Speech by Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir at Asatizah Hari Raya 2022

UCAPAN SAHIBUS SAMAHAH MUFTI

MAJLIS HARI RAYA ASATIZAH BERSAMA MUFTI 2022

“DAYATAHAN KEAGAMAAN DAN PERANAN KEPIMPINAN AGAMA DI ERA PASCA PANDEMIK”

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وحده، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، نبينا محمد وعلى آله وأصحابه ومن والاه، أما بعد:


Yang dihormati, Pengerusi Lembaga Pengtiktirafan Asatizah, Al-Fadhil Ustaz Hj Ali Bin Hj Mohammed

Presiden Ulama’ dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Al-Fadhil Ustaz Mohammad Hasbi Bin Hassan

Anggota Lembaga Pengtiktirafan Asatizah dan sekalian Asatizah dan Ustazat yang dihormati

Terimalah salam ukhuwwah daripada saya, Assalamu’alaikum Wr. Wb

Sebagai pembuka bicara, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:


Bunga kenanga bunga cempaka

Harum baunya tidak terperi

Sekian lama tidak berjumpa 

Bila bersua berseri-seri


Alhamdulillah, kita dapat bersua di perjumpaan Hari Raya pada tahun ini secara fizikal, setelah lebih dua tahun kita menjalinkan ikatan persaudaraan secara virtual. Sebagai orang yang beriman, kita yakin bahawa setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya.

2 Kita amat kagum dengan sikap masyarakat Islam, berbekalkan bimbingan para Asatizah dan kesatuan kepimpinan keagamaan, kita sepadu mengorak langkah dalam menyahut serta mengatasi cabaran-cabaran rumit masakini. Dalam konteks pandemik yang telah meragut nyawa dan menimbulkan pelbagai kemudaratan, masyarakat kita akur dengan keutamaan (awlawiyyah) memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan mengimbangi di antara pelbagai tuntutan dan ajaran agama (muwazanah). Jika dahulunya fiqh al-awlawiyyat, fiqh al-maqasid dan fiqh al-muwazanat hanya teori yang diajarkan, pandemik Covid-19 adalah medan aplikasi dan perjuangannya.

3 Tidak dinafikan penyesuaian adalah sesuatu yang sukar dan mencabar, apatah lagi dalam masa yang amat singkat dan dalam situasi yang tidak menentu. Namun, kemampuan serta keyakinan untuk membuat penyesuaian berdasarkan pendekatan yang perlu diambil, yang kemudiannya menghasilkan natijah yang baik, seharusnya memberi kita suntikan semangat dan kepastian bahawa kita berada di atas landasan yang betul.  

4 Oleh itu, kami amat menghargai peranan para Asatizah yang telah banyak berkorban  dalam mengemudi bahtera kepimpinan agama di tanahair tercinta ini, dan saya amat menyanjung sikap serta usaha Asatizah sebagai pelopor penyesuaian berpandukan ilmu yang mendalam dan prinsip yang tegas. Kita juga mengekalkan kesatuan sesama kita agar masyarakat tidak keliru dan bingung dengan apa yang harus dilakukan dalam situasi yang amat mencabar. Bahkan, Singapura adalah di antara negara yang terawal mengambil keputusan dan ketetapan yang sukar tetapi amat diperlukan. Kelebihan sifat-sifat ini seperti yang disebutkan oleh Sayydina ‘Ali r.a. :

مَا اْلفَضْلُ إِلَّا ِلأَهْلِ اْلعِلْمِ إِنَّهُمُ عَلَى اْلهُدَى ِلمَنِ اسْتَهْدَى أَدِلَّاءُ

وَوَزْنُ كُلِّ امْرِئٍ مَا كَانَ يُحْسِنُهُ وَالْجَاهِلُوْنَ لِأَهْلِ اْلعِلْمِ أَعْدَاءُ

فَفُزْ بِعِلْمٍ وَلاَ تَجْهَلْ بِهِ أَبَدًا اَلنَّاسُ مَوْتَى وَأَهْلُ اْلعِلْمِ أَحْيَاءُ

Semoga Allah swt menilai segala pengorbanan antum dengan rahmat dan ihsanNya serta mempermudahkan urusan perjalanan umat Islam di Singapura. Amin ya Rabbal Alamin.

