IRSYAD BERKAITAN PERMULAAN TAKBIR PADA HARI RAYA AIDILADHA PEJABAT MUFTI MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

    Pendahuluan

  1. Melaungkan takbir pada hari raya AidIlfitri dan Aidiladha merupakan syiar Islam. Di mana Allah s.w.t diagungkan dan dipuji melalui lafaz-lafaz takbir tersebut.
  2. Islam menggalakkan setiap umat untuk memperbanyakkan bertakbir pada kedua-dua hari raya AidIlfitri dan AidIladha.  Ia sebagai tanda kesyukuran kita kehadrat Ilahi di atas segala nikmat kurniaan-Nya.
  3. Hukum melaksanakan takbir pada kedua-dua hari raya AidIlfitri dan AidIladha adalah sunnah. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 185 berkenaan dengan takbir raya AidIlfitri yang bermaksud: “Dan agar kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
  4. Firman-Nya berkenaan dengan takbir raya AidIladha dalam surah Al-Hajj ayat 28 yang bermaksud: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, di atas kurniaanNya kepada mereka, yang berbentuk binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
  5. Firman-Nya lagi dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 203 yang bermaksud: “Dan ingatlah Allah (dengan bertakbir) dalam beberapa hari yang tertentu.

    Waktu melaungkan takbir pada hari raya Aidiladha.

  6. Terdapat beberapa pendapat di sisi para ulama berkenaan dengan permulaan waktu bertakbir AidIladha. Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan firman Allah s.w.t. pada surah Al-Baqarah ayat 203, beliau menyatakan:
  7. وفي وقته أقوال للعلماء، وأشهرها الذي عليه العمل أنَّه من صلاة الصبح يوم عرفة إلى صلاة العصر من آخر أيام التشريق.

    Yang bermaksud:“Terdapat beberapa pendapat ulama di dalam isu ini, pendapat yang paling masyhur dan yang menjadi amalan adalah, takbir bermula dari solat subuh pada hari Arafah dan berterusan sehingga ke solat Asar pada hari tasyrik yang terakhir.1

  8. Oleh itu takbir pada hari raya AidIladha bermula pada waktu subuh di hari Arafah sehingga ke hari Tasyrik yang terakhir, menurut beberapa riwayat dari para sahabat r.a. seperti Sayyidina Ali ibn Abi Talib, Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud r.a. berkenaan permulaan takbir pada subuh hari Arafah, semuanya adalah sahih serta menguatkan lagi pendapat yang menyatakan bahawa takbir bermula pada waktu subuh hari Arafah bagi mereka yang tidak menunaikan haji.
  9. Imam Ibn Hajar Al-Asqalani menyatakan dalam kitabnya Fathul Baari:
  10. وَأَصَحُّ مَا وَرَدَ فِيهِ عَنْ الصَّحَابَةِ قَوْلُ عَلِيٍّ وَابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُ مِنْ صُبْحِ يَوْمِ عَرَفَةَ آخِرِ أَيَّامِ مِنًى أَخْرَجَهُ اِبْنُ الْمُنْذِرِ وَغَيْرُهُ.

    Yang bermaksud: “Riwayat yang paling sahih berkenaan isu ini ialah apa yang diriwayatkan dari sahabat seperti Ali dan Ibn Masud, mereka berkata : Takbir bermula dari subuh hari Arafah, hingga ke akhir hari Mina, riwayat Ibn Al-Munzir dan sebagainya.2

  11. Imam An-Nawawi menyatakan dalam kitabnya Syarah Muslim:
  12. 3وَقَوْل أَنَّهُ مِنْ صُبْح يَوْم عَرَفَة إِلَى عَصْر آخِر أَيَّام التَّشْرِيق ، وَهُوَ الرَّاجِح عِنْد جَمَاعَة مِنْ أَصْحَابنَا ، وَعَلَيْهِ الْعَمَل فِي الأمْصَار .

    Yang bermaksud: “Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa takbir bermula dari subuh hari Arafah hingga ke waktu asar hari Tasyrik yang terakhir. Ini adalah pendapat yang sahih di sisi sebahagian dari sahabat kami (mazhab Syafie) dan pendapat inilah yang digunapakai di merata tempat.”

  13. Atas dasar dalil-dalil serta pendapat-pendapat ulama yang telah dinyatakan, Pejabat Mufti berpandangan bahawa takbir raya Aidiladha seharusnya bermula pada Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan berterusan hingga ke asar hari Tasyrik yang ketiga (13 Zulhijjah).
  14. Wallahu A’lam.


Pejabat Mufti

Majlis Ugama Islam Singapura

 


1Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Riyadh, Dar Taybah,  Cetakan kedua, 1420H/1999,  Juz 1, hlm 561.

2Ibn Hajar Al-Asqalani, Fath Al-Bari, Beirut, Dar Al-Ma’rifah, 1379H, Juz 2, hlm 462.

3An-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, Beirut, Dar Ihya At-Turath, cetakkan kedua, 1392H, Juz 6, hlm 180.