim, 11.

[36] Ahmad Laksamana, Hakikat Insan, 227.

[37] Noktah Hitam:  Ajaran Sesat di Singapura, 90-99. Lihat juga, Abdulfattah Haron Ibrahim, Kebatilan Agama Taslim.

[38] Keputusan Fatwa 20/05/10.