Penjelasan Pengumuman Awal Syawal bagi Tahun 2022 di Singapura

KENYATAAN MEDIA

2 Mei 2022

Pejabat Mufti mengeluarkan penjelasan berikut setelah ada pertanyaan berkaitan pengumuman awal Syawal bagi tahun ini di Singapura.

  1. Penetapan bila jatuhnya awal Ramadan dan penghujungnya adalah mengikut panduan Nabi Muhammad s.a.w. di dalam beberapa hadith, di antarannya:

    لا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلالَ وَلا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ.”

    Yang bermaksud: Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (iaitu anak bulan Syawal). Sekiranya ia tersembunyi daripada kamu, maka hendaklah kamu sempurnakan perhitungannya (iaitu sebanyak 30 hari).

  2. Berdasarkan panduan Nabi s.a.w., ulama hari ini menggunakan dua kaedah utama, iaitu hisab (perkiraan mengikut ilmu falak) dan rukyah (pencerapan anak bulan) untuk memastikan jika anak bulan dapat dilihat ataupun tidak.

  3. Di Singapura, adalah amat sukar bagi anak bulan untuk kelihatan secara amnya disebabkan keadaan iklim Singapura yang berawan. Oleh itu, Singapura menggunakan kaedah yang dipersetujui oleh negara-negara MABIMS (Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) di dalam menentukan sama ada anak bulan boleh kelihatan atau tidak (iaitu kaedah imkan ar-rukya).

  4. Singapura telah berbincang dengan negara-negara MABIMS sejak tahun 2017 dan pada tahun lepas mengemaskini kriteria imkan ar-rukyah kepada kriteria yang lebih baik. Kriteria baru ini dibangunkan daripada lebih 700 data pencerapan hilal yang terkumpul dari seluruh dunia. Kriteria MABIMS yang baru hanya memerlukan dua parameter ketika matahari tenggelam pada hari ke-29: iaitu ketinggian anak bulan dan sudut elongasi matahari dan bulan. Ketinggian anak bulan perlu melebihi 3 darjah dan elongasi perlu melebihi 6.4 darjah.

  5. Hasilnya kali ini adalah anak bulan tidak dapat dilihat di Singapura pada petang 29 Ramadan sebelum matahari terbenam. Untuk kepastian, Pejabat Mufti bersama ahli falak Singapura telah cuba mencerap anak bulan pada Maghrib 29 Ramadan. Anak bulan tidak terhasil dilihat. Tambahan pula ufuk barat ditutup dengan awan.

  6. Bagi negara-negara MABIMS lain, pencerapan anak bulan yang mereka lakukan pada hari ini berjaya di sebahagian kawasan.

  7. Walaupun hasil penentuan di antara negara-negara berbeza-beza, pada prinsipnya kaedah-kaedah ini mengikut hadith Nabi s.a.w di atas dan tiada salah pada ijtihad masing-masing, selagi mana Ramadan di sesuatu negara tidak melebihi 30 hari.

  8. Ini juga yang diriwiyatkan oleh Imam Muslim di dalam perbezaan mulanya berpuasa dan berakhirnya Ramadan di antara beberapa sahabat yang berada di kota-kota yang berbeza, di mana Mu’awiyah berpuasa pada hari Jumaat sedangkan yang lain mula berpuasa pada hari Sabtu, mengikut perbezaan di kalangan mereka di dalam melihat anak bulan di antara Syam dan kota Madinah. Apabila ditanya mengapa tidak sahaja mengikut Mu’awiyah agar tempoh berpuasa sama di antara umat Islam kerana anak bulan telah dilihat di satu kawasan, Ibn ‘Abbas menjawab bahawa cara penentuan sedemikian (yang mengikut kawasan yang didiami seseorang) itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w., walaupun ia menyebabkan perbezaan tarikh mula dan akhir Ramadan di kalangan umat Islam.

  9. Di rantau ini pula, perbezaan bila bermulanya bulan-bulan Hijriyyah telah kerap berlaku di masa dahulu, dan mungkin juga akan berulang pada masa-masa akan datang. Pada tahun ini, tidak semua negara (termasuk negara majoriti umat Islam) yang beraya pada hari esok. Bahkan, anak bulan juga tidak kelihatan di beberapa negara tersebut dan mereka akan menyambut Eidulfitri pada hari Selasa seperti di Singapura. Selagi mana kita berpegang pada prinsip dan dasar agama, di dalam perkara ini iaitu panduan Nabi Muhammad s.a.w. yang jelas seperti yang disebutkan di atas, perbezaan penentuan awal bulan bukan sesuatu yang mustahil mahupun mencemaskan.

  10. Sebagai penutup, bagi umat Islam Singapura, Ramadan tahun ini adalah sebanyak 30 hari dan Hari Raya Eidulfitri adalah pada hari Selasa 3 Mei 2022. Oleh itu, umat Islam Singapura wajib terus berpuasa termasuk esok, Isnin 2 Mei 2022, sebagai pencukup bulan Ramadan sebanyak 30 hari.

  11. Semoga kita dapat terus tenang menjalani ibadat di bulan Ramadan yang masih lagi dianugerahkan Allah S.W.T. kepada kita sekalian.

Wallahu a’lam.


PEJABAT MUFTI
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA