1. Pejabat Mufti menerima soalan dari Unit Perkhidmatan Haji Muis (HSSU) mengenai hukum membeli insurans bagi tujuan perlindungan ketika bermusafir ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah dan haji. Sungguhpun terdapat skim perlindungan takaful, akan tetapi kadar perlindungan yang bakal diperolehi tidak mencukupi sekiranya mereka dijangkiti wabak COVID-19 ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Setakat ini, syarikat insurans konvensional sahaja yang menawarkan perlindungan penuh yang mencukupi bagi mereka yang dijangkiti wabak tersebut.
2. Syarak amat menitikberatkan penjagaan kemaslahatan.1 Atas dasar inilah hukum asal ketika wabak masih menular adalah untuk tidak bermusafir.2 Bahkan, Jawatankuasa Fatwa pada tahun 2020 telah memutuskan bahawa perlaksanaan ibadah haji pada tahun tersebut harus ditangguhkan ke tahun berikutnya. Ini kerana syarat kewajipan melaksanakan ibadah haji seperti kemampuan dan keselamatan seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji tidak dapat disempurnakan.3 Namun, jika seseorang perlu bermusafir seperti ibadah haji, maka segala langkah-langkah keselamatan tambahan perlu diambil seperti pembelian insurans perjalanan, kerana ia merupakan ikhtiyar yang diperlukan demi menjamin keselamatan dan kemaslahatan diri. Buat masa ini, tiada syarikat takaful di Singapura yang menyediakan skim perlindungan penuh dan komprehensif buat mereka yang bermusafir ketika pandemik.
3. Apabila terdapat keperluan untuk mengambil perlindungan insurans konvensional demi menjaga kemaslahatan diri, Jawatankuasa Fatwa pada tahun 1988 berpandangan bahawa pembelian skim perlindungan insurans konvensional adalah dibolehkan.4
4. Ulama seperti Sheikh Mustafa al-Zarqa’5 dan badan agama antarabangsa seperti Dar Ifta’ al-Misriyyah6 berpendapat bahawa pembelian insurans konvensional dibolehkan, kerana ia merupakan jenis akad yang baru (Aqad Jadīd) yang tidak dibincangkan oleh ulama terdahulu. Umumnya, hukum membeli insurans dibolehkan selagimana ia tidak mengandungi unsur-unsur yang haram.7 Ini berdasarkan kaedah Usul Fiqh:8
الأصل في العقود والشروط: الجواز والصحة ولا يحرم منها ويبطل إلا ما دل الشرع على تحريمه وإبطاله
Yang bermaksud: “Kaedah umum bagi suatu akad dan syarat adalah dibolehkan dan sahih selagi tidak mengandungi unsur-unsur yang haram yang membatalkannya.”
5. Pada tahun 2022, Muis telah mengeluarkan fatwa menggalakkan masyarakat Islam untuk mendapatkan insurans Islam ataupun takaful.9 Namun ia tidak bermakna masyarakat Islam tidak boleh mendapatkan perlindungan insurans dari syarikat konvensional, lebih-lebih lagi dalam situasi khusus yang sedang dihadapi sekarang ini. Ini berdasarkan kaedah Fiqh:10
إذا بطل الأصل يصار إلى البدل
Yang bermaksud: “Apabila yang asli sukar dikerjakan maka berpindah kepada penggantinya.”
6. Hal ini juga pernah dibincangkan oleh Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat ke-181 dan dinyatakan dalam Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di mana terdapat kelonggaran untuk mengambil insurans konvensional sekiranya syarikat takaful tidak dapat menampung keperluan perlindungan tersebut atau tidak ditawarkan bagi sektor tertentu.11
7. Berdasarkan pertimbangan di atas, Pejabat Mufti berpandangan bahawa pembelian skim insurans konvensional bagi mereka yang musafir ketika pandemik COVID-19 merupakan suatu keperluan, dan adalah harus bagi mereka yang mengurus hal ehwal jemaah haji untuk mendapatkan perlindungan insurans yang secukupnya bagi bakal jemaah haji, untuk memastikan bahawa kebajikan mereka kekal terpelihara semasa berhadapan dengan kemungkinan jangkitan wabak di luar negara.
4 Mei 2022
PEJABAT MUFTI
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)
[1] Aḥmad al-Raysūnī, 1992, Naẓariyyah al-Maqāṣid ‘inda al-Imām al-Shāẓṭibī, Al-Dār al-‘Alamiyyah li al-Kitāb al-Islāmi, 19.
[2] Berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya. Manakala mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak. Sila lihat: Al-Naysabūrī, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 2219.
[3] Fatwa Muis tahun 2020. https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Malay-The-deferment-of-Hajj-2020
[4] Fatwa Muis tahun 1988. https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Malay-Skim-Insuran-berkumpulan.
[5] Muṣtafā al-Zarqā’, Niẓām al-Ta’mīn – Ḥaqīqatuh wa al-Ra’yu al-Shar‘ī Fīh, 13.
[7] Dār Iftā’ al-Miṣrīyyah, Mawsū’ah al-Fatāwā al-Mu’aṣṣalah, 3:335.
[8] Ibn Taymiyyah, Majmū‘ al-Fatāwā, 29:132.
[9] Keputusan Fatwa Muis 16/5/2002.
[10] Majallah al-Aḥkām al-‘Adliyyah, 21.
[11] Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia ke-181, 2-3; Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, 72.