Fatwa on Friday Prayers during COVID 19 (Malay)

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

 

 

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan isu-isu berkaitan perlaksanaan solat Jumaat dalam konteks penularan wabak COVID-19 di Singapura pada 23 Mac 2020 dan 16 Jun 2020

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

.الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد

RINGKASAN KEPUTUSAN

Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan perkara-perkara berikut:

1.  Solat berjemaah boleh dilakukan dengan jarak selamat sama ada antara imam dan jemaah mahupun antara sesama makmum dalam saf solat berjemaah.

2. Solat Jumaat boleh ditunaikan lebih dari sekali dalam sebuah masjid dan boleh dimulakan sebelum waktu Zohor sekiranya terdapat keperluan.

3. Golongan-golongan yang mudah dijangkiti penyakit, khuatir dijangkiti penyakit atau tidak mendapatkan tempat di masjid merupakan golongan yang berhalangan dan diberikan rukhṣah (keringanan) untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor.

PERINCIAN FATWA
LATARBELAKANG

1. Mengikut fatwa yang telah diluluskan pada 18 Februari 2020, solat berjemaah serta Jumaat di Singapura ditangguhkan selagimana masjid-masjid perlu ditutup dan keadaan masih belum selamat bagi jemaah untuk menunaikannya kerana risiko jangkitan wabak COVID-19. Pada 15 Jun 2020, pemerintah telah memaklumkan bahawa Singapura akan memasuki fasa kedua pembukaan semula ekonomi negara dan aktiviti-aktiviti yang dahulunya disekat kerana keadaan sedang beransur pulih dari COVID-19. Dengan itu, ada kemungkinan solat berjemaah serta Jumaat dapat dilaksanakan semula di dalam fasa kedua.

2. Namun, mengambil kira kes-kes jangkitan COVID-19 dan risiko yang masih ada, pelaksanaan Fasa Kedua Pasca Pemutus Rantaian (Fasa Peralihan Selamat) perlu dilakukan berhati-hati dan berperingkat. Ini termasuk pembukaan masjid untuk solat berjemaah dan Jumaat. Untuk mengurangkan risiko ini, banyak langkah-langkah, khususnya untuk memastikan jarak selamat di antara jemaah, mesti diperhatikan. Ini menimbulkan beberapa persoalan agama seperti yang diajukan oleh pihak Kelompok Pembangunan Masjid dan Masyarakat (MCM), MUIS, yang memerlukan penjelasan dari Jawatankuasa Fatwa:

i)     Bagaimana solat berjemaah dan solat Jumaat dapat dilaksanakan ketika masih wujud penularan wabak?

ii)    Sekiranya ruang solat terbatas dan jumlah jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat terhad, apakah hukum bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana keterbatasan tersebut?

PRINSIP-PRINSIP UTAMA

3. Dalam mempertimbangkan persoalan-persoalan di atas, Jawatankuasa Fatwa telah memberi tumpuan kepada perkara-perkara berikut:

i) Bagaimanakah cara untuk melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat secara selamat ketika penularan wabak;

ii) Siapakah mereka yang berhalangan untuk melaksanakan solat Jumaat;

iii) Bagaimanakah cara untuk menampung lebih ramai jemaah dengan ruang yang terbatas.

Melaksanakan Solat Berjemaah dan Solat Jumaat secara Selamat ketika Penularan Wabak

4. Sekiranya pihak berkuasa telah mengumumkan bahawa situasi membolehkan masjid-masjid untuk dibuka semula serta solat berjemaah dan solat Jumaat dapat dilaksanakan, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa masjid-masjid perlu mengambil langkah-langkah pencegahan (yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan) seperti memastikan jarak selamat antara individu (sekurang-kurangnya 1 meter), serta mengehadkan penyertaan orang ramai pada sesuatu acara dan sebagainya.

5. Langkah-langkah yang ditetapkan adalah ikhtiyar agar kita dapat menjalankan ibadat dengan selamat serta penuh bertanggungjawab di masjid agar ia tidak menjadi tempat penularan wabak COVID-19 (Sila rujuk keputusan fatwa 23 Mac 2020). Ia juga bagi menjamin kehidupan seharian kita dapat berterusan, dengan penyesuaian yang dilaksanakan mengikuti keperluan dan keadaan. Ini sesuai dengan kaedah fiqh “Kemudaratan perlu dihilangkan” (الضرر يزال).

