IRSYAD BERKAITAN ANJING PEMANDU ARAH PEJABAT MUFTI MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

  1. Apakah pendapat ulama berkaitan pemeliharaan dan menyentuh anjing?

  2. Islam tidak menggalakkan umatnya memelihara anjing sekiranya tiada keperluan ataupun darurat. Oleh itu seorang muslim harus menjauhi dari memelihara anjing sebagai sebuah hobi atau tanpa sebarang keperluan yang dibenarkan. Hadis yang menjadi sandaran diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, seperti berikut :

    مَن اقْتَنَى كَلبًا - إلاَّ كَلبَ صَيْدٍ أوْ مَاشِيَةٍ - فَإنَّهُ يَنقُصُ مِن أَجْرِهِ كُلَّ يَومٍ قِيرَاطَانِ

    Yang bermaksud : Barangsiapa yang memelihara anjing- melainkan anjing buruan ataupun bagi pengembalaan kambing- maka akan dikurangkan dari pahala hariannya sebanyak dua Qirat.1

    Allah swt telah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 4 :

    يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَاب

    Yang bermaksud : Mereka menanyakan kepadamu, "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?" Katakanlah, "Dihalalkan bagimu perkara yang baik-baik, dan binatang buas yang telah kamu melatihnya (untuk berburu); menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah ke atas buruan tersebut. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya

    Menurut ahli tafsir, yang dimaksudkan dengan binatang buas di dalam ayat ini adalah anjing pemburu.2 Oleh itu, seperti yang dinyatakan pada hadith di atas, Islam membenarkan penggunaan anjing sekiranya terdapat keperluan yang tertentu seperti memburu binatang, menjaga binatang ternakan, menjaga tanaman dan menjaga keamanan rumah atau yang seerti dengannya dari sudut keselamatan dan keberkesanan. Imam Shafi'i pernah menyatakan:

    3وَلا يَجُوزُ اقْتِنَاؤُهُ إِلا لِصَاحِبِ صَيْدٍ أَوْ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ أَوْ مَا كَانَ فِي مَعْنَاهُمْ .

    Yang bermaksud: Dan tidak dibenarkan pemeliharaan anjing melainkan bagi seorang pemburu, pekebun, penternak binatang atau sesiapa yang berada dalam situasi yang serupa dengan mereka.

    Imam Al-Mawardi pula berpendapat:

    4لا يَجُوزُ اقْتِنَاءُ الْكَلْبِ حكمه إِلا أَنْ يَكُونَ مُنْتَفَعًا بِهِ فَيَجُوزُ اقْتِنَاؤُهُ.

    Yang bermaksud: Hukum memelihara anjing adalah tidak dibenarkan, melainkan terdapat kemanfaatan baginya. Apabila terbukti kemanfaatannya maka dibenarkan pemeliharaan anjing.

    Termasuk antara penggunaan anjing pada zaman kini yang dibenarkan ialah seperti: penggunaan anjing bagi membantu kerja-kerja yang mencabar bagi pihak keselamatan seperti mengesan penjenayah, dadah, bahan letupan seperti bom atau periuk api, mengesan mangsa bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami, dan sebagainya. Ini sekaligus menjelaskan bahawa menyentuh anjing bukanlah satu dosa sepertimana yang mungkin telah difahami oleh sebahagian anggota masyarakat Islam.

  3. Apakah hukum penggunaan anjing pemandu arah?

  4. Di antara prinsip yang amat dititikberatkan oleh Syariah adalah untuk menghalang segala perkara yang membawa kepada kesukaran bagi umat Islam. Sekiranya kesukaran tersebut tidak boleh dielakkan melainkan dengan menghapuskannya, maka syarak berusaha untuk menghilangkan kesukaran tersebut. Ini semua bertitiktolak dari prinsip Syarak yang berusaha untuk memberi kesenangan bagi kaum muslimin. Firman Allah swt :

    لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا

    Yang bermaksud : Allah tidak akan membebani seseorang itu, melainkan sekadar kemampuannya.

    (Surah Al-Baqarah : ayat 286).

    Seseorang yang berada dalam keadaan sakit, ataupun kehilangan penglihatannya tergolong di antara mereka yang berada dalam keadaan yang sukar ataupun darurat. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat yang ke 61 :

    لَيْسَ عَلَى الأَعْمَى حَرَجٌ وَلا عَلَى الأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ

    Yang bermaksud : Tidak ada salahnya bagi orang yang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang yang cacat, dan tidak ada salahnya bagi orang yang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian).