5 Kini, seakan semua yang berlaku semalam hampir tiba ke garisan penamat. Pertemuan fizikal ini juga salah satu indikasi bahawa kehidupan dan kegiatan harian kita dapat kembali seperti sedia kala serta lebih aktif lagi insya Allah. Namun, saya sangat-sangat berharap kita tidak lupa kepada hikmah dan pengajaran Covid-19. Ini yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan, kerana orang yang berjaya akan menggunakan setiap luka sebagai peringatan kesilapan dan kelemahan masa lalu, demi memperbaiki perjalanan masa muka.

Keyakinan Dengan Identiti Keagamaan

6 Pengalaman yang singkat namun begitu padat mengingatkan kita betapa unik serta berharga keadaan dan situasi kita di Singapura. Kita berpeluang menghidupkan nilai-nilai agama yang mengajak kepada perdamaian dan kesatuan, dan menghayati ruh Syariat Islam yang anjal dan dinamik, bukan yang jumud mahupun lesu atau layu yang tidak mampu mencorak masa hadapan. Konteks kehidupan kita, walaupun sukar dan rumit pada pandangan kasar, sebenarnya adalah peluang yang amat bernilai  dalam proses berijtihad dan mencari pelbagai solusi. Jika kita berjaya melaksanakannya dengan baik, kita berjaya menghayati dan mempraktikkan keanjalan dan keindahan Syariat Islam. Kerana itu, banyak ‘ulama kontemporari, di antaranya Syeikh ‘Abdullah bin Bayyah, menilai konteks sebagai faktor kritikal  dalam menafsirkan hukum.

إن الواقع شريك في عملية استنباط تطبيق الأحكام أي تنزيل الأحكام وإن لم يكن شريكا في تقرير أصل الحكم، على رأي الأكثر في أن أصل المصلحة توقيفي وهو ما انتحاه الغزالي واقتفاه الشاطبي وغيره “

7 Apabila berhadapan dengan situasi unik ini, adalah tanggungjawab kita untuk mencari huraiannya, bukan tanggungjawab orang lain, atau badan fatwa lain, atau institusi ‘ulama dan Asatizah lain. Yang kita benar-benar perlukan adalah keyakinan dengan identiti keagamaan kita dan pendekatan kita tersendiri, walaupun di luar sana ramai yang memberi komentar, serta melontar tuduhan ataupun cemuhan. Yang memikul amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T. adalah kita, orang Singapura.

8 Namun, keyakinan sedemikian mudah luntur dan dilemahkan dengan sangkaan bahawa kita adalah masyarakat Islam minoriti, di dalam negara sekular dan majoriti bukan Islam, dan negara yang amat kecil sekali. Seolah-olah kita akan tetap dipandang rendah atau lemah, tidak kira sumbangan mahupun pemikiran yang progresif dan maju ke hadapan. Bukankah kecil mahupun kerdilnya sesuatu atau seseorang itu tidak seharusnya menjadi kayu ukur bagi kekuatan mahupun kelemahan? Kerana yang diukur adalah sumbangan, bukan pada saiz mahupun angka. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah menggambarkan bahawa kelemahan umat Islam adalah kerana tiada kualiti dan kerana kecil sumbangannya, walaupun jumlahnya sangat banyak sekali (ghutha’ ka ghutha’is sail)

