The deferment of Hajj 2020 (Malay)

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

 

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan mesyuarat fatwa khas pada 6 Mei 2020 bagi membincangkan soalan yang diterima daripada unit Haji, Muis mengenai penangguhan ibadah haji bagi tahun 2020 ke tahun hadapan disebabkan penularan wabak virus COVID-19.

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.

LATARBELAKANG

1 Penularan wabak COVID-19 telah menjejas urusan perlaksanaan ibadah di tanah haram, di antaranya penggantungan ibadah umrah secara berterusan1 serta  solat berjemaah di masjid-masjid di tanah haram, termasuk Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi.2 Kementerian Haji kerajaan Arab Saudi baru-baru ini juga telah mengingatkan para pengurus jemaah haji agar tidak memeterai sebarang kontrak kewangan untuk urusan jemaah haji memandangkan ketidaktentuan perkembangan COVID-19.3

2 Sehingga kini, masih belum ada kepastian sama ada ibadah haji akan dilaksanakan pada tahun ini. Walaupun sekiranya terdapat kemungkinan kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah haji dilaksanakan pada saat-saat akhir dengan memperkenalkan beberapa langkah-langkah pencegahan tertentu, jemaah Singapura akan tetap berhadapan dengan pelbagai kesukaran serta risiko kerana masa persiapan yang sangat suntuk serta penularan wabak yang masih berterusan. Berdasarkan situasi ini, Unit Perkhidmatan Haji Muis mengajukan soalan berikut kepada Jawatankuasa Fatwa:

  • Bolehkan perlaksanaan haji pada tahun ini (2020) untuk rakyat Singapura ditangguhkan ke tahun hadapan walaupun sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan perlaksanaannya pada saat-saat akhir?

DASAR-DASAR AGAMA PENANGGUHAN IBADAH HAJI

3 Perlaksanaan ibadah haji bergantung kepada beberapa syarat utama kewajipan haji. Di antara syarat wajib melaksanakan ibadah haji adalah (a) Istiṭā’ah (kemampuan) dan (b) keamanan perjalanan.

 

A. Syarat Kemampuan

4 Syarat kemampuan merupakan antara dasar utama bagi kewajipan ibadah haji. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97:

Yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk sampai kepadanya.

5 Perkataan Istiṭā’ah atau kemampuan pada ayat tersebut merupakan antara syarat kewajipan untuk seseorang melaksanakan ibadah haji. Para fuqaha’ menjelaskan Istiṭā’ah terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya kemampuan tubuh-badan dari segi kesihatan jasmani, dan kemampuan dari segi harta untuk menanggung segala kos yang diperlukan.4

6 Perlaksanaan ibadah haji hanya dapat dijalankan sekiranya segala persiapan rapi dapat dilaksanakan. Ini termasuk keperluan perubatan bersama segala keperluan asas lain bagi pelayaran. Tanpa persiapan yang rapi, syarat Istiṭā’ah di atas tidak sempurna. Allah s.w.t. pula tidak menginginkan kesukaran bagi hambaNya dalam menjalankan kewajipan agama. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Hajj, ayat 78:

Yang bermaksud: “Dan tidak Dia menjadikan ke atas kamu kesusahan dalam agama.

B. Syarat Keamanan

7 Selain dari syarat kemampuan individu, syarat keamanan di mana jaminan keselamatan jemaah perlu disempurnakan. Bagi perkara ini, Jawatankuasa Fatwa telah mengambil kira beberapa fakta:

I. Sejumlah besar jemaah Singapura yang telah berdaftar untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini terdiri dari mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Mereka terdiri dari golongan warga emas yang berisiko tinggi mengalami penyakit yang lebih kritikal jika dijangkiti virus COVID-19.

II. Kesesakan sewaktu musim haji merupakan satu lumrah. Walaupun kerajaan Arab Saudi mungkin mengurangkan jumlah jemaah haji (sekiranya mereka membuat keputusan untuk meneruskan ibadah haji tahun ini), ini tidak bermakna tidak akan ada kesesakan. Oleh itu, ada kemungkinan tinggi boleh berlaku jangkitan virus di antara para jemaah haji semasa di sana kelak. Ini masih boleh berlaku walaupun mereka yang dibenarkan berangkat telah melalui ujian COVID-19, kerana ada kemungkinan mereka yang telah dijangkiti tetapi belum lagi menunjukkan sebarang simtom (asymptomatic). Secara umum, keadaan di seluruh dunia (termasuk di Singapura) masih tidak membenarkan penganjuran aktiviti berskala besar bagi mengelak penularan COVID-19.

