Sebagai warga sebuah negara kosmopolitan seperti Singapura, pelbagai cabaran dihadapi berikutan interaksi yang tinggi di kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa. Salah satu cabaran terbesar ialah penularan virus-virus dan pendedahan kepadanya, seperti virus H1N1.
Seperti yang dimaklumi, laporan terkini menunjukkan Singapura kini menghadapi gelombang ketiga penularan virus flu H1N1 dari beberapa negara rantau ini. Jangkitan virus flu H1N1 terus menular di sini dan bilangan kes penyakit itu terus meningkat di negara kita hingga ke peringkat masyarakat setempat.
Di dalam menghadapi cabaran sebegini, masyarakat Islam Singapura boleh memainkan peranan penting agar penyakit ini dapat terus dikawal daripada menjadi wabak di sini. Kita boleh mengambil langkah-langkah pro-aktif dan pencegahan agar tidak dijangkiti penyakit ini.
Agama Islam telah mengajar kita untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada manifestasi iman. Maka, antara amalan baik yang boleh kita lakukan adalah dengan selalu menjaga kebersihan diri dan terus mengawasi tahap kesihatan kita. Islam juga mengajar kita untuk mengutamakan maslahat dan keselamatan masyarakat awam. Kerjasama yang padu perlu sama-sama diberikan supaya kita terus menjaga kesihatan awam sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial kita.
Oleh itu, jemaah yang tidak sihat dan mengalami penyakit yang berjangkit hendaklah mendapatkan rawatan segera, dan janganlah berhubungan dengan orang ramai. Menjauhi tempat-tempat awam, termasuk masjid-masjid sewaktu sakit atau masih mendapatkan rawatan adlah sangat penting untuk mengelakkan daripada menjangkiti orang lain dan juga memburukkan lagi kesihatan sendiri.
Pada masa yang sama, doa yang berterusan haruslah dipanjatkan kepada Allah s.w.t. agar kita sentiasa dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan selalu.