IRSYAD (PANDUAN AGAMA)
SOLAT JUMAAT DAN SOLAT HARI RAYA PADA HARI YANG SAMA
DALAM SITUASI PENULARAN WABAK
1. Tahun ini, Hari Raya Aidiladha, iaitu 10 Zulhijjah 1441H, jatuh pada hari Jumaat 31 Julai 2020. Oleh itu, ada 2 solat jemaah utama yang akan berlangsung di masjid-masjid Singapura: solat Hari Raya di sebelah pagi dan solat Jumaat selepasnya. Dalam situasi penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan, masih lagi terdapat keterbatasan tempat dan ruang solat di masjid-masjid kerana langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko jangkitan.
2. Dengan mengambilkira keterbatasan tersebut, keutamaan pada saat ini adalah untuk memberi peluang bagi seramai mungkin anggota masyarakat Islam Singapura untuk menunaikan solat Jumaat, khususnya mereka yang masih belum dapat menunaikannya semenjak permulaan fasa kedua pelonggaran pemutus jangkitan COVID-19.
3. Oleh yang demikian, Pejabat Mufti menasihati masyarakat bahawa mereka yang mendapat ruang untuk mendirikan solat Hari Raya tidak berkewajipan mendirikan solat Jumaat pada hari tersebut. Ini juga berdasarkan panduan Nabi Muhammad s.a.w. seperti di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Zayd bin Arqam r.a. beliau berkata:
صَلَّى النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم العِيدَ – ثُمَّ رَخَّصَ فِي الجُمعةِ، فَقَالَ : مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ
Yang bermaksud: Rasulullah s.a.w telah melakukan solat Hari Raya, kemudian Baginda s.a.w memberikan keringanan pada solat Jumaat dan bersabda: “Siapa yang mahu solat (Jumaat) maka solatlah.”[1]
4. Walaupun jumhur ‘ulama’ dari kalangan mazhab Syafi’e[2], Hanafi[3] dan Maliki[4] berpendapat bahawa solat Jumaat tetap wajib dilakukan bagi mereka yang telah mendirikan solat Hari Raya pada pagi harinya, pandangan ini seharusnya menjadi pegangan di dalam situasi biasa di mana tidak timbul masalah keterbatasan ruang dan sebagainya.
5. Adapun mereka yang telah cuba untuk mendaftar bagi menunaikan solat Jumaat tetapi tidak berjaya mendapatkan tempat, maka mereka masih diberikan rukhsah (keringanan), sama seperti mereka yang telah dapat menunaikan solat Hari Raya di masjid-masjid. Mereka diwajibkan untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah, sepertimana yang telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Singapura pada 16 Jun 2020.[5]
6. Bagi mereka yang tidak mendapatkan tempat untuk solat Hari Raya di masjid-masjid, maka mereka boleh melaksanakannya bersama keluarga di rumah seperti pada Hari Raya Eidulfitri yang lalu. Semoga Allah s.w.t. menerima segala usaha dan amalan kita yang ikhlas di bulan yang mulia ini.
Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singapura
24 Julai 2020
[1] Hadith riwayat Abu Daud, An-Nasaie dan Ibn Majah
[2] An-Nawawi, al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, Juz 4, hlmn 319-320.
[3] Ibn al-Hummam, Syarah Fath al-Qodir, Juz 3, hlmn 39-40.
[4] Al-Kharashi, al-Sharh Mukhtasar al-Khalil, Juz 2, hlmn 92-93