III. Terdapat kemungkinan jemaah haji dijangkiti dalam masa tempoh 14 hari semasa di tanah suci atau setelah pulang ke Singapura. Sekiranya ini berlaku, mereka perlu mendapatkan bantuan perubatan di tanah suci. Namun, pegawai-pegawai kesihatan dari Singapura buat masa ini masih sibuk dengan urusan membendung penularan COVID-19 di tanah air, dan mereka juga tidak dapat ikut serta rombongan misi haji bagi menjaga keperluan perubatan para jemaah haji. Pada masa yang sama, keadaan perubatan di tanah suci serta tahap kepakaran mengubati pesakit COVID-19 belum dapat dipastikan dengan baik.

IV. Kebenaran perlaksanaan ibadah haji pada saat-saat akhir akan mendedahkan bakal jemaah haji kepada pelbagai kesulitan. Ini termasuk kesukaran untuk membuat ujian COVID-19 sebelum keberangkatan jemaah. Sekiranya terdapat jemaah yang diuji positif sejurus sebelum keberangkatan, mereka tidak akan dibenarkan melaksanakan ibadah haji, lantas menimbulkan pelbagai masalah lain, seperti isu pengembalian kos yang telah dikeluarkan, cuti yang terbuang, kos  penerbangan dan penginapan yang telah dibayar. Ia juga berpotensi menjejas emosi mereka yang terjejas.

8 Dengan wujudnya pertembungan antara keperluan mencegah kemudaratan dengan kemaslahatan untuk melaksanakan ibadah, Islam memerintahkan masyarakatnya untuk mengutamakan pencegahan mafsadah (keburukan)  sepertimana ditetapkan dalam kaedah fiqh:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Yang bermaksud: “Menolak kerosakan diutamakan dari memperolehi kemaslahatan.5

9 Adalah menjadi tanggungjawab autoriti agama setiap negara untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memelihara serta memastikan kemaslahatan individu ataupun masyarakat mereka. Ini sesuai dengan kaedah fiqh:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Yang bermaksud: “Tindakan seorang ketua ke atas rakyat, berdasarkan kepada kemaslahatan.6

10 Segala pintu yang boleh mendedahkan masyarakat awam dan jemaah haji kepada bahaya dan keburukan perlu dielakkan, termasuk impak ke atas emosi, fizikal dan kewangan mereka, serta kesan jangkitan sekiranya berlaku terhadap rakyat Singapura. Ini berdasarkan kaedah Sadd al-Zara’i.7

KEPUTUSAN FATWA

11 Berdasarkan pertimbangan-pertimbangan di atas, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa perlaksanaan ibadah haji pada tahun ini (2020) harus ditangguh ke tahun hadapan (2021) kerana syarat kewajipan haji tidak dapat disempurnakan dengan baik pada tahun ini kerana situasi penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan. Penangguhan ini juga dapat membantu jemaah Singapura membuat persiapan yang rapi untuk haji apabila keadaan telah beransur pulih nanti.

 والله أعلم

والله  ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

 

DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA



[1] Arab News, “Saudi Ban on Umrah pilgrims backed by OIC, Arab Health Ministers”, https://www.arabnews.com/node/1634211/saudi-arabia, diterbitkan pada 27 Februari 2020.

[2] Arab News, “Coronavirus Forces Closure of Courtyards at Grand Mosque and Prophet’s Mosque”, diterbitkan pada 19 Mac 2020.

[3] Arab News, “Saudi Arabia’s Hajj and Umrah Minister tells Muslims to Wait for Coronavirus Clarity on Pilgrimage”,https://www.arabnews.com/node/1650736/saudi-arabia, diterbitkan pada 31 Mac 2020.

[4] Al-Sharbīnī, Mughnī al-Muḥtāj, juz 2, hlmn. 210-218; Lihat juga, Al-Kasānī, Badā’i al-Ṣanā’i, juz 2, hlmn. 121 – 125; Al-Dasūqī, al-Syarḥ al-Kabīr, juz 2, hlmn. 5-10; Ibn Qudāmah, al-Mughnī, juz 3, hlmn. 216-222.

[5] Al-Suyūṭī, al-Ashbāh wa al-Naẓā’ir fī Qawā‘id wa Furū’ Fiqh al-Shāfi‘iyyah, hlmn. 82.

[6] Al-Suyūṭī, al-Ashbāh wa al-Naẓā’ir fī Qawā‘id wa Furū’ Fiqh al-Shāfi‘iyyah, hlmn. 121.

[7] Konsep Sadd al-Zarā’i’: Bererti menutup ruang. Ianya adalah satu kaedah pencegahan awal dari berlakunya perkara yang diharamkan syarak. Al-Qarāfī, al-Furūq, juz 2, hlmn. 32-33.