- Home
- Resources
- Media releases
- Pengisytiharan awal Ramadan 1446H/2025M bagi Singapura
Pengisytiharan awal Ramadan 1446H/2025M bagi Singapura
28 February 2025
Mufti Singapura mengisytiharkan bahawa awal Ramadan 1446H jatuh pada Ahad, 2 Mac 2025.
Mengikut kiraan hisab, ketika matahari terbenam petang tadi, iaitu pada 28 Februari 2025 bersamaan 29 Syaaban 1446H, bulan berada pada jarak lengkung 5.1 darjah dan ketinggian 4.3 darjah. Kiraan ini tidak mencukupi kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.
Oleh itu, anak bulan Ramadan tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi, dan esok adalah hari penggenap bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun ini jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 2 Mac 2025.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak. Semoga kita dapat menggandakan segala amal kebajikan dalam bulan suci ini, dan Allah s.w.t. menerima segala kebaikan dan melimpah kurniakan rahmat dan pengampunannya bagi umat Islam Singapura sekalian.
Sekian, Wassalamualaikum Wr Wb.
DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
MUFTI SINGAPURA