    (Surah Annur: ayat 61)

    Oleh itu, sekiranya golongan yang buta memerlukan anjing pemandu arah untuk membantu mengendalikan urusan peribadi sehariannya dengan sendiri, di mana tanpa bantuan tersebut mereka tidak dapat menjalankan kehidupan sehariannya dengan sempurna lalu menyebabkan dirinya ditimpa kesukaran dan kesempitan, maka dalam keadaan sedemikian penggunaan anjing pemandu arah menjadi sebuah keperluan bagi dirinya, dan hukumnya adalah harus.

  5. Apakah pandangan ulama berkaitan hukum najisnya anjing dan bagaimana dapat digunakan dalam situasi berhadapan dengan anjing pemandu arah?

  6. Ulama berbeza pendapat dalam menetapkan hukum najisnya anjing. Mengikut pandangan umum Mazhab Shafie, binatang anjing adalah termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis berat).5Kalau terkena air liur dan najisnya, tempat yang bersentuhan itu perlu disamak dengan air mutlak 7 kali dan sekali dengan air yang bercampur tanah. Walaupun sedemikian, menyentuh atau memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam.

    Pendapat mazhab Maliki dan Hanafi menyatakan bahawa anjing tidak najis6 melainkan air liurnya sahaja. Oleh itu tubuh seorang muslim ataupun barang yang terkena air liur anjing perlu disertu. Nabi saw bersabda:

    «طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ»

    Penyucian bejana kamu apabila anjing menjilatnya adalah dengan dicuci tujuh kali dan awalnya dengan tanah.” (Hadis Riwayat Muslim)

    Namun mazhab Maliki dan sebahagian ulama mazhab Shafie7, berpendapat bahawa anjing yang digunakan untuk tujuan pemburuan tidak dianggap sebagai najis berat, memandangkan anjing itu akan digunakan dengan kerap semasa pemburuan8. Oleh itu tubuh ataupun tempat yang terkena air liurnya tidak perlu disertu ataupun dibasuh menurut mazhab Malikiyah.

    Prinsip yang sama juga boleh diterapkan bagi pengunaan anjing pemandu arah, samada bagi pengguna anjing tersebut ataupun buat mereka yang tersentuh kulitnya ataupun terkena air liurnya. Memandangkan tujuannya adalah sama iaitu: Keperluan untuk mengunakan anjing bagi urusan seharian. Oleh itu seorang yang buta dan perlu memelihara anjing untuk membantunya menjalankan urusan sehariannya, boleh berpegang kepada pendapat sebahagian ulama mazhab Shafie serta mazhab Maliki dan Hanafi. Memandangkan ia agak sukar baginya untuk melakukan sertu pada setiap masa dan keadaan. Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 185:

    يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

    Yang bermaksud : Allah swt menginginkan kesenangan bagi kamu, dan dia tidak menginginkan kesusahan bagi kamu.

    Kaedah fiqh juga menyatakan:

    إذَا ضَاقَ الأَمْرُ اتَّسَعَ

    Yang bermaksud : Apabila terdapat kesukaran, (maka syarak) mendatangkan dengan kesenangan.9

    Sama juga hukumnya bagi masyarakat yang tersentuh kulit ataupun air liurnya mungkin ketika anjing tersebut digunakan pada tempat awam ataupun dalam pengangkutan awam. Pendekatan sebahagian ulama mazhab Shafie dan mazhab Maliki dalam isu ini boleh diikuti. Untuk mereka yang berpandangan bahawa perlu menyucikan jika tersentuh anjing maka ini dikira sebagai umumul balwa10 dan mereka tidak tertakluk kepada tuntutan menyucikan. Berdasarkan pandangan ini juga, pengguna anjing pemandu arah yang merupakan seorang Muslim, tidak perlu menyertu baju ataupun tubuh yang tersentuh dengan anjing pemandu arah tersebut. Akan tetapi sekiranya seorang individu merasa ragu-ragu akan status kesucian baju atau anggota jasadnya, dia hanya perlu membersihkannya dengan menggunakan air sahaja.