6. Di antara langkah-langkah tersebut adalah:

i)     Penyusunan Saf dalam Solat Berjemaah

Umumnya, terdapat pelbagai hadis yang membincangkan tentang kepentingan dan kelebihan memastikan bahawa saf dalam solat berjemaah disusun rapat tanpa ada renggang dan jurang di antara jemaah.1 Namun, perkara ini perlu diperhatikan di dalam keadaan biasa. Adapun pada keadaan luar biasa dan darurat seperti berlakunya penularan wabak, di mana virus berjangkit apabila kita berada dekat dengan seseorang,2 jurang selamat adalah perlu dan dibolehkan dalam solat berjemaah sesuai dengan tujuan Syariah, iaitu memelihara kesihatan dan nyawa insan. Tambahan pula, para ulama’ mazhab al-Shafi’e seperti Imam al-Shirbini menjelaskan bahawa kerapatan saf bukan syarat sah solat berjemaah, tetapi satu amalan sunat:

Yang bermaksud: “Disunatkan untuk ditutup/dirapatkan kerenggangan pada saf-saf, dan untuk tidak memulakan saf yang baru sehingga telah disempurnakan yang pertama, dan diberi ruang kepada sesiapa yang menginginkannya [yakni menyertai saf tersebut]. Dan kesemua ini merupakan suatu perkara yang sunnah, bukannya satu syarat (sah solat berjemaah), maka sekiranya ada yang tidak menurutinya, solat yang mereka tunaikan itu adalah sah, walaupun ia makruh.”3

Imam al-Ramli pula berpendapat bahawa sebarang ruang yang wujud di antara jemaah yang berdiri dalam saf tidak menjejas kesahihan solat berjemaah. Selagimana i) individu tersebut melaksanakan solat di dalam masjid, serta ii) tidak menjangkaui tempat berdirinya imam dan iii) beliau mendengar bacaan imam serta mengetahui pergerakannya, maka solat berjemaahnya adalah sah.4

Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa jurang selamat yang wujud untuk mengelakkan risiko jangkitan wabak COVID-19 tidak menjejas sahnya solat berjemaah, bahkan adalah diperlukan. Sila lihat lampiran A sebagai contoh penyusunan saf yang boleh dipraktikkan di masjid bagi solat berjemaah dengan mengambilkira jarak selamat (“safe distancing”).


Golongan yang berhalangan untuk melaksanakan solat Jumaat

7. Semasa penularan wabak COVID-19, masjid-masjid tidak akan dapat menampung jumlah jemaah yang biasa menghadiri solat Jumaat pada setiap minggu. Oleh kerana risiko jangkitan COVID-19 masih lagi wujud, golongan-golongan berisiko tinggi juga perlu dipelihara keselamatan mereka. Jawatankuasa Fatwa telah mempertimbangkan keadaan ini dan berpandangan bahawa kewajipan menunaikan solat Jumaat dalam konteks penularan wabak COVID-19 terikat dengan dua perkara:

i)     keselamatan setiap orang yang menghadiri solat Jumaat

ii)    kewujudan ruang solat yang selamat mengikut panduan-panduan keselamatan dari aspek perubatan dan kesihatan awam.

8. Berdasarkan pertimbangan di atas, terdapat beberapa golongan yang dikecualikan dari kewajipan menunaikan solat Jumaat seperti berikut:

i) Golongan warga emas;

ii) Golongan yang menghidapi penyakit kronik;

iii) Golongan yang khuatir akan dijangkiti penyakit ke atas dirinya atau ahli keluarganya, khususnya bagi mereka yang tinggal bersama ahli keluarga yang sudah berumur ataupun bersama mereka yang menghidapi penyakit kronik dan sebagainya;

iv)  Mereka yang cuba mendaftar tetapi tidak berjaya untuk mendapatkan tempat menunaikan solat Jumaat.

9. Golongan-golongan di atas dianggap sebagai antara mereka yang berhalangan dan diberikan rukhṣah (keringanan) untuk tidak menunaikan solat Jumaat buat masa ini. Mereka perlu menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah. Diriwayatkan Imam Al-Tabrani, Ibn Mas’ud pernah berkata:

(وَمَنْ فَاتَتْهُ الرَّكْعَتَانِ فَليُصَلِّ أَرْبَعًا)

Yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang terlepas dua rakaat (solat Jumaat), maka hendaklah dia melakukan solat empat rakaat (Zohor).”5

10. Mereka juga boleh memanfaatkan khutbah yang ditayangkan secara langsung melalui wadah dalam talian (online).

11. Kerana keterbatasan ruang solat di masjid-masjid serata Singapura buat masa ini, serta keadaan penularan wabak yang belum berakhir lagi, mereka yang tidak diwajibkan solat Jumaat (seperti kanak-kanak yang belum baligh dan kaum wanita) diminta untuk hanya menunai solat Zohor di rumah dan tidak menunaikan solat Jumaat. 


