Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan soalan berkaitan pemakaian tudung dalam perkhidmatan pakaian seragam pada 6 September 2021 dan 5 Oktober 2021
FATWA
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.
1 Isu pemakaian tudung bagi jururawat telah dibincangkan secara serius di kalangan masyarakat Islam Singapura. Pemerintah telah mengumumkan perubahan polisi berkaitan pemakaian tudung bagi para jururawat yang akan berkuatkuasa pada 1 November 2021, hasil usaha gigih dan kerjasama pemimpin dan masyarakat.
2 Lanjutan dari pengumuman tersebut, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menerima beberapa pertanyaan untuk menjelaskan bagaimana para jururawat dapat menyesuaikan pemakaian tudung mereka dan menutup aurat1 dalam situasi klinikal agar mereka dapat menjalankan tugas dengan baik. Terdapat juga beberapa soalan berkaitan isu menutup aurat dengan sempurna bagi wanita sewaktu bekerja, khusus bagi mereka yang perlu mengenakan pakaian seragam.
3 Fatwa ini bertujuan memberi panduan kepada para jururawat atau petugas lain yang menghadapi kesukaran untuk menutup aurat dengan sempurna disebabkan polisi pakaian seragam.
4 Menutup aurat adalah satu kewajipan bagi Muslim yang telah mencapai usia baligh. Ia bertujuan memelihara keperibadian Muslim, kesucian kehormatannya, dan mengelakkan keburukan dari kacamata agama.2 Majoriti ulama berpandangan, aurat wanita adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.3 Memakai tudung bagi wanita bertujuan untuk menutup aurat ini.
5 Pemakaian tudung bagi wanita Muslim dengan tujuan menjalankan tanggungjawab peribadinya untuk menutup aurat tidak seharusnya menghambat usaha mulia untuk membawa kebaikan kepada diri dan masyarakat. Ia bukan penghalang untuk seseorang wanita Muslim menjalankan tugas dengan penuh amanah lagi profesional serta dapat menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
6 Dalam konteks Singapura secara khusus, pemakaian tudung tidak seharusnya dilihat sebagai melemahkan atau menghalang hubungan yang baik lagi positif sesama kaum mahupun agama. Sebaliknya, pegawai yang profesional dan cemerlang yang dapat menjaga auratnya akan menambah dan memperkukuh keyakinan masyarakat bahawa pengamalan agama tidak menghalang keharmonian, bahkan ia dapat mengukuhkan lagi persefahaman di kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa.
7 Walaupun demikian, memahami konteks (wāqi‘) serta keadaan (aḥwāl) adalah pertimbangan yang perlu dan alat penting dalam memahami dan melaksanakan Syariat Islam serta menetapkan hukum-hakamnya. Setiap hukum yang ditetapkan akan memberi kesan kepada individu, masyarakat dan sekitaran yang hidup dalam konteks dan keadaan tertentu. Apabila sesuatu kewajipan itu sukar dilaksanakan atau tidak dapat disempurnakan, maka Syariat menyediakan ruang bagi umat Islam untuk membuat pertimbangan yang teliti dan menyeluruh berdasarkan prinsip dan garis pandu yang bersesuaian.
8 Ditegaskan bahawa antara prinsip dan garis pandu ini adalah, agama mengelakkan kesusahan dan kesukaran.
Firman Allah ﷻ dalam Surah al-Baqarah, ayat 286:
Yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Begitu juga di dalam Surah at-Taghabun, ayat 16:
Yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.”
Di dalam sepotong hadith yang mengandungi maksud yang sama, Nabi Muhammad ﷺ menjelaskan:
مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Yang bermaksud: “Apa yang telah aku larang, jauhilah ia, apa yang aku perintahkan, lakukanlah menurut kemampuan diri kamu…” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).
9 Berdasarkan prinsip-prinsip agama di atas, usaha serta upaya seseorang melaksanakan perintah agama mengikut kadar kemampuannya tidak bermakna amalan agamanya kurang atau lemah keislamannya.
10 Adapun dalam situasi-situasi tertentu di mana beberapa amalan ataupun tanggungjawab agama tidak dapat disempurnakan oleh umat Islam, Syariat Allah bersifat rahmah dan tidak membebankan seseorang kecuali apa yang termampu olehnya.
11 Secara amnya, masyarakat Islam dapat meneruskan kehidupan beragama dengan baik di Singapura. Dalam konteks pekerjaan, kebanyakan polisi dan situasi membenarkan wanita menutup auratnya. Ini termasuk polisi yang baru diluluskan oleh pemerintah bagi para jururawat. Masyarakat Islam menyambut baik perubahan polisi ini dan bersyukur, khususnya kerana para jururawat yang memainkan peranan penting memelihara dan menyelamatkan nyawa.
