Nuzriah ertinya membuat nazar (kebajikan). Nazar adalah pengakuan bersumpah bahawa seseorang akan melakukan sesuatu apabila tiba satu-satu masa atau apabila berlaku satu-satu peristiwa.
Nuzriah dari sudut istilah adalah nazar yang dibuat oleh seseorang untuk menyerahkan sebahagian atau keseluruhan hartanya sebelum kematiannya kepada pihak lain.
Membuat nazar dalam Islam pada dasarnya adalah harus. Akan tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib sekiranya ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Ia juga boleh bertukar menjadi haram sekiranya ia boleh menzalimi atau mengancam nyawa seseorang.
Begitu juga nuzriah. Jika dengan membuat nuzriah tersebut ia akan menzalimi ahli waris yang sepatutnya menerima harta pusaka dengan mengurangkan bahagian yang diterima mereka, maka hukumnya adalah haram. Akan tetapi jika nuzriah tersebut dibuat untuk menjaga maslahat mereka yang hidup sehingga tidak dizalimi kelak, maka hukumnya adalah harus.
Seseorang yang membuat nuzriah akan mengurangkan kadar yang diterima oleh ahli waris lain dari harta pusakanya. Sekiranya dia melakukannya kerana sengaja ingin menzalimi seseorang dari ahli warisnya atau segolongan dari mereka, maka ini ditegah dan haram dalam Islam. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 279: Dan tidaklah kamu menzalimi dan dizalimi.
Sebagai contoh: seseorang membuat nuzriah untuk menyerahkan kesemua hartanya kepada isterinya dengan niat untuk meniadakan bahagian anaknya yang yang dianggapnya tidak taat padanya, maka ia adalah haram di dalam Islam.
Adapun bagi mereka yang ingin menjaga maslahat orang yang hidup dengan membuat nuzriah maka ia diperbolehkan. Sebagai contoh: seseorang membuat nuzriah untuk menyerahkan rumahnya kepada isterinya dengan niat agar rumah tersebut tidak dibahagi-bahagikan kepada ahli waris lain sehingga isterinya kelak tiada tempat berteduh, maka hukumnya adalah harus. Adapun harta-hartanya yang lain akan dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang layak mengikut hukum faraidh.
Nuzriah akan menjadi sah dalam Islam sekiranya ia mencukupi syarat-syarat dibawah ini:
Dilampirkan bersama contoh pengakuan Nuzriah. Untuk menguatkan lagi nuzriah yang telah dibuat disisi undang-undang negara, seseorang boleh mendapatkan khidmat peguam untuk mengesahkannya, atau membuat akuan bersumpah (Statutory Declaration) atas nuzuriah tersebut.
Sesebuah nuzriah yang telah dibuat akan secara otomatik terlaksana apabila waktu yang telah ditetapkan telah tiba mengikut apa yang telah ditetapkan dalam nuzriah tersebut. Bagi mereka yang ingin menarik kembali nuzriahnya sebelum tiba waktu yang telah ditetapkan itu, ia hendaklah membayar kafarahnya dengan perkara-perkara berikut:
Memberi makan 10 orang fakir miskin dengan makanan yang biasa dimakan olehnya. Atau
Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin. Atau
Berpuasa tiga hari (jika ketiga-tiga perkara diatas tidak dapat dilakukan)
Bagi mereka yang telah membuat Statutory Declaration atau telah mendapat pengesahan pihak peguam, maka tindakan-tindakan undang-undang yang wajar harus diambil untuk membatalkannya.