47 Masjid Menambah Sesi Solat Jumaat

10 Julai 2020

Lebih ramai jemaah diberi peluang menunaikan solat Jumaat

1. Pada 18 Jun 2020, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) telah mengeluarkan garis pandu untuk penyambungan semula ibadah berjemaah di semua tempat-tempat ibadah untuk Fasa 2 (Peralihan Selamat) di dalam tempoh pandemik COVID-19. Berdasarkan garis pandu itu, bermula 26 Jun 2020, 66 masjid telah menyambung semula solat jemaah lima waktu setiap hari dan solat Jumaat, dengan sistem keselamatan demi mencegah penularan dan jangkitan COVID-19.

2. Dalam Fasa 2 ini, solat berjemaah dihadkan kepada 50 jemaah pada satu masa. Para jemaah juga dikehendaki mengikuti langkah-langkah keselamatan seperti membawa peralatan solat seperti sejadah sendiri, menggunakan pelitup, dan menggunakan sistem SafeEntry ketika keluar masuk masjid. Solat Jumaat pula dijalankan dua kali, pada 1 petang dan 2 petang. Setiap sesi dihadkan kepada 50 orang, dan solat serta khutbah dipendekkan sebagai salah satu usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di dalam konteks kegiatan berjemaah.

Jemaah bertanggungjawab, Sistem Lancar

3. Sepanjang tiga minggu lalu, Muis mendapati para jemaah telah sama-sama melakukan ibadah dengan penuh tanggungjawab dengan mematuhi segala peraturan keselamatan di masjid. Masjid-masjid juga dapat menjalankan sistem keselamatan dengan berkesan, dan solat jemaah dan solat Jumaat berjalan dengan teratur.

Tambahan Sesi Solat Jumaat dan Pembaikan Sistem Tempahan

4. Hasil dari kerjasama baik dari masyarakat, bermula dari 17 Julai 2020, sebanyak 47 masjid yang berkemampuan akan mengadakan satu sesi tambahan untuk solat Jumaat. Ini bermakna mereka akan menawarkan sesi bermula jam 1 petang, 2 petang dan 3 petang. Ini adalah peningkatan sebanyak 35% bagi penambahan jumlah ruang yang tersedia untuk solat Jumaat. Senarai 47 masjid disertakan di Lampiran A. 17 masjid lain akan terus mengadakan 2 sesi solat Jumaat seperti biasa.

5. Muis juga telah membuat pembaikan kepada sistem pendaftaran ruang solat di masjid, berdasarkan pengalaman dalam tiga minggu pertama serta maklum balas dari para pengguna. Sistem ini kini mempermudahkan jemaah mencari ruang-ruang yang masih ada di masjid, dan juga mempunyai pautan untuk memastikan tempahan mereka telah diterima dengan rasmi.

6. Orang ramai boleh menggunakan sistem yang diperbaiki ini bermula jam 10 pagi Selasa 14 Julai 2020, untuk membuat tempahan bagi solat Jumaat pada 17 Julai 2020. Sistem ini boleh didapati di https://ourmosques.commonspaces.sg dan juga melalui aplikasi MuslimSG. Bagi memberi peluang kepada mereka yang belum berkesempatan mengerjakan solat Jumaat di masjid setakat ini, mereka yang sudahpun melaksanakan solat Jumaat pada 26 Jun, 3 Julai dan 10 Julai tidak akan diberi peluang mendapat ruang pada 17 Julai 2020.

Pengkajian Berterusan

7. Setiap minggu, Muis akan melakukan pengkajian semula, dengan mengambil kira keadaan pandemik nasional serta nasihat dari Kementerian Kesihatan untuk menentukan samada jumlah ruang untuk solat dapat ditambah secara berperingkat atau diteruskan pada tahap yang selamat. Ini juga bergantung kepada tahap jangkitan kebangsaan dan kadar keadaan jangkitan masyarakat, serta juga garis pandu dari MCCY. Ini merupakan usaha Muis untuk memastikan masjid terus kekal sebagai rumah ibadah yang selamat untuk masyarakat Islam Singapura.

8. Bermula hari ini, pada setiap hari Jumaat, Muis akan membuat pengumuman tentang bilangan ruang solat yang dapat ditawarkan pada hari Jumaat yang akan datang. Pendaftaran untuk ruang solat akan dibuka setiap hari Selasa sebelum solat Jumaat yang berkenaan. Muis berharap dengan adanya tempoh pendaftaran yang teratur, serta bilangan ruang yang makin bertambah, masyarakat tidak akan tergesa-gesa merebut tempat solat Jumaat. Bergantung kepada jumlah ruang yang dibenarkan, Muis akan membuat pengumuman lanjut membolehkan mereka yang telahpun berpeluang bersolat Jumaat pada minggu-minggu yang sudah untuk berdaftar lagi untuk solat Jumaat di masa hadapan.

9. Di samping itu, buat masa ini, mereka yang masih belum berjaya mendapat tempat untuk solat Jumaat masih diberi kelonggaran sepertimana yang dinasihati Jawatankuasa Fatwa Singapura, iaitu untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor dan mendengar Khutbah Jumaat melalui SalamSG TV.

Langkah Keselamatan Berterusan

10.      Masjid-masjid akan terus menjalankan solat berjemaah waktu setiap hari. Para jemaah masih boleh mendaftar untuk solat jemaah lima waktu melalui sistem tempahan ruang solat masjid. Para jemaah masih boleh mengunjung masjid untuk melakukan solat individu di luar waktu solat jemaah, tanpa melakukan tempahan atau pendaftaran.

11.      Pihak masjid akan terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama ini. Kejadian di Masjid Al Ansar baru-baru ini, di mana seorang jemaah yang tidak mempunyai petanda penyakit namun kemudian didapati menghidap penyakit COVID-19, merupakan peringatan bahawa bahaya dari pandemik COVID-19 masih belum berlalu, dan masyarakat mesti terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan agar masjid-masjid kita terus selamat. Muis turut menasihati mereka yang tidak sihat serta golongan yang mudah terdedah, iaitu warga emas berumur 60 tahun ke atas, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai masalah pernafasan yang kronik untuk terus menjalankan ibadah solat di rumah dan tidak mengunjungi masjid, demi mengurangkan bahaya menjangkit dan terjangkit COVID-19.

Lampiran A - Senarai 47 Masjid

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA