Part 11 - Religious Position on COVID-19 vaccine (Malay)

Panduan agama dalam isu vaksin COVID-19

 

1 Penularan wabak COVID-19 di peringkat global telah mencetuskan pelbagai cabaran yang genting, termasuk daripada aspek kesihatan, ekonomi dan juga sosial, yang terpaksa dihadapi oleh semua negara dan masyarakat. Banyak negara telah memperkenalkan undang-undang yang menyekat pergerakan dan aktiviti seharian untuk mengekang penularan wabak ini. Langkah-langkah sedemikian telah meninggalkan kesan ekonomi yang sangat mendalam, seperti kemerosotan pada sektor perdagangan dan ekonomi, serta meningkatnya kadar pengangguran. Dalam hal ini, penemuan serta penghasilan vaksin menjadi satu keutamaan kritikal untuk menyelamatkan nyawa, memberi jaminan kesihatan serta membantu mengembalikan ekonomi serta kehidupan seharian kepada sediakala sebaik mungkin.

 

2 Agama Islam sangat menitikberatkan kesucian nyawa dan keselamatan serta melindungi kehidupan pada setiap masa. Oleh itu, setiap usaha untuk melindungi nyawa manusia daripada sebarang jenis bahaya dan kemudaratan, seperti penghasilan vaksin di dalam suasana pandemik, adalah sangat digalakkan dalam Islam. Secara amnya, vaksin sebagai salah satu bentuk perlindungan dan pencegahan daripada penyakit dan masalah kesihatan, merupakan perkara yang amat dialu-alukan oleh agama. Fatwa-fatwa Muis yang lalu, seperti fatwa bagi vaksin Rotavirus (2013), menggalakkan penggunaan vaksin kerana ia merupakan sejenis rawatan pencegahan awal daripada penyakit.1 Prinsip ini berdasarkan panduan dari Nabi Muhammad s.a.w. di mana kita digalakkan untuk memakan sesuatu yang dapat melindungi diri daripada penyakit.2

 

3 Di dalam menghadapi situasi luar biasa disebabkan oleh penularan wabak di peringkat global, prinsip-prinsip etika Islam menjadi panduan kita. Walaupun terdapat penularan wabak di dalam sejarah Islam, namun hukum-hakam dan pandangan ulama silam adalah khusus bagi keperluan masyarakat mereka berdasarkan konteks dan cabaran mereka tersendiri. Bagi situasi kita hari ini, tiada rujukan silam yang secara khusus menyentuh perihal vaksin mahupun yang membincangkan penularan wabak di peringkat global seperti yang kita alami. Justeru itu, kita tidak boleh bergantung mahupun menantikan hukum fiqh yang pernah terakam pada masa silam sebagai rujukan utama. Sebaliknya, apabila kita membincangkan cabaran-cabaran yang baru berkaitan dengan COVID-19, panduan kita adalah dasar-dasar dan prinsip-prinsip agama yang bersifat syumul lagi luas.

 

4 Oleh itu, panduan agama mengenai vaksin COVID-19 perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada isu halal atau haram bahan-bahan yang digunakan sahaja. Dalam hal ini, terdapat tiga aspek utama yang diberikan perhatian.

 
Vaksin sebagai keperluan asas

5 Dengan wabak COVID-19 yang mempunyai kesan-kesan yang sangat meluas dan telah menggugat sistem kehidupan dan aktiviti-aktiviti sosial, termasuk amalan ibadah dan keagamaan, sesuatu vaksin yang berkesan dan selamat adalah dianggap sebagai satu keperluan asas (ḍarūriyyāt). Vaksin yang berkesan adalah amat penting demi menyelamatkan nyawa dan memastikan agar masyarakat dapat berfungsi dengan selamat dan sejahtera. Di dalam konteks ini, vaksin sama kedudukannya seperti keperluan-keperluan asas manusia lain seperti makanan dan tempat teduh. Ia merupakan satu keperluan penting untuk memelihara kesucian nyawa manusia dan mengelakkan kemudaratan kerana ia memelihara masyarakat daripada kesan-kesan merbahaya virus COVID-19.

