Uswatun Hasanah – Berkata Baik

  • Setiap individu mempunyai hak masing-masing untuk meluahkan pendapat dan perasaannya melalui kata-katanya. Tidak kira sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian. Namun, setiap pertuturan yang kita ungkapkan akan memberi kesan dalam kehidupan insan lain. Sama ada ia dapat mengubah kehidupan seseorang itu kepada lebih baik. Mahupun ia menyakiti individu tersebut lalu menghancurkan tali persaudaraan antara dua pihak.

     

     

  • Saya rasa antara langkah yang perlu untuk kita ambil adalah dengan melaksanakan muhasabah terhadap apa yang kita tuturkan. Sama ada apa yang kita nyatakan itu mendekatkan diri kita kepada Tuhan ataupun menjadi sebab kita ini jauh daripada rahmat-Nya. Bayangkan saudaraku, antara amalan yang boleh menjadi sebab seseorang itu masuk ke syurga adalah kerana beliau sering melafazkan perkataan yang baik. Begitu juga sebaliknya, seorang hamba yang sering lupa dan alpa. Sehinggakan segala penuturan, pendustaan dan perbicaraannya dicatit oleh malaikat pencatit amalan.

     

     

  • Begitu juga dalam urusan agama. Janganlah dengan begitu mudah melontarkan sesuatu hukum tanpa kita selidik dengan mendalam. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat perselisihan pendapat para ulama padanya. Maka berhati-hatilah ketika berbicara. Hormatilah juga perbezaan pendapat yang ada. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi sebab permusuhan, perbalahan serta persengketaan, ataupun mengakibatkan persaudaraan antara kita terkesan kerananya