There will be a scheduled maintenance from 21 December 2024, 10pm to 22 December 2024, 6am. During this period, access to the Muis website may be temporarily unavailable. We apologise for any inconvenience caused.
Jawatankuasa Fatwa telah diminta pendapat mengenai penggunaan embryo (janin) yang telah disemai di luar rahim wanita mengikut kaedah in-vitro fertilisation (penyemaian benih) yang berusia tidak lebih daripada 14 hari, bagi tujuan kerja-kerja penyelidikan berhubung sel induk yang dapat memanfaatkan manusia.
Berdasar kajian saintifik yang telah dilakukan, embryo yang belum mencapai 14 hari tidak dapat merasa sakit kerana hanya pada hari ke 14 satu jalur asli muncul dan berkembang untuk menjadi sistem urat saraf.
Daripada penerangan tersebut dan pengkajian dalam isu ini, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa dasar agama Islam mengalu-alukan penyelidikan ilmiah termasuk yang bersangkut-paut dengan genom manusia, kejuruteraan baka dan seumpamanya. Apa yang diharapkan ialah penyelidikan tersebut dapat digunakan untuk maslahah (kepentingan) manusia bagi merawat penyakit-penyakit yang dihadapi manusia. Sejauh mana penyelidikan dan perlaksanaannya dilakukan hendaklah berlandaskan kaedah fiqh yang muktabar seperti :
Ertinya :
“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat hal yang memudaratkan”.
Maksud kaedah ini ialah :
Ertinya : “Kemudaratan hendaklah dihindarkan”
Maksud kaedah ini ialah : Sesuatu mudarat jika yakin akan berlaku, hendaklah dihindari sama ada sebelum atau sesudah berlaku.
Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa Syarak tidak menetapkan apa jua hukum ke atas janin yang belum terbentuk, lebih-lebih lagi jika ia masih lagi di peringkat embryo. Janin pada hakikatnya dikira bernyawa setelah ditiup roh padanya, iaitu setelah ia berusia empat bulan. Inilah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan fuqaha, berpandukan hadis Abdullah bin Mas’ud :
" "إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما ثم يكون في ذلك علقة مثل ذلك ثم يكون في ذلك مضغة مثل ذلك ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات بكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد
Ertinya : “Sesungguhnya setiap kamu diciptakan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti demikian itu, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian juga, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu diitup roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya, umurnya, amalnya dan celaka atau bahagia.” Muttafaqun ‘Alaihi.
Oleh yang demikian, janin yang berusia kurang empat bulan tidak kira sama ada di dalam atau di luar rahim, dianggap hidup berdasarkan keadaannya dalam peringkat proses pembenihan atau pembudidayaan. Ia belum lagi dianggap sebagai suatu permulaan kehidupan yang diukur dengan wujudnya roh.
Pandangan serupa ini telah pun diutarakan oleh para fuqaha dahulu dan masa kini, antara mereka ialah Dr Muhammad Sulaiman Al-Asyqar yang memberikan pandangan bahawa embryo atau janin yang belum terbentuk atau belum lagi berada di dalam rahim wanita tidak sabit hukum ke atasnya atau tidak ada hukum ke atasnya. Beliau menjelaskan :
"فلم يجعل الشرع للجنين قبل التخلق أي اعتبار، ولا بنى عليه أي حكم شرعي... وقد أبديت رأيي في هذا بإسهاب في مناقشات ندوة الإنجاب. وحتى في القرار الذي اتخذ في ندوة الإنجاب لم يجعل للبييضة
الملقحة أية حرمة إلا بعد العلوق بجدار الرحم، أما قبل العلوق فلم يجعل القرار له أي حرمة."
Maksudnya : “Syarak tidak menetapkan apa jua hukum ke atas janin yang belum terbentuk. Sesungguhnya saya telah menerangkan pandangan saya dengan terperinci dalam perbincangan forum mengenai kelahiran. Dalam forum tersebut keputusan telah dikeluarkan bahawa syariat Islam tidak menetapkan hukum pengharaman ke atas telur wanita yang sudah disenyawa kecuali selepas ianya berada di dalam rahim. Adapun sebelum berada di dalam rahim tidak sabit hukum ke atasnya.”
Pandangan sedemikian juga telah dikeluarkan oleh Institusi Fatwa (Darul Ifta’) Arab Saudi di mana selagi belum ditiupkan roh pada janin tersebut, air mani dan telur tersebut dihukum hidup bersesuaian dengan keadaan masing-masing. Ia sebagai zat pembudidayaan atau pembenihan. Ia belum sampai ke tahap zat yang sempurna hidup. Berikut adalah teks fatwa Darul Ifta’tersebut:
لكل من الحيوان المنوي وبويضة المرأة حياة تناسبه إذا سلم من الآفات, تهيئ كلاً منهما بإذن الله وتقديره للاتحاد بالآخر , وعند ذلك يتكون الجنين إن شاء الله ذلك, ويكون حياً أيضاً حياة تناسبه حياة النمو والتنقل في الأطوار المعروفة , فإذا نفخ فيه الروح سرت فيه حياة أخرى بإذن الله اللطيف الخبير .
Yang bermaksud : “Jika ditakdirkan air mani dan telur wanita tidak mati, kedua-duanya akan hidup sesuai dengan keadaan kedua-duanya (seperti yang diciptakan). Dengan izin Allah dan takdir-Nya kedua-duanya akan bersatu. Ketika itu akan terbentuklah janin dengan izin Allah. Dan janin itu hidup sesuai dengan perkembangannya dan peningkatannya mengikut tahap yang sudah ditetapkan. Apabila ditiup roh padanya akan berputik satu kehidupan dengan izin Allah yang Maha Lembut dan Maha Mengetahui”.
Sehubungan dengan ini, Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa pandangan Jawatankuasa Penasihat Bioetika untuk menggunakan sel induk daripada embryo yang berusia tidak lebih daripada 14 hari, bagi tujuan penyelidikan untuk kebaikan manusia adalah dibenarkan dari segi syarak selagi ianya tidak disalahgunakan sama ada untuk tujuan pengklonan manusia, atau mencampur-adukkan nasab keturunan, atau pun yang boleh menyebabkan penghinaan atas kemuliaan manusia.
Minit telah disahkan pada 22 November 2001 (JF 2001-2004)