Uruslah Masa Anda Dengan Sebaiknya

  • Kehidupan manusia adalah masa seluruhnya. Setiap detik di dalam kehidupan ini akan membawa kita lebih dekat kepada ajal yang ditentukan oleh Allah (s.w.t.). Apabila umur kita dipenuhi dengan kebaikan, maka kebaikanlah yang bakal menyapa kita di alam sana. Namun jika ia disia-siakan maka ditakuti kesengsaraanlah yang bakal menanti.

     

     

  • Masa yang dipinjamkan oleh Allah (s.w.t.) kepada kita di muka bumi ini amatlah terhad sekali. Dengan itu, dalam usaha kita bertungkus lumus memastikan keperluan keduniaan kita terjaga, serta segala cita-cita kita tercapai, janganlah sampai persiapan hari akhirat kelak terabai. Pastikan bahawa setiap kali kita diberikan kelapangan untuk mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t.), kita lakukan dengan sebaik-baiknya. Hindarilah daripada perkara-perkara yang sia- siakan serta tidak mendekatkan diri kepada Tuhan.

     

     

  • Sebagai contoh, apabila kita berpeluang untuk mendirikan solat, jadikanlah solat itu sebagai solat yang paling khusyuk dan paling elok gerak gerinya. Hadirkan diri kita sepenuhnya untuk Tuhan. Seakan-akan ia merupakan solat yang terakhir. Dan tatkala kita dalam kesibukan, ambillah masa sejenak untuk mengingati Allah. Menadah tangan untuk berdoa atau sekadar memikirkan akan kebesaran dan keagungan-Nya.