 

Keselamatan dan keberkesanan vaksin

6 Sebarang vaksin COVID-19 yang telah diluluskan untuk kegunaan awam perlu melalui pelbagai piawaian keselamatan perubatan yang ketat dan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta menepati garis panduan etika oleh badan-badan pemerintah. Vaksin tersebut mestilah tidak mempunyai sebarang kesan perubatan yang buruk dan telah disahkan secara saintifik sebagai tidak menyebabkan sebarang kemudaratan yang dijangkakan kepada mereka yang telah mengambilnya.3 Ini merupakan pertimbangan yang penting dan bersesuaian dengan prinsip mengelakkan kemudaratan di dalam Syariat Islam. Mentelah lagi proses penghasilan, ujian dan penghantaran vaksin COVID-19 adalah lebih cebat dari vaksin-vaksin sebelumnya. Penghasilan, pembikinan dan pemberian vaksin ini perlu mendatangkan rasa yakin di kalangan masyarakat bahawa ia selamat serta berkesan.

 

Bahan-bahan yang boleh digunakan pada vaksin

7 Kita akur bahawa kajian saintifik bioperubatan, termasuk perkembangan bidang ubat-ubatan bersifat terapi (therapeutics) dan vaksin, menggunakan pelbagai kandungan yang dipilih berdasarkan kesesuaian saintifik dan tujuan kajian. Dalam banyak situasi, produk-produk ini berkemungkinan mengandungi bahan-bahan yang pada asalnya adalah najis atau yang dilarang untuk dimakan menurut hukum Islam, seperti bahan-bahan daripada sumber khinzir, ataupun telah dirawat dengan menggunakan bahan-bahan tersebut pada salah satu tahap proses penghasilan. Terdapat juga ubat-ubatan dan vaksin yang dihasilkan secara sintetik sepenuhnya dan tidak mengangungi sebarang bahan atau sel binatang.

 

8 Fatwa-fatwa mengenai perubatan serta vaksin-vaksin sebelum ini telahpun mengambil kira situasi-situasi di atas, dan telah memutuskan bahawa sekiranya tiada pilihan lain untuk mengelakkan kemudaratan, produk-produk yang mengandungi bahan-bahan terlarang tersebut boleh digunakan untuk tujuan rawatan bagi menyelamatkan nyawa (rujuk kepada fatwa tentang vaksin Rotavirus 2013). Di dalam ajaran agama, terdapat juga situasi di mana bahan-bahan najis atau terlarang dibolehkan penggunaannya sebagai rawatan sepertimana yang pernah diriwayatkan pada pelbagai hadis Nabi (rujuk kepada fatwa ubat Heparin 2015).4

 

9 Tambahan pula, bahan-bahan najis atau terlarang biasanya digunakan di peringkan pemprosesan awal dan kemudiannya melalui banyak proses kimia seperti pengasingan (filtration). Proses-proses sedemikian akhirnya menjadikan bahan tersebut hampir tidak dapat dikesan atau sangat sedikit jumlahnya pada produk akhir, menyamai ubat Heparin (penggunaan enzim babi) dan vaksin Rotavirus (penggunaan trypsin). Dalam fiqh Islam, proses-proses ini dipanggil istiḥālah di mana bahan asal berubah bentuk dan sifat, dari itu ia tidak dianggap lagi sebagai haram.5 Dalam situasi sedemikian, produk akhir (ubat atau vaksin) boleh digunakan oleh masyarakat Islam. Seperti yang telah disebutkan, vaksin juga boleh dihasilkan secara sintetik sepenuhnya dan tidak mengangungi sebarang komponen atau sel binatang, seperti pada penghasilan vaksin mRNA bagi COVID-19.6

 