9 Kerana itu saya sering mengingatkan pentingnya kita mengambil pengajaran dari pengalaman bersama dalam menangani krisis Covid-19. Bagaimana keprihatinan dan tanggungjawab para Asatizah dan kepimpinan keagamaan, bergabung dengan pakar sains perubatan, mengorak langkah keselamatan dan berjaga-jaga yang telah banyak memelihara nyawa serta mengekalkan semangat keagamaan di kalangan masyarakat Islam. Bak kata seorang penyair Arab yang berbunyi:

كَمْ شِدَّةٍ كَشَفَتْ مَعَادِنَ أَهْلِهَا إِنَّ الشَّدَائِدَ لِلْوَرَى غِرْبَالُ

كَمْ عِلَّةٍ بِاْلكَيِّ كَانَ دَوَاؤُهَا وَالطُّوْبُ لَوْلَا حَرْقُهُ أَوْحَالُ

إِنَّ الرِّجَالَ بِخُلُقِهَا وَفِعَالِهَا مَاكَانَ يُمْدَحُ بِاللِّسَانِ رِجَالُ

10 Masih banyak lagi cabaran yang menanti, di hari ini dan di hari muka. Namun, kita perlu bersedia dalam berhadapan dengan beberapa perkara (1) tiada contoh dalam turath keagamaan; (2) tiada kesamaan dengan pengalaman masyarakat dan negara lain; (3) terdapat perbezaan dengan negara-negara Islam dalam sesuatu keputusan. Keputusan-keputusan kita barangkali berbeza dengan negara-negara lain kerana perbezaan realiti, cabaran, serta keperluan masing-masing. Kita perlu terus berlapang dada dan menghormati satu sama lain, tanpa merasa pendirian kita lemah atau harus diragui.

11 Hari Raya kali ini juga tidak kurang kontroversi dan polemiknya. Saya berpandangan perkara ini perlu kepada penjelasan lanjut, bukan hanya untuk menambahkan pemahaman yang tepat, tetapi untuk menekankan pentingnya kita terus berprinsip dalam menguruskan kehidupan keagamaan kita.

Asatizah dan Ustazat sekalian,

12 Sepertimana kita semua sedia maklum, isu rukyah dan kiraan hisab merupakan isu khilafiyah sejak dahulu lagi. Di Singapura, kiraan hisab digunakan kerana adalah amat sukar bagi anak bulan untuk kelihatan disebabkan keadaan iklim Singapura yang berawan. Oleh itu, semenjak akhir tahun 70an, Singapura menggunakan kaedah yang dipersetujui oleh negara-negara MABIMS (Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) bagi menentukan sama ada anak bulan boleh kelihatan atau tidak (iaitu kaedah imkan ar-Rukya). Kaedah ini merupakan satu kaedah ijtihadiyyah, yang ditetapkan hasil daripada perbincangan/pengamatan pakar falak di empat negara tersebut. Pada tahun 2017, Singapura telah berbincang dengan negara-negara MABIMS untuk mengemaskini kriteria imkan ar-Rukyah kepada kriteria yang lebih baik, hasil daripada lebih 700 data pencerapan hilal yang terkumpul dari seluruh dunia melalui mata kasar dan teleskop.

13 Pada tahun ini, berdasarkan kriteria baru yang telah disepakati empat negara, hilal dijangkakan tidak dapat disaksikan pada tiga negara MABIMS, pada 29 Ramadan. Hanya satu rantau sahaja di Indonesia dijangkakan bakal menyaksikan hilal. Perkara ini telah kami sahkan, beberapa minggu sebelum hari raya, pada satu pertemuan pakar falak MABIMS. Namun, memandangkan ini kali pertama kriteria baru ini digunakan, Pejabat Mufti bersama ahli falak Singapura telah cuba mencerap anak bulan menjelang Maghrib 29 Ramadan untuk memastikan bahawa kaedah yang digunakan selari dengan hasil pencerapan. Hasilnya, anak bulan tidak dilihat.

