Mengenali Nama Tuhan Al-‘Adl

  • Keadilan itu, saudara, ialah sikap atau perbuatan meletakkan sesuatu di tempatnya yang tepat dan wajar. Sebaliknya, meletakkan sesuatu di tempat yang salah dan tidak sesuai pula merupakan satu kezaliman. Oleh itu, nama al-‘Adl bermaksud bahawa Allah itu sangat sempurna di dalam segala ketetapan- Nya, di mana Allah meletakkan segala sesuatu di tempatnya yang paling sesuai, pada masanya yang paling tepat, dan untuk makhluk-Nya yang paling layak.

     

     

  • Yang berusaha, diberi ganjaran dan kejayaan sesuai kesungguhannya. Yang leka pula seringkali kecewa akibat gagal di hujung kelalaiannya. Kalaupun ada masanya masih tidak berjaya walaupun setelah berusaha, seorang mukmin tetap yakin akan keadilan Allah, bahawa Allah akan mengurniakannya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dihasratkannya. Demikian keadilan Allah.

     

     

  • Oleh yang demikian, seorang yang beriman dengan Allah al-‘Adl akan menghargai, mencintai dan berasa redha dengan susunan Allah dalam mencipta alam ini, termasuk pada kejadian dirinya sendiri. Dia juga akan terus berusaha untuk mencapai impian hidup dunia dan akhiratnya, disertai penuh rasa kesyukuran di atas apapun yang Allah tentukan untuknya.