AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM (BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN 

OLEH 

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan berkenaan Nominasi Insurans pada mesyuarat-mesyuarat fatwa yang ke-10 pada 15 Sep 2011, yang ke-11 pada 17 Nov 2011, yang ke-12 pada 5 Januari 2012 dan yang ke-13 pada 2 Febuari 2012. 

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه . وبعد ، 

    Latar belakang

  1. Jawatankuasa Fatwa Muis telah menerima beberapa soalan dari masyarakat mengenai hukum melakukan nominasi (penamaan) yang berbentuk revocable bagi polisi insurans mereka. Perkara ini telah dilaporkan di akhbar Berita Harian pada 7 April 2011.  
  2. Isu nominasi ini timbul menyusuli pindaan Akta Insurans pada September 2009. Pindaan tersebut membolehkan pemilik insurans secara umum membuat penamaan yang berbentuk revocable.[1] Hasil dari pindaan tersebut, satu pindaan susulan telah dilakukan terhadap Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) di bawah Seksyen 111.[2] Pindaan susulan tersebut tidak membenarkan kaum muslimin untuk melakukan penamaan insurans berbentuk revocable melainkan ia selari dengan garispandu agama.
  3. Penerangan Umum

  4. Jawatankuasa Fatwa akur bahawa ulama berbeza pendapat mengenai hukum menyertai sesuatu skim insurans. Beberapa ulama berpendapat bahawa sebahagian dari skim-skim insurans yang ada adalah dibenarkan di dalam Islam berdasarkan keperluan masyarakat.[3] Sebahagian ulama lain pula berpendapat sebaliknya, kerana terkandung di dalamnya unsur syubhah[4] dan gharar[5] samada dari segi cara pengumpulan dana ataupun cara pelaburan dan sebagainya.[6]
  5. Di dalam perbincangannya, Jawatankuasa Fatwa mengambilkira perubahan keadaan ekonomi dan demografi yang mendorong seseorang untuk merancang kewangannya, samaada bagi menghadapi umur senja ataupun bagi keperluan masa depan keluarganya. Dengan pilihan pelaburan yang agak terhad bagi masyarakat yang memiliki pendapatan yang rendah ataupun sederhana, sebahagian mereka memilih untuk melakukan perancangan kewangan mereka di dalam bentuk insurans.
  6. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa setiap individu Muslim yang ingin menyertai mana-mana skim insurans bertanggungjawab memilih skim yang sesuai dengan syarak berdasarkan pandangan ulama yang diyakininya.
  7. Keperluan melakukan sebuah Penamaan

  8. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa ”penamaan/nominasi” di dalam insurans merupakan satu instrumen yang dapat memenuhi keperluan mereka yang merancang untuk memberi hasil dari wang insurans mereka kepada orang-orang yang memerlukannya. Atas dasar itu sebuah fatwa telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Muis pada tahun 2007 yang membenarkan pelaksanaan nominasi insurans. Walaubagaimanapun, hanya nominasi yang berbentuk irrevocable sahaja yang dibenarkan di dalam keputusan fatwa tahun 2007 itu, kerana ia memenuhi pengertian dan syarat-syarat hibah[7] seperti yang termaktub di dalam khazanah Fiqh Islam. 
  9. Berdasarkan penelitian Jawatankuasa Fatwa terhadap pelaksanaan nominasi berbentuk irrevocable sejak fatwa tahun 2007 dikeluarkan, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa nominasi berbentuk irrevocable ini memiliki beberapa keterbatasan yang membawa kesukaran kepada pemegang polisi insurans. Antara contoh-contoh kesukaran dan keterbatasan tersebut ialah: 
  10. Syarat yang menetapkan bahawa penamaan hanya boleh dilakukan untuk anak-anak dan di antara pasangan suami dan isteri sahaja. 

    Pemberian melalui nominasi irrevocable juga tidak boleh dibatalkan walaupun setelah berlaku perceraian antara pasangan. 

    Tambahan dari itu, segala hasil dan pulangan dari polisi insurans sewaktu hidup diberikan kepada penama. Ini bermakna sekiranya si pemegang polisi itu sendiri ditimpa kecelakaan, ia tidak dapat memanfaatkan simpanan mahupun pampasan daripada insuransnya itu. 

    Selain itu sekiranya si penama (nominee) meninggal dunia, hak keatas polisi insurans berkenaan berpindah kepada warisnya sebagai sebahagian harta pusakanya, dan bukan kembali kepada si pemegang polisi.

    Perbandingan nominasi CPF dan nominasi insurans revocable

  11. Dalam membuat semakan terhadap keputusan fatwa mengenai nominasi insurans yang berbentuk revocable, Jawatankuasa Fatwa telah meneliti fatwa berkenaan nominasi CPF tahun 2010 untuk mengkaji ciri-ciri di antara keduanya. Berdasarkan penelitian ini Jawatankuasa Fatwa mendapati beberapa persamaan yang jelas di antara kedua-dua jenis nominasi seperti berikut: 
    1. Hasil pulangan dari kedua-dua jenis akaun menjadi hak penama bagi kedua-dua jenis nominasi apabila pencarum CPF dan pemegang polisi insurans meninggal dunia.
    2. Nominasi terbatal dengan kematian penama dan wang tersebut kekal menjadi hak milik pencarum dan pemegang polisi insurans.
    3. Pencarum CPF dan pemegang polisi insurans berhak untuk merubah nominasi yang telah dilakukannya tanpa perlu mendapatkan keizinan mana-mana pihak.

