Part 12 - Religious Guidance on VDS at the Mosque (Malay)

IRSYAD BERKAITAN LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT BERDASARKAN STATUS VAKSINASI (VDS) DI MASJID

Latarbelakang

Pandemik Covid-19 telah menjejas aktiviti agama, termasuk solat Jumaat. Agama memberikan kelonggaran dalam bentuk rukhsah dan mengajak umat Islam membuat penyesuaian apabila perlu. Langkah-langkah keselamatan diperlukan untuk mengawal penularan wabak di peringkat negara, dan memastikan aspek kehidupan lain tidak teruk terjejas. Jawatankuasa Fatwa pada tahun 2020 telah mengeluarkan fatwa yang memberi keringanan (rukhsah) buat beberapa golongan yang mempunyai sebab syar’i untuk meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid.1

2 Dengan situasi pandemik yang masih berterusan, ditambah dengan varian-varian baru, terutamanya Omicron, yang masih menular di seluruh dunia termasuk di Singapura, Langkah-langkah keselamatan masih diperlukan, khususnya vaksinasi. Laporan rasmi menunjukkan bahawa majoriti kes jangkitan COVID-19 yang mencapai tahap kritikal adalah daripada mereka yang tidak divaksin, kerana golongan ini memiliki tahap perlindungan daripada virus SARS-CoV-2 yang rendah berbanding mereka yang telah divaksin. Atas dasar ini, Singapura telah mengumumkan beberapa langkah lanjutan, seperti pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS).

3 Pihak pemerintah telah mengumumkan bahawa langkah-langkah tersebut akan diperluaskan kepada lebih banyak tempat-tempat awam dan pejabat-pejabat termasuk rumah-rumah ibadat mulai 1 Februari 2022. Pengecualian diberi kepada individu yang tidak divaksin dengan sebab-sebab kesihatan yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Prinsip-prinsip Agama dalam Menghadapi Kesusahan

4 Syariat Islam berasaskan prinsip-prinsip dan amalan yang membawa kesejahteraan hidup bagi setiap keadaan dan suasana. Dalam situasi yang boleh menyebabkan kemudaratan, Syariat Islam memberikan ruang serta jalan penyelesaian yang bertujuan memelihara nyawa, agama, kesihatan dan keselamatan individu dan awam.

5 Ini berpandukan kepada firman Allah di dalam Al-Qur’an:

Yang bermaksud “Dan tidak Dia jadikan buat kamu di dalam agama ini sebarang kepayahan.” (Surah Al-Hajj, ayat 78).

Begitu juga hadis Rasulullah :

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Yang bermaksud “Tidak ada (di dalam Syariat) kemudaratan dan sesuatu yang memudaratkan orang lain.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Kerana ini, salah satu kaedah agama yang penting adalah:

اَلضَّرَرُ يُزَالُ

Yang bermaksud: “Kemudaratan mesti dihapuskan”.2

Panduan Agama

6 Hukum solat Jumaat kekal wajib. Namun, berdasarkan perkembangan terkini dalam situasi pandemik, keringanan (rukhsah) untuk tidak menunaikan solat Jumaat masih wujud bagi dua golongan:

a.    Mereka yang telah divaksin tetapi tidak berjaya menempah slot untuk menunaikan solat Jumaat kerana keterbatasan ruang.

b.    Mereka yang masih berkeuzuran kerana sakit. Mereka bertanggungjawab untuk mengelakkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.

Ini termasuk juga individu yang mudah dijangkiti penyakit disebabkan (i) imun tubuh yang lemah, (ii) menghidapi penyakit kronik, atau (iii) mereka yang tidak layak menerima vaksin atas sebab kesihatan.