12 Namun, terdapat juga situasi yang tidak membolehkan penutupan aurat secara sempurna, khususnya dalam konteks pekerjaan berseragam kerana urusan pekerjaan tertakluk kepada polisi dan keperluan institusi. Dalam keadaan sedemikian, tidak wajar kita mengambil jalan mudah dengan menghalang wanita dari bekerja tanpa meneliti situasi dan mempertimbangkan hukum yang sesuai berdasarkan prinsip-prinsip agama yang jelas.
13 Setiap bidang pekerjaan tertakluk kepada polisi yang ditetapkan berdasarkan keperluan dan kemaslahatan pekerjaan masing-masing. Antaranya ialah tatacara pemakaian sewaktu bertugas yang berkait dengan faktor keselamatan.4 Sebagai contoh, dalam sektor perubatan, pandemik COVID-19 jelas menunjukkan bahawa bahaya jangkitan virus dan kuman boleh mengakibatkan kemudaratan yang meluas. Bagi para jururawat, risiko jangkitan adalah sesuatu yang dipandang serius kerana ia boleh mengakibatkan kemudaratan dan bahaya kepada petugas dan pesakit. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan telah meletakkan garis pandu klinikal dalam pemakaian tudung ketika bertugas, termasuk polisi ‘Bare Below the Elbow’ atau BBE. Polisi ini menetapkan bahawa pegawai mesti memastikan tangan sehingga ke paras siku dibiarkan terdedah, dan tidak boleh mengenakan sebarang pakaian mahupun perhiasan. Lengan pakaian seragam atau pakaian kerja yang dikenakan para petugas kesihatan perlulah dibiarkan pendek, atau dilipat dengan rapi di bahagian siku untuk membolehkan teknik penjagaan kebersihan tangan yang berkesan. Justeru, polisi BBE ini mestilah dipatuhi oleh kesemua petugas kesihatan apabila berurusan langsung dengan pesakit, atau apabila memasuki persekitaran di mana pesakit ditempatkan.5
14 Keperluan seperti ini adalah sesuatu yang diterima oleh Syariat Islam. Bahkan, tradisi fiqh Islam telah membincangkan batasan aurat wanita dan membolehkan pendedahan lengan tangan di luar solat sekiranya terdapat keperluan, seperti ketika wanita sedang melaksanakan tugas.6 Dalam situasi di mana tudung perlu digantikan dengan penutup rambut yang lain (seperti dalam bilik pembedahan), atau dilepaskan sekiranya terdapat keperluan dari aspek klinikal dan keselamatan yang lain, serta keselamatan peribadi dan awam, maka agama membolehkannya. Pertimbangan hukum agama dalam konteks ini memberi ruang bagi para petugas Muslim untuk terus berkhidmat dengan profesional, menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan, serta mempamerkan etika kerja Islam melalui khidmat mereka. Ia merupakan prinsip di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ seperti sabda Baginda ﷺ:
إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyulitkan (urusan) agama itu melainkan dia akan tewas.” (Hadith riwayat al-Bukhari).
15 Dalam konteks penjawat awam yang lain, para petugas yang terjejas perlu membuat penilaian yang teliti, berdasarkan polisi pekerjaan, sebab-sebabnya, kemaslahatan serta keperluan untuk bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Mereka lebih mengetahui keadaan dan situasi masing-masing, dan harus mempertimbangkannya dengan berpandukan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Syariat Islam.
16 Antara prinsip ini adalah untuk mendahulukan tanggungjawab dan keperluan yang lebih utama, mengikut peringkat-peringkatnya yang telah ditentukan Syariat bermula dengan ḍarūriyyāt (kemestian), kemudian ḥājiyyāt (keperluan) dan setelahnya taḥsīniyyāt (keinginan).7 Penting untuk kita memahami tahap keperluan-keperluan ini dalam meletakkan keutamaan. Dalam mengimbangi antara tanggungjawab dan keperluan kehidupan, sesuatu yang menjadi ḍarūriyyāt (kemestian) harus diutamakan ke atas ḥājiyyāt (keperluan) dan selanjutnya. Pertimbangan ini harus dilakukan oleh individu yang memahami situasi masing-masing.
17 Sebagai contoh, bagi sebahagian individu, pekerjaan bukan satu pilihan, bahkan kemestian. Agama menyuruh kita berdikari dalam mencari rezeki dan tidak mengharapkan bantuan serta sedekah dari orang lain. Ia menganggap pekerjaan sebagai sesuatu yang sangat perlu untuk menjaga diri dan tanggungannya dalam memelihara kesinambungan hidup yang baik serta kehormatan diri dan keluarga. Konteks ekonomi hari ini menuntut perancangan jangkamasa panjang bagi individu dan ahli keluarga yang lain, dan bukan hanya keperluan jangkamasa pendek.
