- Home
- Resources
- Khutbah and religious advice
- Fatwa
- Fatwa hukum menghisap rokok
Fatwa hukum menghisap rokok
Pandangan Jawatankuasa Fatwa akan hukum merokok.
Jawatankuasa Fatwa Singapura telah mengeluarkan dua fatwa mengenai hukum merokok. Fatwa pertama dikeluarkan pada tahun 1993, dan ia telah disemak semula pada tahun 2006. Teks fatwa adalah seperti berikut:
Keputusan Fatwa 13/9/1993
Soalan
Jawatankuasa Fatwa telah diminta memberi penjelasan mengenai hukum merokok. Isu ini timbul ekoran berita yang tersiar di akhbar New Paper di mana pihak Pertapis dikatakan telah membuat kenyataan bahawa merokok adalah haram. Dalam laporan itu juga telah disebutkan bahawa merokok itu adalah perbuatan dosa sejajar dengan perbuatan dosa lain seperti makan babi dan minum arak.
Jawapan
Setelah dibincangkan, mesyuarat bersetuju dengan pendapat bahawa pada umumnya, merokok hukumnya adalah makruh. Bagi individu yang telah disahkan bahawa merokok akan memudaratkan dirinya maka hukum merokok dalam keadaan seperti ini adalah haram.
Juga oleh kerana terdapat keterangan-keterangan adanya bencana dari merokok, maka hendaklah merokok dijauhi sebagaimana menurut kaedah fiqh yang bermaksud "menolak bencana diutamakan dari menarik faedah".
Keputusan Fatwa 20/4/2006
Soalan
Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa akan hukum merokok?
Jawapan
Jawatankuasa Fatwa bersetuju bahawa merokok adalah haram kerana bencananya ke atas diri dan orang sekeliling adalah zahir dan pasti.
Pada tahun 1993, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa hukum merokok adalah makruh. Dalam pertimbangan hukum merokok, prinsip menolak mudarat dijadikan dasar dalam mengharamkan amalan merokok. Pendekatan yang diambil boleh dikatakan sebagai beransur-ansur, suatu pendekatan yang disebut sebagai al-tadarruj fi al-tatbiq al-hukm. Ini kerana hukum umum bagi merokok diubah daripada makruh kepada haram dalam kedua-dua fatwa yang diputuskan. Dari segi kandungan rokok itu sendiri, tidak banyak yang berubah dalam tempoh antara fatwa pertama dan kedua. Fakta yang berubah ialah maklumat yang diperoleh masyarakat mengenai bahaya merokok, dan kajian-kajian yang lebih banyak dari segi kesan merokok kepada kesihatan, serta peraturan yang lebih ketat terhadap amalan merokok. Kepekaan yang lebih meluas mengenai bahaya rokok dapat dikatakan menjadi salah satu sebab hukumnya ditetapkan sebagai haram.
Ini berbalik kepada pendekatan tadarruj dalam hukum yang disebutkan tadi, iaitu satu pendekatan yang diambil Nabi Muhammad dan para sahabat dalam sejarah pensyariatan Islam. Contohnya ialah pengharaman meminum arak pada zaman Nabi Muhammad, di mana ayat yang pertama yang diturunkan mengenai arak menyebutkan bahawa ia sesuatu amalan yang berdosa meskipun terdapat manfaat padanya. Tidak disebut secara jelas pengharaman arak dalam Surah al-Baqara ini:
يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ
Yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (Surah al-Baqara: 219)
Diriwayatkan bahawa mereka masih meminum arak setelah turunnya ayat tersebut, sehinggalah pada suatu waktu salah seorang sahabat mengimamkan solat Maghrib di mana bacaan ayat al-Quran yang dibacanya tidak teratur, maka diturunkan ayat surah al-Nisa' yang berbunyi:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقۡرَبُواْ ٱلصَّلَاةَ وَأَنتُمۡ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُواْ مَا تَقُولُونَ
Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan." (Surah an-Nisa': 43)
Dan kemudian baru diturunkan dalam lafaz yang jelas bahawa meminum arak itu haram dalam surah al-Maida:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَامُ رِجۡسٌ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَانِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Ma'ida: 90)
Lebih-lebih lagi memandangkan bahawa tabiat merokok ini adalah sesuatu yang sukar untuk dihentikan sekali gus malah lebih berkesan secara beransur-ansur, pendekatan hukum mengenainya juga berjalan seiringan dengan apa yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin berhenti merokok.