    Konsep hibah dan nominasi

  12. Jawatankuasa Fatwa mendapati wujud persamaan di antara hibah dan nominasi dari beberapa aspek. Antaranya adalah : Pemberi hibah berhak untuk menarik balik atau menukar hibahnya, selagimana tiada qabadh[8] terhadap pemberiannya. Di dalam isu nominasi insurans berbentuk revocable, sepertimana nominasi CPF, qabadh belum berlaku sebelum kematian si pencarum mengikut ketetapan undang-undang.
  13. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa sistem nominasi sebegini boleh dianggap sebagai satu bentuk hibah kerana ia dilakukan sewaktu si pencarum CPF dan pemegang polisi insurans masih hidup. Apabila seorang pemegang polisi insurans melakukan sebuah nominasi secara rasmi, ia merupakan satu bukti jelas tentang kesungguhannya dan janjinya untuk memberi wangnya kepada penama. Firman Allah swt :
  14. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ 

    Yang bererti: Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah segala perjanjian-perjanjian.   Al-Maidah : Ayat 1.

    Dan firman-Nya lagi:

    وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً

    Yang bererti: Dan tunaikanlah janji, sesungguhnya setiap janji itu akan dipersoalkan.   Al-Isra’ : Ayat 34.

    Keputusan Jawatankuasa Fatwa

  15. Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa nominasi insurans berbentuk revocable ini adalah sebuah bentuk hibah kontemporari.  Ia merupakan cara baru pengurusan harta yang sesuai dengan prinsip-prinsip syarak. Walaupun cara ini tidak terdapat dalam penulisan dan karya para ulama terdahulu, ia dapat diterima. Ini adalah berdasarkan kaedah fiqh yang membenarkan ijtihad di dalam isu muamalat, terutama perkara-perkara baru yang tidak terdapat perbincangan khusus mengenainya dalam khazanah Ilmu Fiqh Islam terdahulu. Ini dinyatakan oleh Ibn Qayim Al-Jauzi : 
  16. الأَصْلَ فِي الْعُقُودِ وَالشُّرُوطِ الصِّحَّةُ إلا مَا أَبْطَلَهُ الشَّارِعُ أَوْ نَهَى عَنْهُ.

    Hukum asal bagi akad adalah sah, kecuali apa yang dibatalkan ataupun dilarang oleh Syara’. 

  17. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa hukum nominasi insurans berbentuk revocable dan hukum nominasi CPF adalah sama dan kedua-dua jenis nominasi tersebut merupakan pemberian (hibah) yang sah. 
  18. Jawatankuasa Fatwa menasihati masyarakat untuk tidak melakukan nominasi dengan niat dan tujuan menzalimi ahli warisnya yang ada. Pada masa yang sama, setiap muslim juga berkewajipan memastikan bahawa segala hutang si mati dilunaskan terlebih dahulu sebelum menggunakan harta yang ditinggalkannya, samada melalui faraid, wasiat ataupun nominasi. 
  19. والله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلّم.

DR MOHAMED FATRIS BAKARAM

MUFTI NEGARA SINGAPURA

PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA 



1Nominasi Revocable: Merupakan sebuah penamaan di mana pemilik polisi masih mempunyai hak penuh untuk melakukan apa-apa perubahan atau pembatalan kepada nominasi yang telah dilakukan. Segala pulangan sewaktu hayat (life benefits) akan diberikan kepadanya, dan hanya pulangan sewaktu mati (death benefits) sahaja yang akan diberikan kepada para penama.

Nominasi Irrevocable: Merupakan sebuah pernamaan di mana pemegang polisi telah hilang pemilikan ke atas segala pulangan daripada polisi tersebut kerana ia telah diberikan kepada penama. Sekiranya pemegang polisi ingin melakukan pembatalan atau perubahan bagi nominasi ini, beliau perlu memerolehi keizinan daripada setiap penama. (Sila lihat Akta Insurans, 49L & 49M).

2Teks Seksyen 111 seperti berikut : Disposition by will, etc., to be in accordance with Muslim law

111. —(1) Notwithstanding anything in the provisions of the English law or in any other written law, no Muslim domiciled in Singapore shall, after 1st July 1968, dispose of his property by will, or by any nomination under section 49M(2) of the Insurance Act (Cap. 142), except in accordance with the provisions of and subject to the restrictions imposed by the school of Muslim law professed by him.

3Di antara mereka yang mengizinkan pemilikan sebahagian skim insurans : Dr. Mustafa Zarqa’, Dr. Ali Jumaah Mufti Mesir dan Dar Al-Ifta’ Al-Misriyah. 

4Syubhah : Kesamaran.

5Gharar : Penipuan.

6Di antara mereka yang mengharamkan segala jenis insurans : Sheikh Ibn Abidin Al-Hanafi r.h, Sheikh Jadal Haq Ali Jadal Haq dan Majma’ Fiqh Islami (bernaung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam- OIC).

7Hibah : Sebuah pemberian di waktu hidup tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

8Al-Qabadh : Penerimaan sebuah pemberian/hadiah secara zahir.

9Ibn Qayim al-Jauziyy, I’lam al-Muwaqqi’in, Beirut, Dar al-Jil, 1973, juz 1, hlm 470; al-Shatibi, al-Muwafaqat, Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, cetakan Pertama, 1425H- 2004, hlm 399.