18 Ada juga yang bertugas untuk menjaga dan memastikan kestabilan dan kemakmuran negara. Ini termasuk sektor kesihatan, keselamatan awam dan sebagainya. Memelihara kesinambungan hidup yang baik dan bermakna, serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negara adalah antara ḍarūriyyāt (kemestian) Syariat yang mesti dipelihara. Kewajipan menutup aurat pula termasuk di dalam kewajipan taḥsīniyyāt (keinginan) seperti yang telah dibincangkan oleh sebahagian ulama seperti Imam al-Shāṭibī.8 Maka, jika seseorang mendapati dirinya dalam situasi menyempurnakan ḍarūriyyāt sedemikian tetapi tidak dapat menutup auratnya dengan sempurna kerana polisi pekerjaan, maka dia boleh memilih untuk meneruskan tugasnya selagimana ia tidak membawa kemudaratan kepada dirinya mahupun orang lain.
19 Masyarakat tidak harus memaksa para petugas wanita Muslim untuk mengenakan tudung semasa bertugas atau memandang rendah pada mereka. Sebaliknya, masyarakat harus mendoakan agar mereka dapat menyempurnakan tanggungjawab agama ini dengan sebaik mungkin.
20 Sememangnya persepsi negatif terhadap apapun agama atau kaum hanya kerana ketrampilan zahir mereka adalah sesuatu yang dikesali. Oleh itu, kita perlu terus membina keyakinan dan memupuk kepercayaan yang lebih kukuh antara kaum dan agama, agar perbezaan keagamaan, termasuk simbol-simbolnya, tidak menjadi penghalang mahupun ancaman kepada perpaduan dan kestabilan hidup bermasyarakat.
21 Kita perlu terus bekerjasama dalam meningkatkan persefahaman masyarakat Islam dengan pelbagai pihak. Rundingan yang wajar, penuh hikmah dan seimbang perlu diteruskan. Nabi Muhammad ﷺ adalah pedoman kita dalam memilih untuk berunding dan bekerjasama dengan pelbagai pihak demi mencapai kesepakatan dan perpaduan. Baginda ﷺ kekal fokus mencari keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan buat semua, walaupun ini bermakna beberapa penyesuaian amalan agama perlu dibuat dalam situasi sedemikian. Ini jelas kelihatan dalam sebahagian perjanjian Baginda ﷺ dengan kaum-kaum lain.9
22 Marilah kita berusaha untuk memahami dan mengamalkan agama berdasarkan prinsip, tujuan dan nilai-nilai murni Syariat secara menyeluruh. Semoga Allah ﷻ terus memberikan masyarakat Islam Singapura kekuatan dan keyakinan untuk menjadi umat yang berjaya dan yakin dalam mengatasi segala cabarannya.
والله أعلم
والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
[1] ‘Awrah dalam bahasa Arab, atau aurat dalam bahasa Melayu merujuk kepada bahagian tubuh badan, bagi lelaki mahupun wanita yang perlu ditutup berpandukan kepada hukum Islam untuk memelihara kehormatan.
[2] Menutup aurat adalah satu perantara (wasīlah) untuk mencapai tujuan yang lebih utama dalam Syariat (maqāṣid). Ini disebutkan dalam Surah Al-Ahzab, ayat 59 bahawa aurat wanita adalah bertujuan melindungi mereka dari disakiti dan dibahayakan orang. Sebahagian ulama, seperti Imam al-Shāṭibī, bertanggapan bahawa menutup aurat termasuk sesuatu kebiasaan yang mendatangkan kebaikan dan kesempurnaan akhlak dan budi pekerti (maṣlaḥah taḥsīniyyah). Sila lihat, Al-Shāṭibī, Al-Muwāfaqāt, (Saudi Arabia: Dār Ibn Affān Li Nashr wa al-Tawzī‛, 1997), 2:22.
[3] Al-Nawawī, Al-Majmū‛, (Beirūt: Dār al-Fikr, t.t.), 3:167. Lihat juga, Al-Ṣāwī, Al-Sharḥ al-Ṣaghīr. (Qāhirah: Dār al-Ma‛ārif, t.t.), 1:289; Al-Zayla‛ī, Tabyīn al-Ḥaqā’iq, (Qāhirah: Maṭba‛ah al-Kubrā al-Amīriyyah, t.t.), 6:18.
[4] Beberapa kajian membuktikan bahawa kuman/virus boleh ditemui pada pakaian jururawat sesudah syif mereka tamat. Sila lihat, Kerri A. Thom (et al.), “Frequent contamination of nursing scrubs is associated with specific care activities”, https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0196655317312853; juga Marie-Anne Sanon and Sally Watkins, “Nurses’ uniforms: How many bacteria do they carry after one shift?”, https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4180417/
[5] Terdapat bukti yang kukuh bahawa pakaian yang dikenakan oleh petugas kesihatan boleh dihinggapi bakteria dan kuman, dan bahagian yang paling banyak ditemukan bakteria biasanya adalah bahagian lengan baju dan juga saku pakaian.
[6] Jumhur ulama berpendapat lengan merupakan sebahagian daripada aurat seorang wanita. Di sisi mazhab Maliki, lengan tangan dianggap sebagai aurat yang ringan, sekiranya ia terdedah ketika solat, seseorang itu tidak perlu mengulangi solatnya sekiranya tiada waktu yang mencukupi untuk mengulanginya. Di sisi mazhab Hanafi, terdapat dua pendapat. Yang diterimapakai di sisi mereka, lengan tangan merupakan aurat sama ada di dalam solat ataupun di luar. Pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia hanya merupakan aurat di dalam solat sahaja. Tambahan itu, Imam al-Sarakhsī dari mazhab Hanafi menukil pandangan sebahagian ulama bahawa jika lengan seorang wanita terdedah dan terlihat tatkala beliau bekerja (yang mana pekerjaannya menyebabkan pendedahan lengan tersebut), maka ia dibolehkan. Teks dalam bahasa Arab:
وَذُكِرَ فِي جَامِعِ الْبَرَامِكَةِ عَنْ أَبِي يُوسُفَ أَنَّهُ يُبَاحُ النَّظَرُ إلَى ذِرَاعَيْهَا أَيْضًا لِأَنَّهَا فِي الْخَبْزِ وَغَسْلِ الثِّيَابِ تُبْتَلَى بِإِبْدَاءِ ذِرَاعَيْهَا أَيْضًا.
Al-Sarakhsī, Al-Mabsūṭ, (Beirūt: Dar al-Ma‛rifah, 1978), 10:153; Ibn al-Humām, Sharḥ Fatḥ al-Qadīr, (Beirūt: Dār al-Kutub al-‛Ilmiyyah, 2003), 1:267. Lihat juga, Al-Mawsū‛ah al-Fiqhiyyah, (Kuwait: Maṭābi‛ Dār al-Ṣafwah, 1994) 31:44-45.
[7] Pemeliharaan objektif umum Syariat (Maqāṣid al-Sharī‘ah) berlaku pada tiga tahap utama. Yang pertama, pemeliharaan pada tahap kemestian (ḍarūriyyāt). Ia merupakan pemeliharaan perkara-perkara yang mana diperlukan bagi keberlangsungan kehidupan insan, seperti makan dan minum. Darūriyyāt berbeza dengan istilah “darurat” yang mana darurat merupakan situasi terdesak dan mencemaskan dengan tertangguhnya hukum asal dan diberi keringanan dalam keadaan mereka. Yang kedua, pemeliharaan pada peringkat keperluan (ḥājiyyāt). Ia merupakan pemeliharaan bagi perkara-perkara yang memberi kemudahan bagi kehidupan insan. Ketiadaannya akan mengakibatkan kesukaran pada kehidupan dan tidak pada keberlangsungan kehidupan, sebagai contoh urusan jual beli. Adapun yang ketiga, ia merupakan pemeliharaan bagi perkara-perkara yang diinginkan (taḥsīniyyāt), sebagai contoh adab makan dan minum. Ia merupakan perkara yang menyempurnakan kehidupan. Sila lihat: Al-Shāṭibī, Al-Muwāfaqāt, 2:17-22; Zulkifli Al-Bakri, Maqasid Al-Syariah: Satu Pengenalan Umum, (Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi, 2014).
[8] Teks dalam bahasa Arab:
وأما التحسينيات فمعناها الأخذ بما يليق من محاسن العادات... ففي العبادات كإزالة النجاسات ... وستر العورة
Yang bermaksud: “Adapun maksud taḥsīniyyāt adalah mengambil kira apa yang dilihat baik oleh adat kebiasaan... seperti di dalam ibadat membersihkan kesan najis… dan juga menutup aurat...” Sila lihat: Al-Shāṭibī, Al-Muwāfaqāt, 2:22.
[9] Seperti penggubalan Piagam Madinah, Rasulullah ﷺ mengadakan perjanjian dengan masyarakat Yahudi dan Arab untuk mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni, mengekalkan keamanan dan persefahaman sesama penduduk Islam dan bukan Islam serta menegakkan keadilan sosial di Madinah. Begitu juga, dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah ﷺ mengamalkan pendekatan yang berhikmah dalam berinteraksi, bermuamalah, dan bertolak ansur bersama kaum Quraisy Makkah, sungguhpun perjanjian tersebut seakan-akan menyebelahi kaum Quraisy.