ISU PENDERMAAN ORGAN DI SINGAPURA

Soalan:

Jawatankuasa Fatwa ditanya mengenai penyertaan masyarakat Islam Singapura di dalam Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA).

Jawapan:

  • Setelah meneliti pembentangan Pejabat Mufti mengenai isu pendermaan organ di Singapura, yang mengandungi:
  • Laporan terkini dari Muslim Kidney Action Committee (MKAC) mengenai masalah dan penderitaan yang dialami oleh pesakit ginjal Muslim di Singapura, serta kesan kempen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perlunya membantu pesakit ginjal dengan membuat ikrar,  serta jumlah pengikrar yang sedia ada, dan samada masalah pesakit ginjal dapat diatasi dengan jumlah tersebut pada masa-masa akan datang, dan
  • Laporan Kementerian Kesihatan mengenai proses, kadar dan status pesakit ginjal Muslim dibanding dengan pesakit-pesakit bangsa lain di Singapura, serta faedah dari penyertaan masyarakat Islam di dalam Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA),
  • Maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa masyarakat Islam Singapura boleh disertakan di dalam Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA) kerana sebab-sebab berikut:
  1. Jumhur ulama menghukumkan harus (membolehkan) isu pemindahan dan pendermaan organ dari seseorang selepas ia meninggal dunia. Di antara sebab mereka mengharuskannya adalah:
    • Islam menggalakkan pencarian rawatan bagi penyakit, dan rawatan yang sempurna bagi mereka yang mengalami kerosakan organ seperti ginjal buat masa ini, adalah dengan penerimaan organ baru.
    • Maqasid Syariah (Matlamat Syariat) menetapkan perlunya memelihara nyawa manusia, seperti yang disebutkan di dalam ayat Al-Quran:
    • وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعا

      Yang bermaksud “…barangsiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan semua umat manusia.” (Surah Al-Mai’dah: 32)

    • Syariat Islam berdasarkan sifat rahmat dan ihsan, yang menyeru umatnya membantu dan memberi sumbangan di dalam mengatasi penderitaan manusia, seperti penderitaan pesakit-pesakit ginjal.
    • Pendermaan organ juga merupakan satu amal kebajikan di mana pahalanya dan kebaikannya berterusan selepas kematian seseorang.1
  2. Masalah pesakit-pesakit ginjal tidak dapat diatasi dengan sistem ikrar yang wujud sekarang ini (opt-in dalam MTERA, Medical Therapy, Education and Research Act 1972). Walaupun telah ada fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2004 untuk mempermudahkan proses membuat ikrar dengan memansuhkan syarat persetujuan dua waris, namun jumlah pengikrar masih terlalu rendah dan tidak membantu pesakit yang ada. Sementara itu, mudarat yang dideritai oleh pesakit bertambah, dan menjejas bukan hanya individu pesakit, bahkan juga keluarga mereka. Oleh yang demikian, mafsadah (keburukan) dan madarrah (kemudaratan) yang mereka lalui seharusnya diatasi dengan jalan keluar yang bersesuaian, berdasarkan roh dan kaedah-kaedah di dalam syara’ seperti:
  3. 2 إذا ضاق الأمر اتسع

    Yang bermaksud: “Jika sesuatu masalah itu telah sempit, dengan sendiri ia menjadi lapang.

    3المشقة تجلب التيسير

    Yang bermaksud: “Kesukaran itu mendatangkan kemudahan.

  4. Untuk memastikan agar maslahat umum terjaga, pihak yang bertanggungjawab (waliyyul-amr) boleh membuat keputusan bagi masyarakat awam, berpandukan kaedah fiqh:
  5. تصرف الإمام منوط بالمصلحة