10 Kami ingin menambah bahawa cara ubat-ubatan serta vaksin-vaksin berinteraksi dengan tubuh badan manusia serta fungsi dan kesannya terhadap tubuh dan organ-organ manusia tidak semestinya sama dengan makanan yang dimakan untuk mengelakkan kelaparan dan memberi khasiat kepada tubuh badan manusia. Tambahan itu, terdapat banyak pilihan dan sumber makanan yang tersedia ada bagi manusia, sedangkan ubat-ubatan serta vaksin adalah sangat terhad dan sukar dihasilkan, serta memerlukan kepada masa yang lama untuk ditemui, dihasilkan dan diagihkan, kerana kerumitan proses-proses pengkajian dan penghasilan ubat-ubatan untuk menjamin ia agar selamat digunakan. Justeru itu, adalah kurang sesuai untuk menerapkan prinsip-prinsip agama atau pertimbangan keagamaan yang sama berkaitan pemakanan terhadap vaksin, hanya kerana kedua-duanya memasuki tubuh badan manusia. Membataskan pandangan agama terhadap vaksin dengan hanya membincangkan sama ada bahan-bahannya halal ataupun tidak sahaja, sepertimana kriteria yang digunakan pada pemakanan, adalah satu pendekatan yang tidak mencukupi serta boleh mengelirukan. Kaedah-kaedah baru dalam menilai ubat-ubatan serta vaksin diperlukan, di mana segala perbezaan sifat, tujuan dan sumber, diambil kira dan dipertimbangkan dengan sebaiknya.

 

Penutup

11 Tujuan memperkenalkan vaksin COVID-19 dan proses-proses yang terlibat dalam penghasilannya secara dasarnya adalah berlandaskan prinsip-prinsip serta nilai-nilai Syariat Islam. Kami ingin menasihati dan menganjurkan agar masyarakat Islam mengambil vaksin tersebut apabila ia tersedia ada dan telah diluluskan sebagai selamat dan berkesan. Ia merupakan satu keperluan asas untuk melindungi nyawa manusia dalam konteks penularan wabak yang berlaku di peringkat global. Fatwa-fatwa Muis yang lalu mengenai perubatan dan vaksin-vaksin telah pun menangani keperihatinan yang timbul berkaitan asal usul bahan yang digunakan. Sejauh ini, proses penghasilan vaksin COVID-19 dan bahan-bahan yang digunakan tidak bertentangan dengan pertimbangan-pertimbangan fatwa lalu seperti yang telah digariskan di atas. Oleh itu, vaksin COVID-19 boleh digunakan oleh masyarakat Islam. Sekiranya ada sesuatu vaksin yang menjalani proses yang berbeza dan mengandungi kandungan atau bahan-bahan yang terlarang, lantas tidak menepati prinsip-prinsip yang telah digariskan di atas, Jawatankuasa Fatwa akan meneliti semula dan menilai kesesuaian vaksin tersebut bagi penggunaan masyarakat Islam.

 
 
13 Disember 2020
 
PEJABAT MUFTI
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

[2] Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhārī dan Muslim tentang pengambilan tujuh biji kurma Ajwah setiap pagi sebagai langkah pencegahan. Rujuk kepada Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ Al-Bukhārī (Beirūt, Dār Ibn Al-Kathīr) [5130], 5:2075; Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim (Beirūt, Dār Al-Jīl) [5459], 6:123.

[4] Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Fatwas of Singapore- Science, Medicine and Health, (Singapura: Muis, 2017), 136.

[5] Istiḥālah boleh ditakrifkan sebagai transformasi atau penukaran bahan yang melibatkan perubahan pada kandungan dan sifatnya. Ia melibatkan transformasi bahan-bahan najis (dari perspektif hukum Islam) kepada sesuatu yang suci/bersih. Sila rujuk kepada al-Zuhaylī, Qaḍāyā al-Fiqh wa al-Fikr al-Mu`āṣir (Damascus, Dār al-Fikr, 1428H/2007), 1: 58.

[6] Berbandingkan vaksin yang berasaskan protein virus, vaksin RNA membawa maklumat genetik yang membolehkan sel tubuh untuk menghasilkan protein virus. Sila lihat: https://news.mit.edu/2020/rna-vaccines-explained-covid-19-1211