  7. Bagaimana jika saya berlalu atau berdiri di tempat di mana anjing pemandu arah pernah berehat di tempat umum?

  8. Sekiranya anjing pemandu arah dibawa di tempat umum seperti restoran, pengangkutan awam yang dikongsi oleh semua pengguna daripada pelbagai latarbelakang; Dan sekiranya kita berdiri di tempat laluan umum yang mungkin pernah diduduki atau dilalui anjing pemandu arah maka ia termasuk di dalam konsep umumul balwa, dan mereka tidak perlu menyertunya.

  9. Bagaimanakah harusnya sikap seorang Muslim terhadap anjing pemandu arah dan penggunanya?

  10. Islam memerintahkan kita untuk berlaku baik kepada semua makhluk, termasuklah haiwan. Oleh itu, kita digalakkan untuk berlaku baik terhadap saudara kita yang memerlukan anjing pemandu arah tersebut. Elakkan daripada berkelakuan atau memberikan reaksi yang boleh menyinggung perasaan pengguna anjing pemandu arah atau yang boleh menyakiti haiwan tersebut.

    Sebagai rumusan, perlu ditekankan bahawa di dalam memahami sesebuah pandangan agama berkaitan hukum ataupun aqidah, seorang Muslim harus juga memahami pandangan ulama yang berbeza berkaitannya. Pemahaman yang lebih mendalam akan memastikan bahawa adab dan etika dalam pelaksanaan pandangan agama itu dapat dipelihara.


    Wallahu a’lam.

    Pejabat Mufti

    Majlis Ugama Islam Singapura



    1Qirat : Imam Ibn Hajar Al-Asqalani meriwayatkan bahawa maknanya adalah jumlah yang sebesar gunung Uhud. Sebahgian ulamak berpendapat ianya membawa erti : Jumlah yang banyak yang hanya Allah sahaja yang mengetahui kadarnya. Sila lihat : Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bari, Juz 7, hlmn 171.

    2Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Riyadh, Dar Taibah, 2002, Juz 3, hlmn 32.

    3Al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir, Beirut, Dar Al-Fikr, Juz 5, hlmn 834.

    4Ibid, Juz 5, hlmn 834.

    5Al-Shirazi, Al-Muhazzab, Beirut, Dar Kutub Al-‘Ilmiyah, hlm 94.

    6Dasar bagi pendapat ini adalah : Islam membenarkan pengunaan anjing samada bagi tujuan berburu ataupun menjaga ternakan, oleh itu sekiranya anjing itu najis keseluruhannya, bagaimana ianya dibenarkan untuk dipelihara pada keadaan-keadaan yang tertentu. Sila lihat : Zuhaily, Wahbah, Fiqh Islami wa Adillatuhu, Damascus, Darul Fikr, Cetakan 14, Juz 1, hlmn 305.

    7Sebahagian dari fuqaha’ mazhab Shafie berpendapat bahawa air liur anjing yang digunakan bagi tujuan berburu adalah tidak najis. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang membenarkan umat Islam menggunakan anjing bagi tujuan berburu. Sekiranya air liur anjing yang berburu itu dianggap sebagai najis, maka perkara ini tentunya mendatangkan kesukaran. Sila lihat: Al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir, Beirut, Dar Al-Fikr, Juz 1, hlm 589.

    8Terdapat beberapa sandaran bagi mazhab Maliki antaranya firman Allah s.w.t. pada ayat yang dinyatakan di atas yang bermaksud : Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu,(Al-Maidah: Ayat 4). Allah s.w.t. membenarkan untuk memakan hasil tangkapan anjing buruan itu. Ayat tersebut tidak mewajibkan untuk seseorang membasuh bekas gigitan binatang buruan tersebut. Oleh itu menurut Imam Malik, air liur anjing adalah suci. Sila lihat: Wahbah Az-Zuhaily, Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik, Dar Al-Fikr, cetakan kedua, 1984, juz 3, hlm 707.

    9As-Suyuthi, Jalaluddin bin Abdul Rahman, Al-Asybah wa Al-Nadhoi fi Qawaid wa Furu’ As-Shafi’iyyah, Kaherah, Dar al-Salam, ed. 5, 2011, hlm 208

    10Konsep Umum Al-Balwa: Apabila sesuatu perkara menjadi umum dan sukar dielakkan. maka perkara tersebut menjadi Umum Al-Balwa. Sebagai contoh, seorang penjual daging sering bersentuhan dengan daging dan darahnya, oleh itu tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian dari bajunya akan terkena dengan darah. Namun ia perlu dielakkan sekadar yang termampu.