14 Terdapat perbezaan di antara negara-negara anggota MABIMS kali ini berkaitan penentuan awal Syawal. Tetapi, pada prinsipnya, kaedah-kaedah ini mengikut hadith Nabi s.a.w:

"لا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلالَ، وَلا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ."

Yang bermaksud: “Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (iaitu anak bulan Syawal). Sekiranya ia tersembunyi daripada kamu, maka hendaklah kamu sempurnakan perhitungannya (iaitu sebanyak 30 hari).”

Dari itu, semuanya berdiri di atas ijtihad masing-masing yang berdasarkan kepada hujah yang nyata. Selagi mana Ramadan di sesuatu negara tidak melebihi 30 hari, segala ijtihad tersebut adalah ijtihad yang boleh digunapakai kerana ia bersandarkan kepada dalil. Ini juga bertepatan dengan kaedah Fiqh yang disepakati oleh Ulama iaitu:

الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد

Maksudnya: “Sesuatu ijtihad tidak terbatal dengan ijtihad yang lain”.

15 Maka yang jelas adalah perbezaan dalam menentukan permulaan Ramadan, Syawal dan bulan-bulan lain sememangnya boleh berlaku, walaupun kita berada di rantau yang sama mahupun berdekatan. Tiada ganjil dan peliknya. Bahkan, Imam Muslim meriwayatkan perbezaan mulanya berpuasa dan berakhirnya Ramadan di antara beberapa sahabat yang berada di kota-kota yang berbeza. Ketika itu, Sayyidina Mu’awiyah r.a berpuasa pada hari Jumaat, sedangkan mereka yang berada di kota Madinah berpuasa pada hari Sabtu, mengikut perbezaan di kalangan mereka di dalam melihat anak bulan di antara Syam dan kota Madinah. Apabila ditanya mengapa tidak sahaja mengikut Sayyidina Mu’awiyah r.a agar tempoh berpuasa sama di antara umat Islam kerana anak bulan telah dilihat di Syam, Sayyidina Ibn ‘Abbas r.a menjawab bahawa cara penentuan sedemikian (iaitu mengikut kawasan yang didiami seseorang) itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w., walaupun ia menyebabkan perbezaan tarikh mula dan akhir Ramadan di kalangan umat Islam ketika itu. Begitulah yang berlaku di Singapura, walaupun benar sekalipun penampakan hilal di Labuan, Sabah, ia terlalu jauh dari Singapura hingga tidak memungkinkan penampakan hilal seperti yang berlaku antara Syam dan Madinah.

16 Perbezaan seperti ini telah kerap berlaku di masa dahulu, dan juga akan berulang pada masa-masa akan datang. Adalah amat penting bagi saya dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab untuk terus berpegang teguh pada suatu prinsip, walaupun ianya mungkin tidak dianggap sebagai sesuatu yang penting bagi orang atau pihak lain. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan dan keputusan kita, bukan perbuatan dan keputusan orang lain. Selagi mana kita berpegang pada prinsip dan dasar agama, dalam perkara ini, iaitu panduan Nabi Muhammad s.a.w. yang jelas seperti yang disebutkan di atas, perbezaan penentuan awal bulan bukan sesuatu yang mustahil atau sesuatu yang mencemaskan.

17 Namun, pada hemat saya, di sini juga kita berpeluang untuk membuat perubahan dan sumbangan positif, selagimana kita yakin dengan identiti dan kepimpinan keagamaan di Singapura. Kita harus terus membina keupayaan dan kepakaran dengan bergabung dengan pakar-pakar astronomi, agar keputusan kita dalam menentukan taqwim hijri bukan sesuatu yang ditentukan politik mahupun polemik, tetapi berdasarkan fakta dan dalil yang kukuh. Alhamdulillah, Singapura mempunyai kepakaran dan keahlian yang tidak wajar diperkecilkan, di kalangan Asatizah dan ahli astronomi tempatan. Saya berhasrat untuk memperkukuhkan lagi kepakaran serta keupayaan kita, dan ini akan diusahakan oleh Pejabat Mufti dalam masa terdekat. Sepertimana kita berjaya menangangi dengan cermat cabaran pandemik dengan kerjasama pakar perubatan, saya yakin kita juga akan dapat menangani isu ini serta banyak isu lain dengan sentiasa berlapang dada dan berbincang serta bermuzakarah dengan pakar-pakar sesuatu bidang.