Menampung Lebih Ramai Jemaah dengan
Ruang yang Terbatas

12. Dengan jumlah jemaah yang terhad di dalam masjid pada sesuatu masa, maka perlu difikirkan beberapa cara lain untuk membolehkan lebih ramai jemaah melaksanakan solat Jumaat. Di antaranya adalah dengan menjalankan beberapa kali solat Jumaat:

i) Menunaikan solat Jumaat lebih dari sekali

Jawatankuasa Fatwa mendapati para fuqaha’ mempunyai beberapa pandangan berkaitan pelaksanaan solat Jumaat lebih dari sekali. Sebahagian fuqaha’ tidak membenarkan solat Jumaat dilakukan berulang kali pada satu tempat/masjid kerana pada asalnya ia hanya dilaksanakan sekali sahaja di satu masjid (masjid jāmi’) bagi seluruh kawasan besar dengan bertujuan mengumpul semua kaum Muslimin berada di satu tempat sahaja.6

Namun, dengan meningkatnya jumlah masyarakat Islam serta mereka yang tinggal berjauhan daripada masjid, para fuqaha’ berpandangan bahawa solat Jumaat boleh dilakukan di beberapa tempat bagi memudahkan umat Islam untuk menunaikannya.7

Sekarang ini, beberapa institusi fatwa kontemporari seperti Dār al-Iftā’ di Mesir dan European Council for Fatwa and Research membolehkan solat Jumaat dilakukan berulangkali di satu masjid dengan imam dan makmum yang berlainan sekiranya terdapat keperluan yang tertentu, seperti ruang solat yang terbatas.8

Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa terdapat keperluan pada masa ini untuk melaksanakan solat Jumaat berulang kali di sesebuah masjid, kerana mengambilkira keterbatasan ruang di dalam masjid, untuk memberi peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat untuk sama-sama menunaikan solat Jumaat mereka.

ii) Menyegerakan solat Jumaat sebelum waktu zawāl

Lanjutan dari pandangan di atas yang membolehkan solat Jumaat dilaksanakan beberapa kali, Jawatankuasa Fatwa juga telah mempertimbangkan samada solat Jumaat boleh diadakan lebih awal jika perlu.

Jawatankuasa Fatwa telah mempertimbangkan beberapa hadis yang menjadi hujjah bahawa Nabi s.a.w. telah mendirikan solat Jumaat sebelum tergelincirnya matahari:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الْجُمُعَةَ، ثُمَّ نَذْهَبُ إِلَى جِمَالِنَا فَنُرِيحُهَا حِينَ تَزُولُ الشَّمْسُ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menunaikan solat Jumaat, kemudian kami pergi ke unta kami dan memberinya makan ketika tergelincirnya matahari.” (Hadis riwayat Muslim).

Juga hadis Nabi s.a.w.:

وَعَنْ سَلَمَةَ، قال: كُنَّا نُصَلِّي مَعَ رَسُولِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ الجُمُعَةَ، ثُمَّ نَنْصَرِفُ وَلَيْسَ لِلْحِيطَانِ ظِلٌّ نَسْتَظِلُّ بِهِ

Yang bermaksud: “Daripada Salamah r.a. berkata: Kami solat bersama Rasulullah s.a.w. solat Jumaat, kemudian kami pergi, dan ketika itu tiada bayangan pada dinding-dinding yang mampu kami berteduh dengannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis-hadis di atas juga menjadi sandaran bagi mazhab Hanbali di dalam membolehkan solat Jumaat ditunaikan sebelum matahari tergelincir.9 Mengambil kira keadaan sekarang ini, Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa pendapat ini boleh digunakan untuk memulakan solat Jumaat lebih awal dari waktu Zohor sekiranya perlu.10 Walaupun ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dijalankan di Singapura, dan bukan satu pandangan di dalam mazhab Shafi’e, namun ia adalah satu ikhtiyar dan usaha untuk membolehkan lebih ramai orang menunaikan kewajipan solat Jumaat kerana situasi mencabar yang dihadapi oleh umat Islam Singapura pada masa ini.

Jawatankuasa Fatwa juga menasihatkan dalam usaha ini, solat Jumaat harus ringkas (tidak melebihi 30 minit secara keseluruhannya, mengikut panduan kesihatan). Setelah selesai satu sesi solat Jumaat, para jemaah perlu beredar dengan segera untuk memberi ruang bagi sesi seterusnya.

