Sesungguhnya yang menentukan sesuatu hukum sama ada halal atau haram ialah Allah swt menerusi al Quran, atau Sunnah RasulNya Muhammad saw. Baginda yang menerangkan hukum Allah, sedang kita disuruh supaya menerima dan mematuhinya sebagaimana Allah menerangkan dalam FirmanNya:
1 وما آتـاكم الرسول فخذوه ومانـهاكم عنه فانتهوا
Yang bermaksud : “Apa yang dibawa oleh Rasul hendaklah kamu terima dan apa yang ia menegahnya hendaklah kamu hentikan.”
Telah dimaklumi bahawa sebahagian dari jenis barah darah adalah leukaemia yang mana sumsum tulang pesakit itu tidak lagi berfungsi sepenuhnya. Ketika itu pesakit-pesakit ini akan menderita kerana kekurangan darah (anaemia), ia selalu demam, mudah mendapat jangkitan penyakit dan kerap berlaku pendarahan. Penyakit ini adalah rumit dan dikatakan tidak dapat dirawat seperti penyakit-penyakit biasa. Kebelakangan ini satu penemuan telah didapat bagi mengubat penyakit ini iaitu dengan membekalkan sumsum tulang orang lain yang sama tisunya dengan si pesakit. Proses pemindahan sumsum tulang ini dinamakan Bone Marrow transplantation.
Jawatankuasa Fatwa difahamkan bahawa sumsum tulang adalah seumpama darah yang mempunyai fungsi besar dalam badan manusia. Ianya mengeluarkan sel-sel darah dalam badan, termasuk sel-sel darah putih yang kuasanya adalah melawan jangkitan dari sel darah merah, sementara fungsi darah merah pula ialah membawa oksigen dan mengeluarkan kekotoran dari organ-organ dan tisu yang boleh menjadikan darah beku.
Pemindahan sumsum tulang ini caranya dengan mencucuk jarum di bahagian punggung si penderma, kemudian dimasukkan ke badan pesakit. Proses pemindahan sumsum ini samalah seperti pemindahan darah. Pakar-pakar perubatan menegaskan bahawa para penderma sumsum tidak akan menempuh apa-apa masalah dalam kesihatan mereka, dan sumsum tulang mereka itu akan tetap tumbuh semula seperti biasa dalam beberapa hari sahaja. Pakar-pakar ini juga menegaskan bahawa proses pemindahan sumsum tulang ini tidaklah rumit bahkan senang sahaja dan selamat. Risikonya sungguh kecil, kebanyakan penderma tetap dapat bergerak sihat dan bebas setelah berehat beberapa hari sahaja. Kesihatan penderma tidak akan terjejas atau menempuh masalah pada dirinya di masa akan datang.
Pemindahan darah dan pemindahan sumsum tulang ini tidak terkenal di zaman dahulu, dan ulama Fiqh yang terdahulu pun tidak ada yang menyebutkan mengenainya kerana perkara ini hanya timbul di zaman moden ini , hasil dari kajian ilmu dalam bidang perubatan. Maha Suci Allah yang telah mengajar manusia apa yang ia tidak mengetahui.
Darah adalah sangat besar fungsinya bagi kehidupan manusia. Maka apakah pandangan agama tentang mengambil manfaat dengan darah dan memindahkannya kepada badan manusia yang lain?
Ulama Islam antarabangsa telah banyak membahaskan pemindahan darah seperti ini.2 Mereka memutuskan bahawa memindahkan darah dari seorang manusia kepada manusia yang lain adalah dibolehkan dengan beberapa syarat.
Pertama :Adanya keperluan yang mendesak.
Kedua :Dapat dipastikan oleh doktor Islam yang pakar atau bukan Islam (mengikut Mazhab Maliki) bahawa darah yang diambil tidak akan membawa bencana kepada si pemberi malahan menjadi penawar kepada pesakit yang sedang menderita.
Ketiga :Usaha pemindahan itu mestinya tanpa mengandungi unsur-unsur jual-beli, kerana menjual darah manusia itu sangat-sangat dilarang dan hukumnya adalah haram.
Apabila telah dipastikan bahawa pemindahan sumsum seumpama itu tidak menempuh sebarang bencana dan benar-benar dapat membantu pesakit maka hukumnya adalah dibolehkan.
Kumpulan Fatwa. 7/4/97. MUIS. 2005.
1 Al-Hasyr, 59: 7.
2 Majallah Majma ‘ Al-Fiqh Al-Islami Daurah Al-Thaniah Li Mu’tamar Majma‘ Al-Fiqh Al-Islami ‘Adad Al-Raabi‘, Cetakan kedua, 1986. Jil 1. ms 135.