Jawatankuasa Etika Perubatan Nasional (NMEC) menyarankan agar satu rang undang-undang dilakarkan bagi memberikan rakyat Singapura hak membuat ‘arahan awal perubatan’ (advance medical directive) secara sukarela.
Rang itu akan membenarkan pesakit membuat arahan untuk memberikan doktor izin menghentikan rawatan jika mereka tiada harapan lagi untuk hidup. Rang itu harus membenarkan seseorang itu membuat wasiat secara sukarela pada sebarang masa, dan oleh individu yang berusia 21 tahun ke atas dan berfikiran waras.
Ia juga harus berkuatkuasa hanya setelah individu itu mengalami sakit teruk yang didefinisikan sebagai "keadaan sakit yang tidak punya harapan untuk pulih, atau pesakit tadi tidak dapat benyawa jika sistem alat bantuan kehidupan (life supporting system) tidak digunakan.
Jawatankuasa terdebut ingin mendapatkan pandangan daripapada MUIS mengenai rang arahan awal perubatan itu.
Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa seseorang yang telah membuat ikrar sedang dalam keadaan waras bahawa ia tidak mahu dipasang alat bantuan kehidupan (life supporting system) kalau ia berada dalam keadaan nazak (terminally ill) hukumnya adalah harus. Ia boleh dianggap bahawa ia memilih untuk bersabar dan lebih rela mati dalam keadaan tabi'e kerana berkeyakinan bahawa apabila sampai ajal seseorang itu maka dia pasti mati.
Perkara ini dibenarkan kerana menurut pandangan majoriti ulama Islam hukum berubat itu tidaklah wajib walaupun Islam sangat menggalakkannya. Ini berpandukan sebuah Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menceritakan tentang seorang perempuan yang sakit dan meminta Nabi s.a.w. supaya mendoakannya. Lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya :
1 "إن شئت صبرت ولك الجنة، وإن شئت دعوت الله أن يعافيك" فقالت : أصبر“
Ertinya : Rasulullah bersabda: "Jika kamu mahu bersabar, maka ganjaran untukmu adalah syurga, dan jika kamu mahukan (sembuh), akan aku doakan kepada Allah untuk menyembuhkan kamu”. Wanita tersebut lalu berkata, "Kalau begitu aku akan bersabar.”
Tambahan pula alat batuan kehidupan (life supporting system) yang dipasangkan ini adalah satu ikhtiar rawatan yang digunakan untuk meneruskan fungsi organ di tubuh tetapi tidak memberi kesan apa-apa pada keadaan sakit yang dideritai, terutama jika pesakitnya dalam keadaan (terminally ill) sakit yang tidak ada harapan sembuh. Walaubagainanapun kami bersyukur, seperti dalam kertas saranan NMEC itu, bahawa rawatan biasa akan diteruskan bagi si pesakit.
Adalah menjadi kod etika ilmu perubatan apabila seseorang itu sakit mestilah dirawat dengan sepenuhnya dan mengikut usaha merawat ini segala peralatan moden digunakan termasuk alat bantuan kehidupan dengan tujuan untuk mengekalkan kehidupan seseorang itu. Jika pesakit itu telah dipasangkan alat (life supporting system) dan dia berada di dalam keadaan koma atau tidak sedarkan diri, jika doktor mengesahkan alat itu tiada lagi berfaedah untuknya; maka Jawatankuasa Fatwa MUIS berpendapat dalam keadaan demikian alat itu boleh dicabut dengan syarat berikut :
Jika telah disahkan tiga orang doktor yang pakar dalam bidang ini secara sebulat suara bahawa pesakit tersebut sudah tiada harapan lagi untuk hidup (terminally ill). Jika ada perselisihan pendapat oleh doktor-doktor dalam kes ini, ia hendaklah dibawa ke sebuah panel pakar yang bebas seperti yang dicadangkan oleh NMEC.
Masalah ini pernah juga dibahaskan oleh Akademi Fiqah Islam dalam persidangannya ke 10 di Makkah al-Mukarramah pada 17 Oktober 1987 yang mana telah diputuskan bahawa : Pesakit yang dipasangkan padanya alat bantuan kehidupan, jika telah dipastikan oleh 3 orang doktor yang pakar bahawa pesakit tersebut telah mati otaknya dan tidak mungkin kembali berfungsi lagi, maka dibolehkan dicabut alat itu sekalipun jantung dan sistem pernafasannya masih bekerja dengan bantuan kuasa alat yang dipasangkan itu.2
Seperti yang dinyatakan dalam kertas NMEC itu, Euthanasia atau 'mercy killing' adalah salah di segi undang-undang Negara Singapura sebagaimana ianya adalah haram dalam hukum Islam.
Oleh kerana perkara arahan awal perubatan (advance medival directive) ini adalah perkara baru dan mungkin boleh menimbulkan salah faham maka dialu-alukan syor NMEC supaya undang-undang dikuatkuasakan bagi mencegah sebarang penyalahgunaan undang-undang arahan awal perubatan (advance medical ditrective) ini. Kami juga menyokong arahan awal pebutan ini hanya dibolehkan secara pilihan sukarela/peribadi.
Kumpulan Fatwa. 20/9/94. MUIS. 2005.
1 Fath Al-Bari Bisyarh sahih Al-Bukhari. 5220. Tambahan:
ألا أريك امرأة من أهل الجنة قلت بلى قال هذه المرأة السوداء أتت النبي صلى الله عليه وسلم فقالت إني أصرع وإني أتكشف فادع الله لي قال إن شئت صبرت ولك الجنة وإن شئت دعوت الله أن يعافيك فقالت أصبر فقالت إني أتكشف فادع الله لي أن لا أتكشف فدعا لها
http://hadith.al-islam.com/Display/Display.asp?Doc=0&Rec=84482 Sila rujuk kitab Majallah Al-Majma‘ Al-Fiqh Al-Islamiy Li Muktamar Al-Fiqh Al-Islamiy Al-‘Adad Al-Thalith. 1987. Jil 2. ms 767.