18 Peranan kita pula sebagai Asatizah adalah untuk terus membimbing masyarakat agar tidak mudah dipengaruhi dengan kepalsuan dan kekeliruan yang mudah tersebar di media sosial ataupun di ruang lain. Sekurang-kurangnya, janganlah Asatizah kita sendiri menambahkan kekusutan yang hari ini amat mudah berlaku, apatah lagi di atas sangkaan semata ataupun kurang ilmu dan kefahaman di luar bidang pengkhususan kita. Sememangnya kita diajar untuk mengejar dan mencari hikmah di mana sahaja ia berada, tetapi pada akhirnya, kita yang bertanggungjawab mencorak dan menghiasi rumah sendiri. Agar rumah yang tersergam indah dibina di atas titik peluh kita sendiri, bukan bangunan yang tidak kukuh asasnya, dek pengaruh luar dengan segala ketidakpastian berkaitan latarbelakang serta orientasinya. Oleh itu, adalah amat kritikal sekali bagi Asatizah dan kepimpinan agama di Singapura untuk yakin dan konfiden dalam menilai situasi dan konteks kita, berbekalkan prinsip dan nilai yang kukuh. 

Kesimpulan

Asatizah dan Ustazat Sekalian.

19 Selaku wakil Pejabat Mufti, saya menyeru semua Asatizah untuk memelihara dan memperkukuhkan pendekatan jama’i di Singapura, yang dipimpin oleh Jawatankuasa Fatwa dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dalam isu-isu yang terkait dengan masyarakat dan asatizah setempat. Kesatuan insititusi ini adalah anugerah dari Allah S.W.T. yang harus kita pelihara dan perkuatkan lagi dengan sebaik-baiknya. Izinkan saya untuk menyampaikan ringkasan ucapan ini dalam bahasa Inggeris.

20 I wish to express our deepest appreciation and gratitude to all Asatizah for your sacrifices and contributions over the pandemic years, in keeping our community united and focused on key priorities as we help our nation emerge from the global crisis. Many of you have been exemplary in your agility and nimbleness to adjust and adapt in such a challenging time. To change is to feel uncomfortable in the short term, but to survive and thrive in the long term, for our sake, and for the sake of future generations. You rised up to the challenge, and you kept our community’s religious spirit alive. This is possible because of the way we understand and practice our beautiful faith. We work with experts, we learn from different insights, we make difficult decisions, and we find new solutions. No one else will do this for us, because Allah S.W.T. has placed this responsibility on our shoulders. Ultimately, we are held responsible for the well-being of our Singapore Muslim community.

21 I hope we will never forget the lessons from Covid-19. The scars we picked up in this battlefield are reminders of the community’s sacrifices, and give us confidence that together, we can overcome challenges and chart our own path in shaping the religious life of our community. This is all the more important when our context as a Muslim minority is often viewed as a disadvantage, because there is a misconceived notion that Islam and Muslims can only thrive in majority Muslim contexts. On the contrary, I have always believed that our context offers us opportunities to truly live and embody the dynamic values of our faith, when it speaks of peace and cohesion in the context of diversity, when the Syariah calls for flexibility and progress, in the context of scientific and technological progress. In fact, we are better placed to exercise the richness of our religious heritage and the beauty of our tradition, because of our unique situation.