    Yang bermaksud: “Tindakan Imam (pemimpin) bersandarkan pada kepentingan umum

تصرف الإمام منوط بالمصلحة

Yang bermaksud: “Tindakan Imam (pemimpin) bersandarkan pada kepentingan umum

  • Cara keizinan di dalam sistem HOTA, iaitu “presumed consent” atau “opt-out system”, merupakan satu cara keizinan awal yang diminta dari pihak penderma. Ini adalah kerana pihak penderma masih lagi mempunyai ruang untuk menyatakan yang beliau tidak mengizinkan organnya didermakan. Ini boleh dilakukan dengan menarik diri keluar dari sistem HOTA sewaktu hidupnya. Cara ini tidak bercanggah dengan keperluan izin sewaktu hayat bagi pendermaan organ yang ditetapkan oleh jumhur ulama.
  • Masyarakat Islam Singapura yang mengalami sakit ginjal dan organ yang boleh dipindahkan, akan mempunyai peluang yang jauh lebih baik untuk dirawati jika masyarakat Islam disertakan ke dalam HOTA.4 Apabila disertakan, masyarakat Islam akan mendapat peluang yang sama dengan masyarakat lain dalam menunggu giliran bagi mendapat pemindahan ginjal.
  • Namun, sekiranya masyarakat tidak disertakan dalam HOTA, ia tidak membantu dalam menangani isu pesakit ginjal yang mengalami penderitaan, serta pesakit perlu menanggung beban kos yang tinggi bagi rawatan dialisis.5 Masalah pesakit ginjal tidak dapat diselesaikan. Bahkan penderitaan ditanggung juga oleh para anggota keluarga terdekat.
  • Disamping meluluskan fatwa untuk menyertakan masyarakat Islam Singapura ke dalam HOTA, Jawatankuasa Fatwa juga menekankan perlunya memastikan langkah-langkah berikut:
  • Pihak berwajib perlu memastikan peluang yang diberi bagi para pesakit untuk mendapat organ adalah telus dan saksama serta meyakinkan masyarakat.
  • Pihak berwajib perlu memastikan pendidikan awam yang luas dilaksanakan. Surat pemberitahuan mengenai perubahan akta HOTA yang menyertakan masyarakat serta borang untuk “opt-out” perlu di berikan pada setiap individu masyarakat Islam.
  • Pihak berwajib juga perlu memastikan bahawa masyarakat mempunyai pilihan untuk keluar dari HOTA, samada secara keseluruhan, atau memilih di antara organ-organ yang diizinkan sahaja.6
  • Pihak berwajib juga perlu mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa jika terdapat  pindaan terhadap HOTA.
  • Masyarakat perlu diberikan penerangan jelas dari segi hukum dan keperluan menderma organ. Ini boleh dilakukan melalui pendidikan awam sebelum dan sesudah fatwa dikeluarkan.

Minit telah disahkan pada 17 Julai 2007 (MJF 26 2004-2007)



1 Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, “Fataawa Mu’asarah”, edisi 3, m.s. 532 dan 537. “Dan di sini saya berpendapat bahawa tiada larangan daripada mendermakan organ atau anggota mayat kepada pesakit yang memerlukannya untuk mengubati penyakitnya, dan menggantikan organnya yang tidak berfungsi lagi seperti ginjal atau jantung dan sebagainya dengan niat sedekah. Dan sedekah ini dianggap sebagai sedekah jariah yang berkekalan dan berterusan ganjarannya selagi mana si penerima dapat bermanfaat daripadanya.”

2 Al-Suyuti, Jalaluddin Abd Rahman. Al-Asybah wa Al-Nazhair. Cetakan pertama. 1994. Muassasah al-Kutb al-Thaqafiyyah. ms 111

3Ibid. ms 102.

4 Kadar peratus pesakit ginjal Muslim pula  adalah yang tertinggi (21%) jika dibandingkan dengan pesakit bukan Muslim. Sedangkan bilangan jumlah penduduk Muslim hanyalah antara (14-15%)

5 Menurut MOH setiap pesakit perlu membelanjakan sekitar $40,000 setahun.Dialisis juga tidak berupaya untuk memulihkan dan purata mereka yang berjaya setelah menjalani rawatan dialisis selama 5 tahun dan terus hidup adalah hanya 65% berbanding dengan 91% purata kejayaan bagi mereka yang menjalani pemindahan organ.

6 Manual on Organ Donation and Transplant, Ministry of Health, 2005 “HOTA only covers the kidney, heart, liver and cornea. All other organs from HOTA donors will be subjected to the provisions of the MTERA”