Berkongsi Kenikmatan Ramadan

  • Ramadan kali ini, suburkan terus budaya ingin suka berkongsi kegembiraan dan harapan dengan mereka di sekeliling kita. Badan-badan kebajikan, masjid-masjid seluruh negara dan mereka yang memerlukan, menanti sokongan dan sumbangan kebajikan kita melalui sumbangan zakat dan sedekah. Tiada sumbangan yang terlalu kecil pada Allah (s.w.t.). Ini kerana yang dinilai adalah keikhlasan kita saudara.

     

     

  • Bahkan, Ramadan kali ini menyediakan kita peluang untuk berkongsi lebih daripada wang dan harta. Seperti yang kita maklumi, ruang-ruang untuk solat terawih juga agak terhad, kerana kita masih lagi mengambil langkah-langkah keselamatan mengawal jumlah jemaah ke masjid. Namun kita tetap bersyukur masjid-masjid pada Ramadan kali ini kekal dibuka.

     

     

  • Tatkala kita membuat keputusan untuk tidak menempah tempat untuk berterawih di masjid, niatkan ia sebagai satu pengorbanan agar orang lain juga dapat ikut merasakan kebahagiaan beribadah. Dengan niat tersebut, bakal terhimpun dalam satu amalan beberapa ganjaran, seperti membantu orang, membahagiakan insan lain serta mengorbankan yang kita suka demi kebaikan.