22 Covid-19 could be a dry run. We need to be prepared for more possibilities in the future where: a) we find no precedence in the classical texts and traditions, b) no similarities in the experiences of other Muslim communities and contexts, and where c) we may differ in decisions from other Muslim communities. We faced all the above during the early stages of the pandemic. We should take comfort that this did not weaken our spirituality, even as we felt fearful and worried. We did not run away from making difficult decisions, and by God’s Grace, we soon found similar decisions replicated across the Muslim world. It was in these difficult times that we build resilience and find courage to change and adapt, and to stand by our decisions. The crisis taught us that we must forge our own religious compass in order to move ahead, given our own context and considerations. But in order to achieve this, we need to have full confidence in our own religious identity and local Asatizah leadership. The success of our community’s religious life depends on each one of you.

23 In the recent issue of when to celebrate Eidulfitri, we had to differ from neighbouring countries. This difference cannot be avoided all the time. We know of the Prophetic guidance that if the new moon cannot be sighted, we should complete 30 days of fasting. While the four MABIMS countries have agreed on the criteria, it does not, and will never mean that there will be no differences in our conclusions. The truth is, sighting of the new moon with the Prophetic guidance in mind, cannot be a uniform experience. This happened in early Islamic history, when Sayyidina Muawiyah in Syam started fasting on Friday, and Sayyidina Ibn ‘Abbas in Madinah started fasting a day later. When asked why, Ibn ‘Abbas explained that this is according to the Prophetic guidance, and it does not matter if it leads to Muslim communities starting or ending fasting on different days. To conclude that this leads to disunity and fracture of the ummah is incorrect, not during Ibn ‘Abbas’ time, nor during ours. We must remain united on our principles. The outcomes may differ based on our unique circumstances.

24 But what was alarming was how some was quick to view this difference as a weakness, even an error and misguidance by Singapore. When we choose to follow an opinion, especially on an ijtihadi issue such as this, we must be principled and our reasoning must be clear. Instead of any sound arguments, the voices which criticised our decision were at best conjectural, and at worst, carried untruths and were ignorant of the basics of falak. Most were purely emotive in nature, as has often been the case with many other issues.

25 I acknowledge that there is a lot more that we need to do, to educate our community, to improve our collective capabilities, competencies, skills and expertise, as we navigate a more complex world. The Office of the Mufti will do more, Muis will invest more, but we need your support and partnership. We need to work hand in hand, with trust and confidence in each other. Ultimately, we are united in our common goal to serve our community with itqan and ihsan, and we want to see our community succeed and excel. Beyond our little red dot, no one else is as vested or interested in our future, not the religious preachers or scholars who live elsewhere and occasionally throw comments or remarks about us.. Let us strive to strengthen our religious credibility and leadership as we continue to find solutions for our own contexts and challenges. We have done this before, and we will continue to do this.

26 Sebagai penutup, ada sepotong bait Sya’ir yang pernah disebut oleh al-Mutanabbi yang menggambarkan keazaman dan kecekalan yang diperlukan pada diri golongan yang mempunyai prinsip dan memahami akan peranan yang perlu dimainkan di dalam kehidupannya.

قال أبو الطيب المتنبي:

عَلَى قَدْرِ أَهْلِ اْلعَزْمِ تَأْتِيْ اْلعَزَائِمُ وَتَأْتِيْ عَلَى قَدْرِ اْلكِرَامِ الْمَكَارِمُ

وَتَعْظُمُ فِيْ عَيْنِ الصَّغِيْرِ صِغَارُهَا وَتَصْغُرُ فِيْ عَيْنِ اْلعَظِيْمِ اْلعَظَائِمُ

Terimalah serangkap pantun sebelum saya mengundur diri:

Bulan Ramadan berlalu pergi

Syawal menjelang fitrah berseri

Salam kemaafan seikhlas hati 

Jasamu wahai Asatizah kami kenang sehingga mati

Sekian terima kasih.

وبالله التوفيق والهداية، والسلام عليكم ورجمة الله وبركاته