Bagi golongan di atas, agama Islam memberi keringanan (rukhsah) untuk tidak menghadirkan diri di masjid bagi menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat. Ia merupakan keuzuran yang muktabar, seperti yang telah dibincangkan dalam Fatwa berkaitan pencegahan COVID-19.3

Bagi mereka, keringanan untuk meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid merupakan keringanan yang wajib diperhatikan (Rukhṣah al-Wājibah), kerana menghadirkan diri pada perkumpulan orang ramai di masjid boleh menimbulkan risiko kemudaratan kepada diri mereka dan juga orang lain.4

7 Selain dari dua golongan di atas, kaum Muslimin secara amnya perlu berusaha mengambil langkah-langkah yang wajar untuk menunaikan solat Jumaat. Kaedah fiqh menegaskan:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Yang bermaksud: “Sesuatu kewajipan yang tidak dapat ditunaikan kecuali dengan adanya sesuatu perkara, maka perkara tersebut menjadi wajib juga.5

Ini termasuk: (1) memastikan status vaksinasi yang lengkap yang membolehkan mereka menunaikan solat berjemaah di masjid dengan selamat; (2) mendaftar diri setiap Jumaat bagi mendapatkan ruang solat. Kita bersyukur kerana umat Islam Singapura telah menyahut baik seruan untuk mengikuti langkah berjaga-jaga dan mengambil vaksin, dan rata-rata Jemaah masjid di Singapura telah divaksinasi.

8 Banyak negara-negara Islam yang lain telah mewajibkan status vaksinasi sebelum seseorang dibolehkan melaksanakan solat di masjid, seperti di Arab Saudi (di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi) dan bagi menunaikan umrah atau haji.6 Bahkan, ramai ulama serta badan fiqih antarabangsa berpandangan  mengambil vaksin adalah satu kewajipan dalam suasana pandemik hari ini, seperti Dār Iftā’ al-Miṣriyyah7, Majma’ al-Fiqh al-Islāmī al-Duwalī8 dan di UAE, Majlis Imārā Lil Iftā’ al-Syarī yang dipimpin oleh ulama masyhur Shaykh Abdullah bin Bayyah.Semua ini adalah bertujuan untuk melindungi diri dan masyarakat daripada jangkitan dan kemudaratan wabak penyakit yang masih berleluasa, serta sebagai ikhtiyar agar pandemik ini dapat berakhir dengan izin Allah s.w.t., dan keterbatasan yang sedia ada dapat diangkat dengan secepat mungkin.

9 Irsyad agama ini adalah bersesuaian buat situasi yang dihadapi sekarang dan segala perkembangan akan terus dipantau dan panduan yang bersesuaian akan dikeluarkan apabila ada perkembangan lanjut. Semoga Allah mengurniakan kepada kita semua ketabahan, dan semoga segala pengorbanan kita diterima Allah serta dikurniakan jalan keluar ketika berhadapan dengan segala jenis kesusahan insya-Allah.

Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singapura



[2] Al-Zuhaylī, Qawā’id al-Fiqhiyyah wa taṭbīqātuhā fi al-Madhāhib al-Ar’ba’ah, 1:210.

[4] Jenis keuzuran yang diiktiraf oleh Syarak untuk tidak menghadiri Jumaat merangkumi pelbagai situasi. Beberapa situasi yang telah dijelaskan ulama silam satu ketika dahulu, seperti wujudnya sesuatu yang membahayakan atau memudaratkan, juga sekiranya seseorang itu risau tentang keselamatan dirinya, penghormatannya (maruah), harta dan juga pemilikannya. Hal keadaannya serupa seperti situasi kita pada waktu pandemik ini, di mana dua golongan yang dikecualikan daripada melaksanakan solat Jumaat (A’dhār Jumuʿah), sebenarnya bertujuan untuk melindungi diri mereka dan untuk mengelakkan mereka dari berada pada persekitaran yang berisiko tinggi. Sila rujuk: Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Tamhīd, 16:243; Sa’īd al-Haḍramī, Sharḥ Muqaddimah al-Haḍramiyyah, 331.

[5] Contoh aplikasi kaedah tersebut adalah hukum menjaga kebersihan pakaian bagi menunaikan ibadah solat. Oleh kerana menunaikan solat fardu itu adalah wajib, maka segala perkara bagi menunaikan kesahihan solat fardu, seperti kebersihan pakaian, menutup aurat dan sebagainya, segala ini menjadi wajib juga. Sila lihat: Al-Ghazalī, al-Mankhūl, 184; Al-Ghaffār, Taysīr Usūl al-Fiqh, 2:14.