Isu tentang perbezaan tempat terbitnya Hilal telah dibincangkan oleh para ulama silam. Ibn Hajar Al-Asqalani menukil pendapat-pendapat ulama berkaitan isu ini. Pendapat yang muktabar di sisi Mazhab As-Syafie adalah perbezaan tempat terbitnya Hilal (mathali‘) mempengaruhi penentuan awal bulan di masing-masing daerah. Pendapat ini juga yang dinisbahkan kepada Ikrimah, al-Qosim bin Muhammad, Salim bin Abdillah bin Umar, Ibnu Abbas r.a, Imam Malik dan Ishaq bin Rahuyah. (Fathul Bari, 4/123).
Terdapat beberapa riwayat yang menjelaskan tentang perbezaan mathla‘ antara satu negara dengan yang lain. Antaranya hadith yang diriwayatkan imam Muslim berkenaan dengan perbezaan yang berlaku pada penetapan awal Ramadan antara mereka yang berada di Al-Sham (Damshik) dengan para sahabat yang berada di kota Madinah. Ibn Abbas berkata kepada Kuraib: ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Kuraib bertanya: ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”
Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan dalam Mughni AlMuhtaaj: “Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”.
Mathla’ ataupun tempat terbitnya hilal di Singapura dan di rantau Asia Tenggara adalah berbeza dengan Arab Saudi. Dengan kedudukan Arab Saudi yang jauh lebih barat dari Singapura juga disebabkan perbezaan masa antara kedua-dua negara. Oleh itu, kedudukan hilal sewaktu ia dicerap di Arab Saudi adalah lebih tinggi berbanding dengan cerapan hilal yang dijalankan di rantau ini.
Oleh kerana itu, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengikuti ketetapan negara masing-masing bagi awal bulan Zulhijjah. Apabila telah disabitkan awal Zulhijjah di Singapura, maka hari kesembilan Zulhijah itulah hari Arafah dan pada hari kesembilan Zulhijjah itulah juga, merupakan hari yang disunnahkan untuk berpuasa hari Arafah.
Nabi s.a.w. pernah bersabda:
Bermaksud: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].
Juga hadithnya yang menegaskan bahawa perlaksanaan ibadah korban, berhubungkait dengan melihat hilal. Hadithnya bermaksud: “Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.” (Riwayat Imam Muslim).
Jawatankuasa Fatwa Muis pernah diajukan pertanyaan berkaitan penetapan awal bulan Zulhijjah berbeza dari negara Arab Saudi. Keputusan fatwa menetapkan[i] :
Maka jelas di sini bahawa setiap negara perlu mengikut rukyah masingmasing, tidak terikat dengan penetapan kerajaan Arab Saudi mahupun Hilal Mekah. Justeru itu, bagi penetapan awal Zulhijjah pada tahun ini (1435H/2014) berdasarkan kriteria imkanur rukyah MABIMS, Singapura telah menetapkan tarikh 26 September 2014 sebagai awal Zulhijjah. Oleh itu, hari Arafah jatuh pada 4 Oktober 2014 dan sambutan Aidiladha adalah pada 5 Oktober 2014.
PEJABAT MUFTI,
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
[i] Kumpulan Fatwa Pertama, cetakkan pertama, 1987, Majlis Ugama Islam Singapura, Singapura, hlmn 20