PENUTUP

13. Jawatankuasa Fatwa ingin mengingatkan bahawa fatwa-fatwa ini adalah usaha untuk membantu dan mempermudahkan kehidupan keagamaan masyarakat Islam Singapura di dalam suasana mengharungi ujian penularan wabak COVID-19. mengikut prinsip serta dasar Syariah. Setiap dari kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keselamatan dan melindungi nyawa para jemaah masjid secara khusus dan masyarakat awam secara umum. Nasihat Jawatankuasa Fatwa adalah agar kita terus mengamalkan segala langkah-langkah pencegahan yang diperlukan semasa melaksanakan ibadah di masjid, seperti yang dianjurkan oleh pakar perubatan. Ini termasuk mengambil wuduk di rumah untuk mengelakkan sebarang jangkitan daripada berlaku di tempat-tempat wuduk disebabkan titisan air dari mereka yang telah dijangkiti penyakit ini, memakai pelitup muka, membawa sejadah peribadi, tidak bersentuhan di antara jemaah, membuat pendaftaran masuk dan keluar masjid, tidak berlegaran di ruangan masjid dan hadir solat Jumaat tepat pada masanya.

14. Walaupun banyak langkah-langkah yang diperlukan, masyarakat Islam perlu terus bersabar dan bersyukur di atas nikmat dan anugerah Allah s.w.t. untuk kembali beribadat di masjid. Elakkanlah segala sikap yang tidak baik sekiranya terdapat halangan dari menunaikan ibadat di masjid.

15. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar kita terus dikurniakan kesejahteraan serta keselamatan. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan jalan keluar serta penyelesaian yang baik buat negara kita serta keseluruhan masyarakat dunia, Amin.

 

والله أعلم

والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA

 

LAMPIRAN A – CONTOH SUSUNAN SAF SOLAT BERJEMAAH/ SOLAT JUMAAT SEMASA PENULARAN WABAK

 



[1] Seperti hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Yang bermaksud: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam (kesempurnaan) mendirikan solat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Juga hadis yang diriwayatkan Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

أَقِيْمُوا الصُّفُوفَ، وَحَاذًوا بَيْنَ المَنَاكِبِ، وَسَدُّوا الخَلَلَ، وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ، وَلَا تذَرُوا فَرُجَاتٍ لِلْشَيْطَانِ، وَمَن وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ الله، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ الله

Yang bermaksud: “Luruskanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu, isilah ruang kosong (antara kamu), bersikap lembutlah terhadap lengan teman-teman kamu (ketika mengatur saf), dan janganlah biarkan ada ruang untuk (dimasuki) syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf maka Allah akan memutuskannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).

[2] Virus COVID-19 boleh berjangkit melalui percikan partikel ketika orang yang dijangkiti bersin ataupun batuk. Dan sekiranya titisan tersebut terkena pada suatu permukaan, lalu permukaan tersebut disentuh orang lain, beliau boleh dijangkiti sekiranya setelah itu beliau menyentuh hidung atau matanya, tanpa membersihkan tangannya.

[3] Al-Khaṭῑb al-Shirbῑnῑ, Mughnῑ al-Muḥtāj, juz 1, hlmn. 493.

[4] Al-Ramlī, Asnā al-Maṭālib, juz 1, hlmn. 223-224.

[5] Al-Ṭabranī, al-Mu’jam al-Kabīr, juz 9, hlmn. 358.

[6] Al-Nawawī, Al-Majmū’, juz 4, hlmn. 456; Lihat juga, Al-Mufliḥ, Al-Mubdi’, juz 2, hlmn. 151-152.

[7] Al-Nawawī, Al-Majmū’, juz 4, hlmn. 585-586; Lihat juga, al-Shirbīnī, Mughnī al-Muhtāj, juz 1, hlmn. 543-544; Ibn ‘Ᾱbidīn, Rad al-Muḥtār, juz 2, hlmn. 144-145; al-Mardawī, Al-Inṣāf, juz 2, hlmn. 400-401.

[8] Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah, “Ta’adad al-Jumu’ah fī al-Masjid al-Wāhid li Ḍarūrah Ḍayq al-Makān,”, https://www.dar-alifta.org/AR/ViewFatwa.aspx?ID=12249, telah diterbitkan pada 7 Ogos 2001; Lihat juga, Al-Majlis al-Urūbī li al-Iftā’ wa al-Buḥūth, “Ḥawl Tikrār Iqāmah al-Jumu’ah fī al-Masjid al-Wāḥid li ‘Udhur”,https://www.e-cfr.org/blog/2018/11/07/تكرار-إقامة-الجمعة-المسجد-الواحد/, telah diterbitkan pada 7 November 2018.

[9] Ibn Qudāmah, Al-Mughnī, juz 2, hlmn. 264; Lihat juga, Al-Mardawī, Al-Inṣāf, juz 5, hlmn. 185-190.

[10] Diserahkan kepada setiap masjid untuk mengenalpasti jumlah sesi solat Jumaat yang diperlukan. Ia bergantung kepada keperluan serta jumlah jemaah masjid yang biasanya hadir pada solat Jumaat pada keadaan biasa.